Apa Sudah Jadi Kepada Nasib Bahasa Melayu?
Assalamualaikum wm. wb.,

Satu perkara yang banyak di perkatakan di akhbar dan televisyen ialah mengenai bahasa Inggeris di dalam Sains dan Matematik. Pelbagai pandangan dan pendapat sama ada yang menyokong atau yang membantah semuanya memberikan pandangan yang tersendiri.

Di dalam perkara ini kita perlu muhasabah kembali sejauh manakah perkara dapat memberikan implikasi kepada pelajar, adakah pelajar akan beroleh satu bentuk kejayaan atau adakah sistem pendidikan akan menuju ke arah kehancuran atau adakah kita hendak balik 30 tahun ke belakang setelah negara berjaya melahirkan profesor Sains dan Matematik dalam aliran Melayu.

Bagaimanakah usaha dewan bahasa dan pustaka dalam tempoh 30 tahun mereka bertungkus lumus setelah pendidikan aliran kebangsaan diperkenal bagi menggantikan aliran Inggeris. apakah kita hendak mensia-siakan usaha mereka..

Yang paling membimbangkan kita bagaimanakah nasib pelajar luar bandar dan di pedalaman yang telah kita sedia maklum tahap pencapaian mereka sebelum ini yang kadang kala tidak mempunyai guru bahasa Inggeris yang berkelayakan.

Kita tidak menafikan bahawa bahasa Inggeris tidak penting tetapi jangan sampai mengorbankan bahasa Malaysia itu sendiri.

Lihat sahajalah negara seperti Perancis, Jerman, Jepun dan sebagainya mereka cukup berbangga dengan bahasa mereka tanpa mengetepikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan antarabangsa.

Walau bagaimanapun kita melihat semua pihak sedang membuat persediaan dan persiapan untuk tahun hadapan daripada kementerian pendidikan hinggalah tadika Islam dalam tempoh yang terdekat ini. Dalam masa yang sama pakar-pakar dalam bahasa Inggeris daripada United Kingdom turut akan diundang bagi melatih dan mempertingkat mutu bahasa Inggeris di kalangan para guru. Inilah suatu bentuk usaha yang bersungguh-sungguh dalam memperkenalkan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Tetapi apabila hudud dan perundangan Islam yang hendak dilaksanakan di Terengganu, maka berlakulah pelbagai alasan dan penentangan. Kita tidak ada kepakaran, kalau dilaksanakan maka habis kudunglah tangan orang Islam maka orang lainlah yang akan maju, undang-undang Islam ini menzalimi wanita dan berbagai-bagai alasan lagi.

Mengapakah kita boleh menjemput pakar bahasa Inggeris tetapi tidak boleh menjemput pakar perundangan Islam dari Timur Tengah.. Saban tahun universiti Al-Azhar mengeluarkan ratusan pelajar di bidang syariah dan perundangan Islam dengan pelbagai kepakaran. kita masih sanggup mengekal dan mengadakan hukum ciptaan manusia walaupun telah terbukti gagal menyelesaikan masalah manusia. Di sini menunjukkan kita telah mengambil alih tempat tuhan dengan mengetepikan hukum ciptaan Allah swt. Yang sesuai di sepanjang zaman dulu kini dan selama-lamanya.

Mat Perai - 22.04.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN