|
Orang Melayu Lebih Takutkan Mahathir Daripada Allah (Bhgn 11) |
Kenapa Paklah Kelihatan Gelabah?
Belum pun sampai 100 hari Paklah menjadi Perdana Menteri, pelbagai nama dan panggilan telah diberikan padanya.
Ada yang kata dia PM Ehsan, ada yang kata dia PM Lembik, ada yang menyebut beliau adalah PM Proksi TKT Mahathir. Antara yang lebih teruk lagi ada yang mengatakan bahawa dia terlalu sayangkan isterinya, makanya ada keputusan yang dibuatnya itu adalah cerminan keputusan yang terlalu kuat dipengaruhi oleh isterinya.
Apa pun, kita harus akur kepada hakikat bahawa bukannya mudah menjadi seorang perdana menteri, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara yang majmuk seperti kita ini. Sebagai presiden BN, Paklah terpaksa berdepan dengan pelbagai jenis ‘penyamun’ yang kini menjadi pemimpin parti komponen BN. Bagaimana pula dengan penyamun Melayu yang kini menjadi pemimpin bahagian dan cawangan UMNO? Itu pun kita belum ambil kira bakal penyamun yang akan muncul dengan watak ‘Kassim Baba’ yang kini sudah berkhemah di bawah ketiak beliau.
Sebenarnya kalau mahu bercakap secara terus-terang, Paklah hanya menghadapi dua masalah besar sebagai Perdana Menteri daripada sudut menonjolkan ketokohannya. Pertama, dia masih dibayangi oleh ketokohan TKT Mahathir. Baik daripada segi penyampaian dan putar-belit retorik, Paklah memerlukan banyak masa untuk menunjukkan kebolehannya yang tersendiri. Tetapi bukannya mudah bercakap sebagai seorang pemimpin untuk meyakinkan orang lain. Apabila dia bercakap kepada khalayak ramai, Paklah sudah dikira ‘out’ kerana dia dibayangi ketokohan TKT Mahathir yang begitu bersengaja untuk menonjolkan ideanya, walaupun idea itu kadangkala ternyata satu penipuan yang selamba.
Kedua, apa juga yang Paklah lakukan ini dia tidak boleh lari daripada label PM Ehsan kerana dia naik menjadi Perdana Menteri disebabkan TKT Mahathir TERSASUL mahu meletakkan jawatan dalam persidangan UMNO dulu. Perbuatannya itu adalah kerana tekanan yang terlalu mendadak yang menghambatnya kerana pelbagai dosa besar yang dilakukan semata-mata mahu terus berkuasa. Oleh kerana label ‘ehsan’ inilah membuatkan Paklah semacam tidak berkesan menjalankan tugasnya, betapa pun beliau berusaha untuk menonjolkan ketokohan itu.
Akan tetapi, kalau diambil iktibar kepada apa yang terpapar ekoran ucapan Hari Raya Paklah, kita memang boleh rasa kecewa kerana Paklah gagal mengambil peluang yang terbentang luas untuk beliau menonjolkan ketokohannya sebagai seorang Perdana Menteri baru yang boleh diyakini. Semasa menyambut hari raya ini sepatutnya Paklah menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang dapat memadamkan sedikit ketokohan TKT Mahathir dengan mengambil peluang yang terbentang luas. Sebaliknya Paklah telah bertindak seolah-olah dia masih takut-takut dibayangi TKT Mahathir dan para juak beliau yang masih berkeliaran dan bersiap sedia dengan ‘keris’ pendek menikam setiap usaha beliau mahu menumpulkan bisa ketokohan TKT itu.
Kita boleh rakamkan beberapa contoh kenapa Paklah nampak masih takut-takut membuat keputusan.
a) Penyingkiran Dolah Kok Lanas daripada jawatan Ketua Editor NSTP (New Straits Times Press).
Sebenarnya saya sudah ramalkan perkara ini dalam penulisan ABDK Bahagian 2. Orang tidak terkejut kalau Paklah menggantikan DKL, tetapi cara beliau disingkirkan itu nampak sangat semacam satu tindakan membalas dendam. Saya tidak fikir Paklah yang bertindak demikian, kerana takkan dia mempunyai dendam kesumat terhadap DKL. Apa salahnya Paklah memanggil DKL dan meminta beliau melepaskan jawatannya secara berhemah? Sebenarnya DKL menerima balik apa yang dibuatnya kepada orang lain. Semasa dia naik menjadi Ketua Editor NSTP, langkah pertama yang dibuatnya ialah menyingkirkan Tan Sri Samad Ismail daripada jawatan Penasihat NSTP, dan beberapa tokoh lama NSTP yang tidak mengikut cakapnya.
Perkara itu tidak boleh dijadikan asas untuk memecat DKL, kerana membalas dendam secara begitu menunjukkan kelemahan diri kita. Bangsa yang selalu suka membalas dendam tidak boleh menjadi satu bangsa yang besar, lagipun dendam-berdendam adalah bertentangan dengan rukun hidup di negara yang majmuk.
Oleh kerana DKL telah diaibkan ketika beliau berada di pentas dunia (Hong Kong) apa juga alasan penyingkiran beliau itu tidak mudah diterima oleh orang yang waras. Lagipun, Dollah bukannya muka baru dalam dunia kewartawanan. Dia mempunyai rakan dan taulan dalam jurusan itu merata dunia. Menyingkirnya dengan penuh keaiban menjadi satu markah negatif dalam usaha Paklah mahu menonjolkan ketokohannya. Soalnya sekarang, siapakah dalang yang menyingkirkan Dolah secara itu?
Kita tentu teringat kisah bagaimana rumah rasmi Timbalan Perdana Menteri yang diduduki oleh Anwar Ibrahim telah dipotong bekalan api elektrik dan bekalan air pada hari beliau dipecat oleh TKT Mahathir. Ini menunjukkan ada seseorang ataupun satu kumpulan manusia yang berotak haprak yang melakukan perkara sedemikian ketika itu dan juga semasa Dolah Kok Lanas berada di Hong Kong.
b) Sempena menyambut Hari Raya Paklah telah membebaskan 19 tahanan ISA termasuk 15 orang yang telah dipenjarakan kerana dituduh menjadi pengikut Al-Maunah. Di sinilah Paklah tersilap besar. Kenapa tidak keluarkan semua tahanan ISA yang dituduh di bawah KMM, Al-Maunah, Al-Arqam, Jemaah Islamiah dan juga pelajar daripada Pakistan itu sekali gus? Apakah benar mereka ini orang-orang yang berbahaya jika dibandingkan dengan Jackey Chan dan segala penyeludup beras serta pengusaha nombor ramalan haram dan ceti haram di negara ini?
c) Bandingkan peranan tahanan itu semua dengan pengusaha dan pengedar dadah yang berselindung di sebalik gelaran Datuk dan bintang yang mereka beli secara menyogok pemimpin UMNO dan istana, ataupun di sebalik jawatan mereka sebagai Ketua Cawangan MCA dan MIC ataupun Gerakan? Siapakah sebenarnya musuh negara?
Kalau Paklah bebaskan semua tahanan ISA itu, sekali gus Paklah dapat menolak ke tepi ketokohan TKT Mahathir lima kali ganda yang mahu dilakukan oleh orang-orangnya selama ini.
Penahanan di bawah Akta ISA terhadap semua orang ini dengan mengaitkan mereka kepada Al-Arqam, Al-Maunah, JI, KMM dan apa juga nama yang direka-reka tidak pernah dipersetujui oleh masyarakat Melayu. Lebih sembilan puluh peratus orang Melayu membenci Mahathir dan UMNO kerana perkara ini. Pertama, orang Melayu sedar bahawa ISA adalah ciptaan penjajah British untuk menyekat kedurjanaan orang Cina yang mahu menegakkan negara Bintang Tiga di negara ini. Tetapi apabila TKT Mahathir mencengkam kuasa dia gunakan Akta ISA untuk merembat siapa juga orang Melayu yang dianggapnya berbahaya. Persoalanya, berbahaya terhadap apa? TKT Mahathir menuduh sekumpulan Melayu yang digelar Al-Maunah mahu merampas kuasa dengan mencuri senjata daripada dua kem tentera di Grik dan berpecah menjadi tiga kumpulan. Satu kumpulan menyerang satu kuil di Batu Caves dan satu kumpulan melontar bom di kilang arak di Sungei Way. Kumpulan utama pimpinan Amin berada di atas bukit di Jenalik Hilir untuk mencuba senapang yang dicuri.
Keseluruhan penduduk Jenalik Hilir mengaku bahawa episod Al-Maunah adalah mainan TKT Mahathir untuk mengabui pemikiran Majlis Raja-raja Melayu yang ketika itu bersidang di Ipoh. TKT Mahathir telah mengemukakan cadangan agar raja-raja setuju mengeluarkan ‘fatwa’ agar PAS menggugurkan perkataan Islam dalam nama partinya. Mujur Majlis Raja-raja enggan berbuat demikian, walaupun Mahathir bedebah itu bercakap di TV dan radio mengatakan ada serangan yang dilakukan terhadap kuil Batu Caves dan kilang arak oleh serpihan Al-Maunah.
Kini, tiga tahun berlalu, sebahagian besar orang-orang yang dituduh sebagai ahli Al-Maunah masih dikurung. Bayangkan siapa yang menanggung dosa terhadap penderitaan keluarga mereka yang tertekan? Berapa ratus manusia dan nyawa yang menanggung kepedihan hidup sehingga kini? Jawapannya keseluruhan masyarakat Melayu yang menanggung dosa itu.
Sepatutnya PAS dan Keadilan menganjurkan satu petisyen kepada Majlis Raja-raja meminta kesemua tahanan ini dibebaskan serta merta. Sepatutnya orang Melayu menghantar tandatangan mereka mendesak Raja-raja membebaskan semua tahanan ISA. Apabila PAS sebagai parti Melayu terbesar tidak mampu dan berminat membuat tugas ini, saya berani katakan di sini bahawasanya PAS dan pemimpinnya sengaja membiarkan isu ini sebagai modal politik mereka semata-mata. Daripada hukum Islam, adalah berdosa memecah-belahkan sesuatu keluarga tanpa kesalahan yang sahih.
Malahan Raja-raja Melayu pun turut berdosa kerana membiarkan rejim TKT Mahathir menangkap orang-orang ini atas alasan militan dan menahan mereka tanpa bicara.
Saya berani kata di sini, inilah antara sebabnya kenapa ekonomi orang Melayu tidak pernah maju jaya selama ini. Kita (termasuk saya) sengaja alpa membiarkan Mahathir bedebah bermaharajagila. Sepatutnya kisah orang Melayu yang tidak berdosa ini disumbat di bawah Akta ISA sudah lama selesai dengan kebangkitan orang Melayu membantah secara padu kalaupun tidak memberontak di jalan raya. Inilah yang disebut oleh Paklah negara ini aman damai kerana semangat muhibah rakyat negara ini. Orang Putih kata ‘muhibah my foot’. Sebenarnya orang Melayu sudah terlalu takut tergelincir nasi dan habuan politik yang disuapkan ke mulut mereka mengikut perancangan subsidi hidup UMNO ala-Mahathirisme.
Baru-baru ini MGG Pillai ada menulis kisah Presiden Romania, Noel Causescue yang telah diterajang keluar oleh rakyat pada 1989 kerana rakyat hilang sabar. (Saya pernah meramalkan perkara semacam ini mungkin berlaku di negara ini apabila pelajar dan peneroka bersatu, bersama orang kampung menghumban UMNO. Jalan keluar daripada fenomena ini hanya mungkin kalau Paklah nanti menggabungkan UMNO dengan calon pilihan raya yang menang daripada PAS dan Keadilan untuk menubuhkan kerajaan campuran yang baru selepas pilihan raya umum nanti).
c) Selain daripada menjadi Perdana Menteri, Paklah adalah juga Pengerusi OIC dan NAM. Selagi Paklah menahan orang-orang Melayu di bawah ISA, Paklah tidak dapat menjalankan peranan dua jawatan antarabangsa itu dengan berkesan. Bagaimanakah Paklah mahu mendesak Amerika Syarikat dan PBB agar semua tahanan di Kem X-Ray di Cuba yang disumbat oleh Amerika Syarikat kerana mereka dikatakan pejuang nekad Afghanistan dulu? Semua mereka itu ditahan laksana tahanan ISA oleh Amerika, tanpa bukti dan bicaranya.
Paklah harus mengambil iktibar daripada kelentungan TKT Mahathir yang cakap besar menyindir Amerika, tetapi tidak ada hasil berkesan sebenarnya. Malahan kalau diteliti, semua cakap besar itu adalah satu drama yang dilakonkannya dengan ehsan kumpulan ‘illuminati’ dan Freemason.
Sebagai Pengerusi NAM dan OIC, Paklah harus membersihkan penjara dan pusat tahanan Malaysia daripada semua tahanan politik dan mereka yang disyaki sebagai militan. Jika tidak, kemukakan mereka yang dikatakan militan itu di mahkamah terbuka.
Oleh kerana Paklah tidak berani melepaskan semua tahanan ISA sedangkan dia mempunyai kuasa, bererti Paklah seolah-olah takutkan sesuatu. Apa dia? Cuba kita kaji beberapa faktor ini:
i) Saya berani katakan di sini Paklah menghadapi masalah kumpulan penasihat yang tidak sebulat suara bertegas dengan pendirian mereka. Besar kemungkinan, kumpulan penasihat itu sendiri telah dicerobohi oleh suku-sakat TKT Mahathir yang sengaja mahu berlaku kucar-kacir dalam setiap pendirian dan ketegasan yang mahu Paklah lakukan.
ii) Paklah telah terpaut kepada satu
teori perubahan yang mengatakan “every change causes a resistance to change”,
bererti setiap perubahan yang dilakukan secara mendadak mesti mencetuskan
tentangan. Kerana itu setiap perubahan itu perlu dibuat secara perlahan
ataupun berdikit-dikit. Itu sebabnya Paklah tidak mahu merombak kabinet
peninggalan TKT Mahathir walaupun dia mempunyai kuasa untuk melakukannya.
Apa salahnya dia merombak kabinet dan ‘memecat’ semua tunggul lapuk dengan
memberikan jawatan ‘cynosure’ sebagai menteri tanpa portfolio di jabatan
perdana menteri? Yang pentingnya mereka tidak lagi aktif mengendalikan
kementerian. Sekali gus Paklah mengetepikan semua menteri tukang angguk
yang naik melalui pintu belakang sebagai ‘senator’. Kalau Paklah berani
lakukan ini dan memeram dulu jawatan timbalan perdana menteri, tidak ada
yang berani kata Paklah tidak pandai menjalankan peranan barunya.
Langkah ini juga menyingkirkan semua
tunggul lama seperti Leo Moggie, Samy Vellu, Lim Kheng Yaik, Musa (menjadi
ahli UMNO hanya selepas dilantik menjadi menteri pendidikan) dan beberapa
nama lagi.
ii) Saya fikir Paklah sengaja mengambil langkah pelan-pelan dan berdikit-dikit menunggukan selesainya upacara majlis terima kasih kepada TKT Mahathir yang akan diadakan pada bulan Disember ini.
“Di sebalik gembar-gembur Paklah mahukan rakyat dan pejabat kerajaan berjimat cermat, sudah ada satu persiapan mega untuk memberikan ucapan selamat jalan kepada TKT Mahathir. Majlis makan malam perpisahan (farewell dinner) itu akan diadakan pada 21/12/2003 di Pusat Konvensyen bekas dewan acara persidangan OIC dulu. Segala persiapan gah sedang diatur dengan kelolaan Istana Budaya untuk membodek TKT. Tentunya orkestra yang dianggotai orang asing kalau bukan kombo Petronas akan ditonjolkan. Khabarnya PDRM pun akan turut mengambil bahagian.” (demikian berita yang dihantar kepada saya oleh sumber yang boleh dipercayai daripada Petronas).
Saya dapat tahu persiapan hadiah sahaja hampir menelan seratus ribu kerana hadiah yang serupa diberikan kepada dua orang bergelar Tun itu. Keseluruhan kos makan dan minum para tetamu, ‘show-time’, penyanyi dan macam-macam lagi akan menelan sekitar setengah juta ringgit. (Pada saya duit sebanyak itu lebih afdal didermakan untuk mengongkosi wang persekolahan semua anak-anak tahanan ISA yang tidak berdosa!!!)
iii) Kita jangkakan segala kos itu akan dibiayai oleh Petronas, kerana Petronas yang berduit. Kerajaan Malaysia sudah pokai dan tidak mampu mengeluarkan belanja sebanyak itu. Lainlah kalau ada rencana Petronas keluar sikit, Tabung Haji sikit, KWSP sikit dan banyak agensi kerajaan sikit-sikit. Tetapi ini mencetuskan satu soalan, bagaimana status Petronas selama ini? Bilakah Paklah mahu bawa masuk pengawasan Petronas supaya tertakluk kepada Parlimen?
Sebenarnya selama ini TKT Mahathir bergaya sakan kerana duit Petronas. Apa yang dia mahu Petronas keluarkan. Buat Putrajaya, Petronas sediakan duit. Wujudkan satu orkestra yang mengeluarkan belanja sekitar 5 juta setiap bulan untuk pemuzik luar negara pun gunakan duit Petronas. Sedangkan pemuzik Malaysia yang sama pandai dan berkebolehan mati papa kedana. Dia mahu adakan Litar lumba Sepang, Petronas kena buat belanja besar. Sedangkan Singapura dan Taiwan dua negara yang paling kaya di rantau ini selepas Jepun, tidak berminat langsung buat litar lumba semacam itu.
Yang paling terbaru ialah perbelanjaan menubuhkan pejabat baru TKT yang bertopengkan tajaan swasta. Sebenarnya perbelanjaan terbesar muncul daripada Petronas. Saya sudah lama diberitahu akan projek itu (sila baca Yayasan Khurafat Perdana) tetapi sengaja tidak mahu menulisnya kerana mengharapkan ada parti pembangkang yang mengungkitnya. Apabila parti pembangkang tidak buat komen, ia menunjukkan kebanyakan pemimpin pembangkang adalah menepati ‘tohmahan’ saya dulu. Mereka masih syok-syok sendirian dan alpa dengan tugas mereka sebenar. Mereka masih khayal dengan simpati rakyat marhaen. Sebenarnya sebilangan besar mereka itu adalah dua kali lima dengan orang-orang TKT Mahathir juga.
Dengan kata mudah, segala perbelanjaan Petronas terhadap kerenah TKT Mahathir akan menjadi satu tanda tanya besar, sehinggalah ada tindakan rakyat marhaen mendesak kesahihannya.
Saya ingin ungkit kisah syarikat minyak terbesar di Perancis bernama ELF. Kalau kita naik keretapi laju di sepanjang laluan Geneva ke Paris, kita akan lihat tangki minyak besar yang bertulis ELF, menunjukkan betapa hebatnya syarikat ini menyimpan bekalan minyak di merata negara. Baru-baru ini ketua eksekutif Elf telah dikenakan hukuman penjara selama lima tahun kerana salah urus syarikat itu. Segala kerja busuk Loik Le Floch-Pringent, Ketua Eksekutif itu telah dilakukannya semasa pemerintahan kerajaan Mitterrand. Beberapa orang menteri telah turut terhukum sama.
Saya yakin satu hari nanti, Tan Sri Azizan dan Hassan Marican akan turut menerima nasib yang dilalui oleh Loik Le Floch-Pringent. Hanya masa yang akan menentukan siapa masuk lebih dulu – TKT Mahathir ataupun mereka berdua yang dulu.
Terlalu banyak wang pembaziran yang dibuat oleh Petronas sehinggakan tidak siapa yang tahu berapa yang dibelanjakan untuk kepentingan rakyat dan negara dan berapa untuk UMNO dan TKT Mahathir. Malahan mereka yang menguruskan Proton pun mesti diheret ke mahkamah. Buat permulaan kita mahu tahu apa jadi dengan kereta Wira yang diterjunkan di Khutub Utara? Mana perginya?
Apabila diambil-kira perkara di atas, faham-faham sahajalah betapa tertekannya Paklah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima. Dia hanya perlu berterus-terang dengan segala tindakannya dengan mengambil kira kepentingan rakyat marhaen dan negara ini. Jika tidak, dia akan terpalit dengan segala kebusukan peninggalan TKT Mahathir. Tidak ada jalan lain lagi. Oleh itu kita tunggu...... beranikah Paklah membebaskan semua tahanan ISA pada 1 Januari 2004 nanti?
Kalau Paklah mahu kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia buat masa terdekat ini, eloklah dia fikirkan rintihan rakyat dan ketepikan kepentingan TKT Mahathir dan tukang jilatnya. Satu hari nanti marhaen Malaysia akan hilang sabar dan akan berlakulah rusuhan jalanan hanya semata-mata kerana rakyat mahu tahu apa akan jadi pada masa depan mereka dan apa yang akan diberikan oleh kerajaan Paklah untuk menjamin masa depan itu.
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>
1 Syawal - 25.11.2003 (suntingan M@RHAEN)
Sila berikan
komen/respons
kepada artikel ini.
Artikel-artikel
berkaitan: (sekiranya artikel berikut tidak
terdapat di sini, sila cuba di tapak sokongan M@RHAEN yang lain)
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 1
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 2
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 3
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 4
MMMM13
- Melayu Sudah Lama Kecewa Dengan Mahathir
Marhaintua: Melayu
Juga Yang Hancurkan Melayu
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Maklumat semasa
boleh disemak di Forum M@RHAEN.
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN. |