![]() |
Siri
UMNO
Yang Semakin Kepanasan
Prelud Majlis Pok Amai-amai - Persidangan Agung Lembu Pawah Umno |
Selepas gagal mencapai 30% penyertaan Melayu dan bumiputera dalam arus perdana ekonomi negara, tiba-tiba UMNO mahu bangkit memperjuangkannya semula slogan DEB.
Secara tiba-tiba “agenda itu mahu digerakkan melalui parti secara lebih proaktif supaya UMNO yang menjadi senjata orang Melayu, benar-benar dapat mengatasi kelemahan dan keciciran kaum itu dalam banyak bidang.” Demikian kata Muhiyuddin Yassin. Sekali gus UMNO akur pada hakikat bahawa orang Melayu sudah tercicir jauh dalam banyak bidang. Ini juga bererti 15 peratus pegangan ekonomi Melayu bukanlah berada di tangan Melayu marhaen, tetapi hanya pada kurang daripada satu peratus elitis Melayu yang kebanyakannya sedang enak menghayati jawatan besar dalam UMNO.
Seperti biasa, orang UMNO memang pakar dan pandai menggunakan kata-kata menggerunkan untuk menaikkan semangat. Apabila UMNO dianggap sebagai senjata orang Melayu, sekali gus kita faham bahawa UMNO Hadhari tidak membawa erti kepada orang Melayu kerana inilah senjata yang sudah dibuang oleh orang Melayu.
Pelbagai kaedah boleh digunakan untuk membangkitkan semangat orang Melayu agar berpaling semula ke arah UMNO kerana UMNO kononnya yang mahu mengembalikan maruah bangsa yang tercicir jauh di negara sendiri. Tetapi apakah lagi alatnya untuk menajamkan senjata ini? Cuba kita jawab soalan ini:
1. Kenapakah peratusan Melayu yang berumah tangga semakin menurun dan peratusan Melayu yang bercerai semakin meningkat? Trend ini sama dengan trend yang berlaku di Barat dan Amerika Syarikat.
Di Amerika Syarikat bebanan ibu bapa terhadap anak-anak kini tertumpu dan semakin membebankan kerana anak-anak masih perlu dibantu antara usia 17 hingga 35 tahun. Dalam usia begini walaupun ramai yang hidup sendirian, tetapi majoriti anak-anak itu masih pulang ke pangkuan ibu bapa mendapatkan subsidi untuk terus hidup. Adakah bezanya keadaan ini dengan keadaan orang Melayu sekarang?
Rata-rata nisbah pekerja lelaki Melayu dan wanita Melayu di kilang ialah sekitar 1 lelaki bersamaan 12 wanita. Sebahagian besar wanita kilang masih lagi belum berumah tangga kerana tidak ada masa mengenali lelaki Melayu yang SESUAI untuk dikongsi hidup mereka. Kerana itu ramai yang terjebak dengan maksiat hasil pengaruh lelaki mendatang yang masih bujang. Oleh kerana kurangnya lelaki Melayu di kilang-kilang untuk ‘melindungi’ gadis Melayu yang digoda begini, terjebaklah wanita Melayu golongan andalusia ataupun andartu kepada jalan yang menyimpang itu.
2. Kalau pemuda Melayu tidak lagi bekerja di kilang-kilang mana perginya mereka?
Selain berada di pusat pengajian tinggi, kebanyakan pemuda Melayu yang bujang berada dalam pasukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia. Kita ingin ambil kira mereka yang berumur antara 17 tahun hingga tiga puluh tahun sahaja dalam perbincangan ini, dulu. Inilah umurnya seseorang patut menceburkan diri dalam dunia perniagaan untuk naik menjadi pedagang yang berjaya. Kalau kita buat andaian bahawa terdapat 100,000 anggota polis (termasuk polis simpanan) dan 80,000 anggota tentera Malaysia, sudah ada 160,000 semuanya. Kalau diandaikan bahawa 50 peratus adalah dalam lingkungan usia menepati kajian-congak kita, bererti terdapat 90,000 pemuda Melayu bujang yang terlibat dalam pasukan beruniform. Dalam hal ini tak payah kita ambil kira mereka yang bertugas dengan imigresen dan kastam kerana bilangannya boleh mengambil tempat ‘margin of error’ congak kasar kita tadi.
Kalau dikira bahawa bilangan pemuda Melayu keseluruhannya dalam lingkungan usia kajian itu adalah sekitar 1.8 juta mana lagi pemuda itu? Mana perginya mereka ini. Katakanlah 50% daripada 1.8 juta berada di bidang pendidikan (universiti maktab dan pusat latihan vokasional) dan 30% berada di kilang, polis dan tentera – bererti ada 20% yang tidak dapat dihisab. Ini bersamaan dengan 360,000 lagi yang belum kita ambil kira.
Kita diberitahu terdapat sekitar 250,000 anak-anak Melayu yang berada di pusat serenti dan lebih 100,000 lagi yang berada di penjara kerana jenayah kecil-kecilan.
Bayangkan kalau 360,000 anak Melayu berada dalam penjara sedangkan usia mereka adalah dalam lingkungan 17 hingga 30 tahun, apakah projek ekonomi yang dapat kita rancangkan untuk orang Melayu?
3. Kalau terdapat 250,00 pemuda Melayu yang penagih dadah dalam penjara, berapa ramai yang masih berkeliaran dan bebas?
Mengikut kajian yang dibuat di Eropah khususnya di Switzerland kira-kira sepuluh tahun dulu, bagi setiap seorang penagih dadah yang diberikan perlindungan dan proses pemulihan, ada sepuluh lagi penagih dadah yang bebas berkeliaran. Kita tidak perlu ambil angka ini untuk kaitkan di Malaysia kerana takrif penagih dadah itu sudah berbeza. Sebagai contoh, kalau diikutkan takrif penagih dadah Malaysia, dua Presiden Amerika (Clinton dan Bush) adalah bekas penagih dadah. Malahan Bush masih boleh dikira sebagai masih menagih dadah.
Di Switzerland (sebagai contohnya di Zurich), kerajaan menyediakan satu tempat khas di pusat bandar (kawasan taman bunga) di mana penagih dadah bebas untuk mendapatkan bekalan dan apa juga keperluan dadah untuk melepaskan gian, dengan harga berpatutan. Sesiapa yang ditangkap memiliki dadah di luar kawasan itu akan didakwa dan dipenjarakan. Ini bererti kerajaan dapat mengawal masyarakat penagih dadah dan mutu dadah yang diedarkan. Tetapi di Malaysia dadah yang diedarkan melalui pengedar eceran ada kalanya dicampurkan dengan racun tikus.
Tetapi di Malaysia, pusat serenti untuk penagih dadah merupakan tempat penagih dadah masih bebas menerima bekalannya. Begitu juga di penjara dan di lokap polis. Keadaan ini akan berterusan kerana budaya rasuah sudah mendarah daging di kalangan pihak polis dan setiap institusi penguat kuasa undang-undang di negara ini.
Oleh kerana kerajaan tidak serius menangani pasaran dadah secara berkesan maka anak Melayu yang menjadi penagih dadah, lambat laun akan menjadi bangkai bernyawa sebelum menemui ajalnya. Itu sebabnya buat masa kini tidak ada satu keluarga Melayu yang tidak mempunyai salah seorang sanak saudaranya yang menjadi penagih dadah. Selalunya sebelum penagih dadah menjadi semacam bangkai bernyawa, dia akan terjebak dengan apa juga jenis jenayah yang memudahkan beliau mendapat wang membeli dadah.
Tentu kita hairan bagaimana anak-anak muda Melayu yang mudah terperangkap dengan dadah, sedangkan ia amat bertentangan dengan ajaran Islam? Jenis dadah yang digunakan pula amat mudah diperolehnya seperti gam, ganja dan pil pengkhayal. Pil pengkhayal dan ubat batuk mudah dibeli di kedai singseh merata negara.
Mungkin orang Melayu tidak sedar bahawa di Malaysia ini terdapat 11,000 (sebelas ribu) kedai singseh Cina yang bertaraf haram masih beroperasi.
Satu ketika dahulu kerajaan melancarkan operasi besar-besaran mengharamkan penjualan pelbagai serbuk makjun dan jamu yang terdapat di tepi jalan, kerana dikatakan mengandungi ‘racun’ berbahaya (Cortesone sebenarnya). Yang lucunya di Indonesia jamu dan makjun itu digunakan oleh rakyatnya berjumlah 205 juta berturun temurun. Tetapi apa bezanya dengan singseh haram yang merata negara? Kenapa tidak ada operasi besar-besaran? Jawapannya kerana pemimpin UMNO tidak mahu kerugian undi masyarakat ini masa pilihan raya.
Kerajaan pimpinan UMNO tidak boleh berkata yang ia menangani masalah dadah dengan serius kerana tidak ada seorang pun raja pengedar dadah yang pernah ditangkap dan dihukum mati sejak UMNO memerintah. Yang ditangkap dan dihukum mati ialah sipenagih dan sipenjual eceran dadah bukannya pengedar dadah. Kalau ada pengedar dadah yang ditangkap, dia akan dipulihkan di pusat tahanan di Simpang Renggam di mana dia dapat bersama-sama berehat dengan beberapa pegawai polis yang dikenakan hukuman tatatertib sebagai ganti supaya tidak didakwa di mahkamah terbuka.
4. Apakah jenis Melayu yang diharap dapat membangunkan Ekonomi Melayu?
Apabila kita menyebut peningkatan ekonomi, apakah jenis ekonomi yang mahu ditingkatkan? Tentu sekali bukannya ekonomi perkilangan ataupun industri yang besar-besar kerana memang tidak ada Melayu yang pakar dalam bidang ini setakat ini, kecuali segelintir sahaja. Itu pun, jenis Melayu begini cuba sedaya upaya menjauhkan diri daripada UMNO kerana mereka naik dengan usaha sendiri. Lainlah kalau Melayu jenis dapat kontrak besar seperti menyiapkan peralatan kilang nuklear yang berjuta ringgit sekali kontraknya. Ataupun syarikat mengeluarkan tiket penerbangan seperti Ambak Travels and Tours.
Ini tidak bererti orang Melayu tidak mampu mengusahakan industri besar-besaran. Tetapi peluang untuk memasarkan barangan itu tidak ada ataupun terlalu sempit untuknya.
Sesungguhnya konsep menonjolkan Melayu berniaga besar pada permulaan Dasar Ekonomi Baru dulu adalah langkah yang paling besar kesilapannya. Oleh kerana ketiadaan pengalaman makanya Melayu yang ditonjolkan dalam bidang itu jatuh muflis akhirnya, sedangkan rakan ‘ali baba’ yang digalakkan dalam usahasama mereka terus naik dan maju jaya.
5. Apakah akan dihidupkan kembali Konsep ‘Ali Baba’?
Kalau kita amati konsep Islam Hadhari, besar kemungkinan Konsep berniaga ala ‘Ali Baba’ akan dihidupkan kembali. Tujuannya ialah untuk memancing undi kaum Cina dan India agar terus mengundi calon BN dan UMNO. Tetapi inilah konsep yang menjatuhkan ekonomi Melayu. Lihat sahaja kepada projek ‘Tekun’ yang khusus untuk ahli-ahli UMNO.
Setakat 31 Mac, 2003 (hanya lebih satu tahun yang lalu) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) telah mencatatkan secara rasminya, seramai 66,696 usahawan kecil telah mendapat pinjaman berjumlah RM270 juta. Demikian yang pernah diumumkan oleh Khalid Yunus semasa menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan tahun lalu. Daripada jumlah tersebut 7,822 orang usahawan terlibat merupakan peminjam kali kedua dan ketiga dengan jumlah pinjaman sebanyak RM58 juta.
Daripada 66,696 itu, 10,420 orang peminjam telah melangsaikan pinjaman mereka manakala selebihnya dalam proses pembayaran.
Apa yang tidak dinyatakan di sebalik angka tersebut ialah 10,420 orang peminjam yang membayar balik itu adalah antara bilangan besar yang mendapat pinjaman kedua dan ketiga. Bukan semuanya membayar balik kerana untung. Ada yang rugi tetapi meminjam di tempat lain untuk menutup hutang lama dan menuntut pinjaman baru.
Satu tahun sudah pun berlalu, cuba kita cari jawapannya: Adakah satu senarai lengkap akan jenis perniagaan dalam projek pinjaman TEKUN? Berapa yang berjaya setakat ini dan berapa yang muflis? Berapa di antara mereka yang merupakan ketua cawangan dan bahagian UMNO ataupun proksi menteri dan ahli Majlis Tertinggi UMNO?
... akan bersambung ke Bahagian Ketiga: Merancang Ekonomi Melayu Sesedap Khayalan
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>
13 Ogos, 2004 (suntingan M@RHAEN)
![]() |
![]() |