Polis Pula Cuba Dipersalahkan Umno Di Permatang Pauh
Oleh Mat Sepai


Selepas mendesak BPR menyiasat Pengurus Pilihan Raya, rujuk  (Umno Arah BPR Siasat Pengurus Pilihan Raya Pmtg Pauh)  kini polis pula dijadikan sasaran Umno untuk mengembalikan  Permatang Pauh  ke pangkuan mereka..

Hj Adnan Ramli, bekas calon “recyle Umno”  yang ditewaskan di DUN Permatang Pasir oleh Hj Hamdan Abdul Rahman selaku Pesuruhjaya Pas P.Pinang diberitakan telah membuat laporan polis di Balai Polis Penanti, pada 1 April lalu.

Menurut sumber, Hj Adnan yang dikenali sebagai Pak Nan mendakwa para petugas “counting agent”  umno telah dihalang daripada memasuki SRK Bukit Indera Muda untuk menjalankan tugas mereka pada hari tersebut. SRK Bukit Indera Muda yang mempunyai 4 saluran mengundi merupakan salah satu daripada tempat mengundi untuk N12 Permatang Pasir di Parlimen Permatang Pauh.

Menurut individu terbabit dalam kejadian itu yang dihubungi penulis, mengesahkan perkara tersebut. Namun menurutnya,  kejadian tersebut berlaku kerana kesilapan dan kelalaian  “counting agen umno” itu sendiri.

Menurutnya, tepat jam 5.00 petang, pintu pagar tempat mengundi telah dikunci dan dikawal oleh pasukan polis untuk melicinkan proses pengiraan undi.   Pada  pukul 5.15 petang, ketibaan lewat 4 orang “counting agent” Umno telah tidak dibenarkan masuk  oleh pihak polis.

Anggota polis tersebut memaklumkan, beliau menjalankan amanah dan arahan daripada pihak SPR, bahawa tepat jam 5.00 petang pintu pagar tempat mengundi hendaklah dikunci dan tidak dibenarkan sesiapapun masuk.

Pertikaian ini turut melibatkan petugas-petugas BA yang turut berada di situ, yang mendesak agen umno terbabit mematuhi peraturan pilihan raya.  Lebih-lebih lagi para petugas BA mengesyaki sesuatu, kerana para “polling agen” umno yang didakwa akan diambil alih tugas mereka oleh “counting agent” umno terbabit tidak kelihatan meninggalkan perkarangan sekolah tersebut.

Akhirnya, campur tangan daripada Pemantau SPR dan atas budi bicara Ketua Tempat Mengundi setelah pasukan polis melakukan pemeriksaan keselamatan ke atas keempat-empat individu terbabit, mereka dibenarkan masuk sekitar jam 5.40 petang.

Ketegasan pihak polis dan keprihatinan petugas BA khususnya di UPU Bukit Indera Muda menyebabkan Umno tidak berpuas hati.  Anggota polis yang menjalankan tugas dengan amanah dan penuh tanggungjawab pula cuba dipersalahkan, selepas Pengurus Pilihan Raya Permatang Pauh disiasat BPR beberapa hari lalu.

Umno masih kehairanan. Mengapa khidmat pengundi hantu masih gagal memenangkan mereka di Permatang Pauh ?

- Mat Sepai - 06.04.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN