|
Pilihan Raya Menipu Rakyat |
Sekali gus ia menafikan segala kerja susah payah dan tungkus-lumus parti-parti pembangkang yang selama ini yakin dapat menandingi Barisan Nasional dalam usaha menjadi wakil rakyat. Khususnya PAS yang telah berusaha selama lebih empat tahun untuk menebar pengaruhnya di luar Kelantan dan Terengganu. PAS kehilangan tampuk kerajaan di Terengganu di mana Barisan Nasional menang 29 daripada 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Keadaan di Kelantan jelas cemas apabila BN dapat 21 kerusi dan PAS memperoleh 24 kerusi. Ini memberikan kuasa kerajaan terus di tangan PAS dan berkemungkinan berubah seandainya BN berjaya memancing dan memikat beberapa pemenang kerusi PAS melompat masuk BN.
Inilah dia kesan usaha UMNO di bawah TKT Mahathir dulu yang menjadikan politik itu satu bentuk perniagaan sehinggakan ia membesar menjadi satu industri yang tidak ada tolok bandingnya di negara ini bahkan di seantero dunia.
Sesungguhnya Pilihan raya Umum ke-11 ini layak dicatatkan dalam sejarah sebagai sesuatu yang unik kerana beberapa ciri pengurusan dan perjalanannya belum pernah terjadi dan dijadikan sebelum ini. Sebagi contoh, undang-undang pilihan raya menetapkan bahawa masa pembuangan undi mesti berakhir pada jam 5.00 petang. Seandainya masa lanjutan diperlukan, persetujuan calon yang bertanding mesti didapatkan terlebih dahulu, sebelum SPR membuat pengumuman itu.
Entah kenapa agaknya SPR mengumumkan lanjutan masa pada beberapa stesen mengundi di Lembah Kelang sehingga jam 7.00 malam. Khabarnya keputusan mengejut itu dikuatkuasakan setelah SPR mendapati calon-calon BN sudah semakin kecundang. Di sebelah pagi, berlaku banyak kekecohan apabila nama pengundi tidak tersenarai dalam daftar pengundi yang disimpan oleh calon-calon yang bertanding. Tetapi nama itu ada pula dalam senarai SPR sendiri. Yang anehnya daftar pengundi yang terkini hanya dapat diperolehi apabila waktu mengundi dimulakan. Apabila lanjutan masa dibuat, pengundi yang dinafikan hak mengundi tidak pun tahu-menahu akan perkara itu. Kalaupun mereka sedar dan tahu, mereka sudah naik mual dan malas untuk melaksanakan tugas mereka yang terbantut itu.
Kerajaan Paklah Adalah Kerajaan Yang Tidak Sah
Di mana juga di dunia ini, apabila jelas terbentang bukti telah berlaku penyelewengan dalam proses sesuatu Pilihan Raya Umum, sepatutnya Pilihan Raya Umum itu harus dikira batal dan perlu diadakan semula. Kita tidak mahu bincangkan perkara ini sedalam-dalamnya kerana pihak pembangkang sudah pun menghantar bantahan kepada SUHAKAM dan meminta diadakan pilihan raya semula. Dalam hal ini saya ingin merakamkan pendapat ikhlas saya, bahawa adalah sukar untuk pembangkang menang tuntutan agar diadakan pilihan raya itu semula. Sistem kehakiman negara sudah hancur-lebur dan kita boleh jangkakan Paklah tidak akan berani merobah sistem itu kalau ia dapat menjamin keselamatan beliau dan UMNO daripada sebarang serangan yang dibuat oleh rakyat jelata melalui proses perundangan.
Pembangkang boleh merayu kepada Majlis Raja-Raja agar mengadakan persidangan tergempar dan membincangkan perkara ini. Semua NGO boleh bersatu untuk mengemukakan rayuan ke peringkat antarabangsa dengan segala bukti yang sahih. Sekali lagi ini bukannya kerja mudah kerana banyak NGO di negara ini adalah milik para kroni belaka.
Sekali lagi rayuan rakyat kepada raja-raja akan hanya berjaya setakat melepaskan batuk di tangga. Majlis raja-raja masih kebingungan apakah sebenarnya peranan mereka sejurus diajar dengan berani oleh TKT Mahathir dulu. Kalau Sultan Pahang sanggup turun padang meminta rakyatnya mengundi calon BN,UMNO apakah lagi yang dapat diharapkan daripada raja-raja secara keseluruhannya?
Sesungguhnya apa yang disebut sebagai kemenangan besar BN.UMNO seharusnya ditafsirkan oleh rakyat sebagai satu penipuan besar. Tetapi, lihat sahaja apa kelakuan rakyat jelata dengan keputusan itu? Tidak ada sedikit reaksi hangat daripada rakyat yang mahu menentangnya. Ini terjadi kerana minda rakyat jelata sudah disogok dengan hasutan yang memukau mereka sehingga sanggup menerima keputusan pilihan raya yang penuh penipuan.
Bagaimana BN.UMNO menipu dalam pilihan raya ke-11?
Kita akan ungkit sedikit sahaja cara penipuan yang dilakukan, dengan perancangan rapi yang dibuat oleh SPR. Secara kasarnya sudah ada bantahan rasmi daripada pihak pembangkang kepada SUHAKAM.
a) SPR buat peraturan baru termasuk memberikan hanya satu jam untuk menyerahkan surat pencalonan, tetapi memberi tiga hari untuk calon membuat pendirian menarik diri. Tujuan di sebalik strategi itu ialah untuk membolehkan BN memancing calon-calon PAS dan KeADILan agar menarik diri untuk membolehkan calon BN khususnya UMNO menang mudah.
Itulah caranya Syed Hamid Albar menang tanpa bertanding. Tetapi rencana UMNO seterusnya terbantut apabila tertangkapnya seorang agen UMNO yang mahu membeli calon PAS yang menentangnya. Akan tetapi Azalina Othman telah menang tanpa bertanding dari segi teknikal. Calon PAS dikatakan sudah menjadi muflis tanpa pengetahuan beliau. Soalnya sekarang siapa yang memufliskannya? Bagaimana pula Azalina Othman boleh membuat bantahan selepas masa pencalonan, sedangkan dia tidak tahu-menahu siapa yang akan menentangnya? Kes ini sama menariknya dengan kes kertas undi yang ‘melambak di luar dewan mengundi’ selepas tamat waktu pengundian.
b) Daripada begitu banyak kawasan yang menang tanpa bertanding, UMNO telah dapat mengumpulkan satu pasukan berkereta di kalangan ahli-ahlinya di sana untuk naik ke utara dan menjadi pengundi hantu. Upah bayaran seorang termasuk minyak keret, sewanya, sewa bilik, makan minum dan sebagainya ialah RM1,000 setiap seorang. Anehnya pengundi hantu UMNO hanya digembleng untuk menumpaskan pencabar calon pembangkang berbangsa Melayu. Undi hantu tidak digunakan untuk mengalahkan calon-calon pembangkang bukan Melayu. Itu sebabnya Karpal Singh dan Lim Kit Siang berjaya menang untuk menduduki kerusi parlimen yang sudah lama mereka tinggalkan.
c) Setakat mana pengundi hantu daripada Johor naik, tidak dapat disahkan lagi. Khabarnya mereka sama-sama naik ke utara bersama pengundi hantu di Selangor. (Di bahagian Perlis dan utara Kedah, khabarnya UMNO telah menggunakan khidmat orang-orang Myanmar). Bayangkan calon Melayu yang bertanding di kawasan yang majoritinya orang Melayu boleh kalah. Sedangkan calon-calon itu bukannya calang-calang tokoh. Sebagai contoh ialah Dr. Lo’ Lo’ daripada PAS yang bertanding di Bukit Gantang, boleh tumpas kepada seorang calon Cina daripada BN.
d) Kertas pencalonan di Sungai Lembing sengaja disalah-cetak untuk membolehkan pengundi hantu daripada kawasan itu berhijrah ke kawasan Pekan dan menjamin kemenangan Najib Tun Razak. Besar kemungkinan mereka naik ke atas untuk menguasai sebahagian Terengganu hingga ke kawasan Gambang. Untuk menentukan mereka tidak terburu-buru pulang mengundi bagi diri sendiri di Sungai Lembing, maka ‘dirosakkan’ persiapan untuk Sungai Lembing. Mudah sahaja strateginya kerana boleh dijadualkan pada waktu lain.
e) Perancangan yang sungguh meyakinkan BN dan UMNO bermula di Putrajaya. Kira-kira dua bulan dulu, penempatan haram pendatang Indonesia di sekitar Putrajaya telah digugat dan mereka yang ditangkap telah dibawa ke kem tahanan. Khabarnya orang-orang tahanan ini telah digunakan untuk memangkah di Putrajaya, sedangkan ramai penghuni di Putrajaya tidak dapat mengundi kerana nama mereka dighaibkan daripada pendaftaran mutakhir SPR.
Demikianlah sedikit sebanyak hikayat pembohongan UMNO BN untuk merampas kemenangan secara menyapu bersih kerusi Parlimen dan DUN. Tingkah laku Adnan Mansor mengugut pegawai kerajaan agar mengundi beliau harus dijadikan satu bahan yang boleh membatalkan keputusan pilihan raya di Putrajaya. Malahan, kes bagaimana seorang anak paria boleh menjadi Tengku harus dijadikan dalil yang Adnan tidak layak menjadi seorang wakil rakyat.
Tindakan Yang Harus Dikepalai oleh Pemimpin Pembangkang.
Rata-rata di luar negara media asing memuji kemenangan UMNO BN. Ada yang menyebut kumpulan fundamentalis Islam kalah teruk. Siapa yang merupakan fundamentalis Islam? Apakah mereka maksudkan parti PAS sebagai fundamentalis Islam? Kalau fundamentalis, sudah tentu negara ini sudah pun huru-hara kerana membangkang keputusan pilihan raya yang tidak jelas dan telus.
Sepatutnya kerajaan Malaysia menepis sebarang tohmahan bahawa wujud kumpulan fundamentalis Islam di negara ini, kerana ia mungkin menjejaskan suasana pelancongan dalam negara.
Mungkin juga kerajaan BN tidak mampu menepisnya kerana terjebak dengan kemelut menahan beberapa tahanan di bawah ISA yang kini sedang melancarkan mogok lapar mereka. Begitu juga dengan beberapa tahanan yang dilabelkan sebagai Al-Maunah, dan sebagainya. Kalau mengikut tafsiran fundamentalis Islam, kerajaan Paklah merupakan kerajaan fundamentalis Islam kerana mengurung tahanan tanpa bicara dan tidak memikirkan masalah keluarga mereka.
Semua parti pembangkang harus bergabung tenaga dan menarik pembabitan rakyat jelata menolak keputusan pilihan raya ke-11 ini sebagai sesuatu yang tidak sah. Kalau pemimpin parti pembangkang, khususnya PAS gagal mengepalai barisan bantahan ini, bererti mereka mengecewakan harapan rakyat marhaen yang mahukan pembelaan terhadap nasib mereka.
Kemenangan besar BN.UMNO akan diikuti dengan beberapa perubahan dalam pentadbiran negara. Parlimen sudah tidak bermakna. Kalau di zaman TKT Mahathir, dia boleh menyaksikan perjalanan parlimen daripada pejabatnya, apalagi yang diharapkan kali ini daripada Paklah. Besar kemungkinan dia akan dapatkan lintas langsung persidangan parlimen terus ke kamar tidurnya.
Rakyat marhaen yang sukakan kestabilan negara memang mahukan kemenangan (tipu) BN.UMNO ditentang habis-habisan. Inilah masanya pemimpin parti pembangkang menunjukkan kesetiaan mereka kepada rakyat. Tidak ada gunanya mengeluarkan kenyataan bagaimana kerajaan Paklah menipu rakyat dalam Pilihan Raya Umum itu. Yang penting, keputusan pilihan raya itu mesti ditolak dulu. Seluruh dunia harus diberitahu mengenainya. Kebangkitan rakyat mesti diatur bukan sahaja di Putrajaya ataupun Kuala Lumpur. Ia mesti diatur di semua ibu negeri dan rakyat mesti diajak turut menyertainya.
Besar kemungkinan Paklah akan menggunakan ISA menangkap pemimpin parti pembangkang. Tidak mengapa............. ini mesti dianggap satu pengorbanan. Seluruh dunia harus diberitahu. Seluruh agensi luar negara harus diberi penjelasan bagaimana rakyat bangkit menolak keputusan pilihan raya yang ditipu.
Pemimpin Pembangkang harus merencana satu pelan induk apakah tindakan seterusnya. Mungkin susun program memboikot benda tertentu seperti majlis rasmi kerajaan, ataupun melancarkan ‘cartel’ sebagai bantahan awal. Cuba lancarkan boikot akhbar perdana dulu, dan lancarkan selama beberapa minggu.
Di waktu yang sama lancarkan satu tabung khas untuk membolehkan rakyat memberikan derma bagi perjuangan ini.
Pemimpin pembangkang harus bersatu dan menyusun strategi yang mantap menentang keputusan pilihan raya itu. Maklumat yang jelas mesti disiarkan melalui Internet supaya rakyat marhaen faham segala butirannya. Gabungan pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara harus dihubungi untuk menjelaskan perkara yang sebenar.
Inilah masanya pemimpin PAS keluar dengan lantang untuk menebus dosa dan kesilapannya kepada rakyat marhaen. Harus diingat, PAS naik mencanak dalam Pilihan Raya Umum 1999 dulu kerana mereka tonjolkan penderitaan Anwar Ibrahim sebagai isu pokok mereka. Tetapi apabila menang, Anwar Ibrahim mereka abaikan. Malahan setelah menang dan selesa di kerusi empuk, kebanyakan pemimpin PAS sudah semacam lupa daratan sehingga lupa etika berpolitik. Contohnya apabila Haji Hadi Awang menggelarkan Karpal Singh dan Lim Kit Siang sebagai ubat yang melepasi tarikh luputnya, saya anggap itu sebagai satu sikap riak dan bongkak. Cuba fikirkan berapa umur Karpal Sing dan Lim Kit Siang dan bandingkan dengan umur TKT Mahathir serta Nik Aziz? Yang membuatkan saya sedih, kenyataan Hadi telah dirakamkan oleh CNN, sekali gus mendedahkan beliau kepada kritikan yang terbuka.
Sepatutnya semua pemimpin PAS sedar diri dan ambil semula isu Anwar Ibrahim dan perjuangkan nasibnya. Begitu juga dengan tahanan ISA yang dipenjarakan tanpa bicara. Kalau ini dapat mereka laksanakan, mereka akan dihormati oleh semua lapisan rakyat marhaen di negara ini, semula.
Semua pemimpin Melayu di pihak pembangkang harus ambil iktibar kisah wakil rakyat DAP yang digantung oleh Parlimen satu ketika dulu. Wakil DAP itu telah digantung oleh Speaker parlimen dan dinafikan elaun bulanannya. Tetapi masyarakat Cina telah mengadakan satu tabung khas di mana mereka menjamin wakil DAP itu tidak kekurangan wang untuk terus menjalankan tugasnya. Dalam Pilihan Raya Umum kali ini beliau telah berjaya mengalahkan ketua MCA Perak (Ong Kah Chuan), abang kepada presiden MCA, kerana pengundi Cina bersatu menyokong beliau.
Sebaliknya semasa Lim Guan Eng dipenjarakan kerana memperjuangkan nasib seorang nenek yang cucunya dibalun oleh bekas ketua menteri Melaka, kenapa tidak ada seorang pun pemimpin Melayu dalam parti pembangkang yang maju ke hadapan menubuhkan tabung khas untuk membantu beliau semasa dalam penjara?
Dua senario di atas adalah satu contoh yang jelas betapa ramai pemimpin politik Melayu baik di pihak pemerintah mahupun di pihak pembangkang masih mengamalkan budaya berpolitik ala syok-syok sendiri. Inilah juga antara sebab yang utama kerana mereka gagal menarik minat golongan profesional untuk menjadi pengikut mereka.
Buat masa ini Paklah digembar-gemburkan sebagai pemimpin yang ulung yang tidak ada tolok bandingnya di negara ini. Semua itu gara-gara BN menyapu bersih kerusi di Pilihan Raya Umum ke-11. Sedangkan semua itu adalah hasil konspirasi dan tipu muslihat juga. Kita harus ingat Paklah adalah juga pengerusi OIC dan NAM pada kali ini. Apakah peranannya dalam tugas yang mencabar itu? Adakah terpacul kata-kata hikmah darinya dalam kes pembunuhan ketua Hamas? Bagaimana dengan kisah rakyat marhaen Afghanistan yang kini diserang secara ‘ethnic cleansing’ oleh Amerika? Bagaimana pula dengan nasib rakyat Iraq yang terus merana dijajah Amerika?
Sebenarnya Paklah tidak dapat menonjolkan ketokohannya sebagai pemimpin dunia gara-gara sudah diperangkap terlebih awal oleh Amerika dalam kes pembikinan peralatan serombong nuklear oleh syarikat milik anaknya. Kalau dia benar-benar pintar sepatutnya dia melantik beberapa petugas khas di kalangan warga Malaysia yang pintar untuk menjadi ‘roving ambasador’ menggantikan beliau menangani setiap masalah yang dihadapi oleh OIC dan NAM.
Sesungguhnya kebangkitan rakyat menentang keputusan pilihan raya kali ini harus digunakan oleh semua pemimpin parti pembangkang untuk menunjukkan keikhlasan mereka menentang parti pemerintah secara terbuka dan secara aman. Penentangan harus diteruskan sehinggalah keputusan pilihan raya ditolak dan satu pilihan raya baru dilaksanakan.
Langkah bijak ini adalah satu jalan pintas untuk mengelakkan negara ini dirasuk kuasa luar yang berkemungkinan menggunakan angkatan tentera kita daripada merampas kuasa ataupun meredakan ketegangan di kalangan rakyat marhaen yang sudah bersiap sedia menyatakan rintihan mereka melalui tunjuk perasaan di jalan raya.
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>
25 Mac, 2004 (suntingan M@RHAEN)
|