Anwar Bebas: Menyanggah Harapan Palsu Editor UmnoReform
Oleh Mat Sepai


Membaca pemikiran Ghazali Mohd Dom-editor UmnoReform melalui tulisannya [ Jangan ada campur tangan politik dalam keputusan rayuan bagi ikat jamin Anwar Ibrahim (http://www.umno-reform.com/april04/ghazalimatdom24042004.htm) saya tersenyum sinis. Bukanlah bermaksud memperkecilkan pemikirannya, namun realiti politik Umno masa kini adalah sebaliknya. Sejarah tercatat, sistem perundangan negara telah dirobek teruk bermula dengan episod pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas oleh Mahathir yang berselindung di sebalik keputusan Tribunal yang dilantik DiPertuan Agong atas nasihatnya. Sistem kehakiman pincang ini akan terus diwarisi Pak Lah, kerana ia terbukti akan menguntungkan karier politiknya dan Umno pada masa depan.

Memberi harapan kepada Pak Lah untuk membebaskan Anwar melalui mahkamah, umpama “Menunggu Kucing Bertanduk.” Atau seumpama mengharapkan Pak Lah menghapuskan rasuah ke akar umbi, padahal beliau terus mengekalkan Menteri dan MB yang terpalit dengan isu rasuah dalam kabinetnya. Pendakwaan terhadap Eric Chia dan beberapa kerat ahli politik yang tidak lagi bertaring, hanyalah sekadar mengaburi mata rakyat untuk menghadapi pilihan raya lalu.

Memang benar seperti yang dikatakan Saudara Ghazali, - dari sudut apa sekali pun perundangan itu diinterpretasi dan dibaca maka Anwar Ibrahim sepatutnya dibenarkan bebas melalui ikat jamin.

Namun persoalannya, sejauh mana semangat keadilan ini berani dipraktikkan Pak Lah dalam pentadbirannya kini ? Membebaskan Anwar bererti memberi nafas baru kepada pejuang reformasi. Pembebasan Anwar juga bermaksud, mengundang bahaya besar kepada Umno. Sebagai politikus, Pak Lah terpaksa memberikan keutamaan kepada keuntungan karier politiknya, sebelum sesuatu keputusan itu dibuat. Sehingga kini, belum terlihat keuntungan yang bakal diraih Pak Lah, selain daripada meningkatkan imejnya, jika Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar dengan ikat jamin.

Berbangkit persoalan lain, jika Anwar dibebaskan, beranikah Pak Lah dan Umno/BN mengambil risiko berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang pastinya diketuai Anwar dalam pilihan raya akan datang?

Hal ini demikian, meskipun tanpa Anwar, Umno/ BN terpaksa berhempas pulas membentuk “Kerajaan Luar Nikah” dengan bantuan penyelewengan dan kepincangan SPR (dan JPN?) yang didalangi Umno dalam pilihan raya lalu. Hati kecil Pak Lah pastinya mengetahui sokongan sebenar rakyat yang kononnya diperolehi Umno/BN itu. Sebab itulah Pak Lah tidak berani membentuk Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat segala dakwaan penyelewengan ini, bak kata pepatah “ Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah.”

Kesungguhan Pak Lah yang menghantar Datuk Pirdaus, untuk membunuh pengaruh Anwar di Permatang Pauh, menguatkan keyakinan saya bahawa Anwar akan terus menetap di Istana Besi Sungai Buloh. Meskipun percubaannya melalui pilihan raya lalu gagal, namun petisyen yang dikemukakan Pirdaus membuktikan walau dengan apa cara sekalipun Permatang Pauh perlu dirampas kembali, pengaruh Anwar perlu dikuburkan.

Meskipun Saudara Ghazali berkeyakinan, zaman ini adalah zaman Pak Lah dan ia berbeza dengan zaman Mahathir, namun saya berkeyakinan sebaliknya. Pada saya, meskipun “Mereka Berbeza Tapi Mereka Tetap Serupa.”

Mengharapkan Pak Lah tidak menghulurkan tangan ghaibnya dalam urusan mahkamah berkaitan isu Anwar, membuatkan kita tidak berpijak di bumi nyata.

Harapan palsu yang diberikan Saudara Ghazali, bahawa Anwar akan dibebaskan dengan ikat jamin oleh mahkamah tanpa campur tangan Pak Lah, mengingatkan saya tentang kata-kata DS Dr. Wan Azizah di Kampung Permatang Rawa, Permatang Pauh Ahad lepas.

“Layanan Pak Lah lebih teruk daripada Mahathir, dahulu boleh juga sekali sekala Anwar dibenarkan menerima makanan yang dibawa keluarga, tapi kini, walau sebiji kurmapun tidak dibenarkan dibawa masuk. Saya sendiri pun turut diperiksa dengan begitu ketat apabila ingin berjumpa dengan Anwar.”

Untuk pendokong reformasi:
Lupakan seketika harapan palsu mahkamah kita. Bersedialah menerima keputusan rayuan terakhir Anwar di Mahkamah Persekutuan pada 10 Mei ini. Walau apa pun keputusannya, perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman perlu diteruskan, hatta beribu tahun lagi.

Takbir…lawan tetap lawan.

- Mat Sepai - 05.05.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN