|
Orang Melayu Lebih Takutkan Mahathir Daripada Allah (Bhgn 9) |
Paklah Mula Bermain Api
Sejurus mengambil-alih jawatan Perdana Menteri, Paklah turut memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Kewangan. Di peringkat antarabangsa dia adalah Pengerusi NAM (negara berkecuali) dan Pengerusi OIC (Pertubuhan Negara-negara Islam). Kalau daripada segi jawatan itu sahaja Paklah ternyata lebih perkasa daripada TKT Mahathir.
Akan tetapi bagaimana pula Paklah boleh buat silap dengan menangkap 13 pelajar Melayu yang baru pulang daripada Pakistan dan menyumbat mereka dalam Penjara mengikut ISA? Bukankah Paklah ada kuasa membebaskan mereka seperti kerajaan Indonesia mempertahankan pelajarnya ketika ditangkap bersama-sama pelajar Malaysia itu?
Tiga belas pelajar Melayu itu telah ditangkap oleh pihak berkuasa Pakistan bersama-sama enam orang pelajar Indonesia pada 20 Oktober kerana dikatakan “terlibat dengan kegiatan militan,”
Kerajaan Indonesia telah bertindak tegas sebaik tersiar berita penangkapan rakyatnya. Antara yang ditangkap ialah Gun Gun Gunawan, berusia 27 tahun dan adik kedelapan kepada Hambali, orang yang dituduh (oleh Amerika) mengepalai apa yang disebut pertubuhan Jamaah Islamiah (ciptaan kerajaan Singapura). Walaupun Hambali merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia ‘terroris’ sejurus beliau ditangkap dan disoal-siasat oleh Perisik Amerika, namun enam orang pelajar yang ditangkap itu tidak dikaitkan kepada sebarang aktiviti keganasan di Indonesia. Makanya Kementerian Luar Indonesia telah memanggil Duta Pakistan di Jakarta untuk mengetahui butirannya yang lanjut.
Tindakan itu disusuli oleh pemergian penyiasat Indonesia ke Pakistan untuk mengetahui lebih lanjut keadaan sebenar. Akhirnya pemerintah Pakistan tidak mempunyai sebarang sebab untuk mendakwa pelajar-pelajar itu (termasuk pelajar Indonesia) dan membebaskan mereka.
Pegawai Konsulat Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, Abdul Ghaffar Iskandar mengaku bahawa tiga belas pelajar itu tidak bersalah dan tidak didakwa apa-apa. Tetapi kenapakah mereka dihantar pulang ke Malaysia dengan penerbangan khas? Kenapa pula mereka ditangkap di bawah ISA dan terus dipenjarakan?
Paklah harus membebaskan tiga belas pelajar itu serta-merta dan membuat satu kenyataan bahawa mereka tidak terbabit dengan sebarang jenayah di Pakistan dan Malaysia. Jika tidak, Paklah boleh ucapkan selamat tinggal kepada jawatannya sebagai Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri Malaysia yang dapat bertahan lama.
Kisah pelajar itu telah mendapat liputan
meluas media antarabangsa. Yang terbaik ialah laporan yang ada pada
http://www.asiagopacific.com/location/asia/GAPLocAsiaStories_956183.htm
Ia menjadi menarik kerana pembabitan adik Hambali yang dikatakan sudah pun berada sebagai pelajar di Abu Bakar University Karachi sejak 1999 lagi.
Dr. Sandy Gordon, seorang pakar terroris antarabangsa dan Asia Tenggara yang bertugas dengan Australian Defence Force Academy telah menyatakan bahawa tidak ada sebab Pakistan dapat mendakwa pelajar-pelajar itu. Lagi pun Gun Gun Gunawan bukannya orang buruan kerajaan Indonesia.
Jadi, bagaimana mungkin kerajaan Malaysia menangkap mereka di bawah ISA? Apabila mereka disumbat di bawah ISA bererti Paklah telah mengetahui kisah sebenarnya dan merestui untuk meluluskan waran menahan mereka. Sekali gus ini mencetuskan tandatanya apakah Paklah benar-benar mempunyai bukti bahawa semua 13 pelajar itu memang merupakan anasir yang berbahaya di negara ini? Kalau mereka ditangkap oleh kerajaan Pakistan kerana disyaki melakukan jenayah di Pakistan kenapa pula mereka mesti ditangkap dan disalahkan di Malaysia?
Saya lebih percaya bahawa Paklah telah terperangkap dalam hal ini kerana dia diberikan maklumat salah oleh pihak tertentu agar merestui penangkapan pelajar itu. Soalnya sekarang apakah muslihat itu dan apakah tujuannya dan siapakah yang memutar-belitkan cerita?
Paklah mesti sedar, apa juga alasan yang diberikan mengenai penangkapan tiga belas pelajar itu di bawah ISA tidak akan diterima oleh rakyat jelata dengan senang hati. Rakyat bukannya bodoh seperti yang disangka oleh orang-orang Paklah kerana terlalu banyak dalil yang mengatakan bahawa penangkapan mereka itu berbau politik dengan agenda yang amat busuk. Malangnya, ia mencemarkan nama baik Paklah sebagai seorang Perdana Menteri yang boleh dipercayai oleh rakyat jelata. Malahan penangkapan tiga belas pelajar itu di bawah ISA menunjukkan Paklah sanggup memalukan orang Melayu dan mengaibkan keluarga serta sanak-saudara pelajar-pelajar itu.
Sekali gus juga ia mengaibkan nama baik Ketua Polis Negara yang baru. Penangkapan mendadak itu memberi kesan yang amat buruk kepada beliau apabila dikatakan sama tahap pemikiran dan busuk hatinya seperti Norian Mai dan Rahim Noor.
Pada awal tahun ini ada kes seorang ahli Majlis Perbandaran Kampar yang juga merupakan pegawai tinggi MCA Bahagian Kampar. Dia telah ditangkap di Australia kerana menyeludup masuk pil ekstasi daripada Malaysia. Kesalahan itu kalau dilakukan di Malaysia memang dikenakan hukuman gantung sampai mati. Beliau telah dibawa balik dengan alasan polis Malaysia mahu menyoal-siasat. Apa jadi kepada beliau sekarang? Kenapa tidak dikenakan hukuman ISA ataupun dibawa kepada pengadilan mahkamah?
Pada bulan Julai tahun ini kerajaan telah mendedahkan kisah PKPM (Pasukan Khas Persekutuan Malaysia) yang dikatakan mempunyai anggota lebih 2,000 orang merata negara. Pasukan ini mempunyai pakaian seragam sendiri lengkap dengan pangkatnya. Ketua Pasukan ini bernama Nor Azmi Ahmad yang mendakwa berpangkat Jeneral dan begelar ‘Datuk’ Antara yang ditahan ialah “seorang Pengarah di Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar yang berpangkat komander dan beberapa orang bekas tentera. Adakah kumpulan ini ditangkap di bawah ISA? Jawapannya ‘tidak’ kerana sebahagian besar mereka adalah ahli UMNO.
Pada bulan yang sama Jackie Chan alias Ong King Ee telah menyerah diri kepada polis kerana polis mahu menyiasat beliau dan menahannya di bawah Seksyen 3(10) Ordinan Darurat 1969. Lantas dia dibawa untuk berehat di Pusat Pemulihan Simpang Renggam seperti yang pernah dijalaninya satu ketika dahulu. Inilah ‘godfather’ triad Cina yang bertanggungjawab dengan beberapa pembunuhan kejam dan peras ugut. Kumpulan beliau dikatakan giat aktif dengan pergerakan ‘tonto’ yang mendera dan mengacau penguatkuasa kerajaan. Adakah beliau ditahan di bawah ISA?
Pada bulan Ogos tahun ini Kastam DiRaja Malaysia telah merampas 34 buah kontena beras daripada tiga buah kapal tempatan yang disyaki cuba menyeludup ke negara ini melalui Pelabuhan Sandakan dan Tawau. Mengikut siasatan selanjutnya terdedah kisah penyeludupan beras secara besar-besaran itu dilakukan oleh mereka yang mempunyai lesen yang sah dan kebanyakan mereka itu adalah orang UMNO dan BN. Saya pernah menulis bagaimana kumpulan bajingan ini mempunyai pengaruh yang kuat sehingga mampu menyarankan agar penanam padi di negara ini tidak dibenarkan menanam beras wangi kerana mereka mahu memonopoli perniagaan itu secara mengimport beras negara asing.
Apa kesudahannya dengan para pengimport beras itu semua? Kenapakah mereka tidak disumbat mengikut ISA?
Kita boleh paparkan beberapa contoh lagi mengatakan kerajaan sengaja melepaskan penjenayah yang hebat-hebat tanpa mengenakan tangkapan di bawah ISA, tetapi sedikit contoh di atas sudah mencukupi dijadikan dalil bahawa kerajaan pimpinan Paklah mempunyai agenda tersembunyi kerana 13 pelajar MELAYU itu ditangkap di bawah ISA.
Apakah Paklah tidak sedar, sebagai Pengerusi baru OIC, dia sepatutnya memberikan contoh yang terbaik dalam menangani masalah yang ada kaitannya dengan JI, kerana umum mengetahui bahawasanya JI itu adalah satu pertubuhan yang disebut-sebut oleh Amerika tanpa ada buktinya. Rakyat marhaen Pakistan sendiri tidak percaya bahawa JI ada kena-mengena dengan aktiviti keganasan global kerana apa juga rencana keganasan yang dikaitkan kepada aktiviti militan di Pakistan adalah agenda Jeneral Musharraf mahu terus mencengkam kuasa mengikut ragam dan rentak yang ditentukan oleh Amerika.
Kita boleh buat bermacam-macam andaian kenapa 13 pelajar itu dikenakan hukuman di bawah ISA:
a) Paklah dan penasihatnya mahukan satu isu untuk melencong pelbagai masalah besar yang dihadapi oleh pentadbirannya gara-gara pengunduran TKT Mahathir. Kenapakah TKT Mahathir diberikan kemudahan jet terbaru milik Petronas untuk mengelilingi dunia selepas beliau bersara, lengkap dengan pengawal peribadi yang dibiayai oleh kerajaan di luar had haknya?
b) Rakyat marhaen Malaysia khususnya orang Melayu sudah lama mengerti betapa penangkapan beberapa insan yang tidak berdosa dan menuduh mereka sebagai anggota KMM (Kumpulan Militan Malaysia) adalah helah TKT Mahathir dengan persekongkolan Norian Mai untuk menyekat kemaraan PAS dan parti pembangkang. Sebenarnya semua mereka itu tidak berdosa dan tidak pernah berniat memberontak menentang kerajaan. Kalau betul mereka itu militan sepatutnya kerajaan TKT Mahathir membawa mereka ke muka pengadilan dan biarkan mahkamah menentukan nasib mereka. Lagi pun mahkamah Malaysia adalah sama dengan mahkamah beruk setelah semua hakim lebih takutkan Mahathir daripada Allah.
c) Masyarakat Melayu semakin menolak UMNO walaupun usaha dibuat menunjukkan UMNO masih perkasa. Contoh yang terbaik ialah ketika majlis perpisahan BN untuk Mahathir yang menjanjikan 50,000 hadirin. Yang datang hanya segelintir ahli MCA, Gerakan dan MIC. Yang paling ramai ialah anggota IPF pimpinan Pandithan dan PPP pimpinan Kaveas.
Orang Melayu sudah muak dengan UMNO lebih-lebih lagi memikirkan betapa anggota yang disebut pimpinan Al Maunah telah diISAkan tanpa perbicaraan terbuka. Sehingga hari ini masyarakat Melayu secara umumnya sedar bahawa TKT Mahathir dan Norian Mai telah merencana ‘kebajingan al-Maunah’ sebagai helah untuk menipu majlis raja-raja Melayu agar mengeluarkan arahan supaya perkataan ‘Islam’ tidak boleh digunakan kepada nama parti siasah. Soalnya sekarang apa jadi dengan keluarga mereka yang ditahan tanpa bicara itu? Bagaimanakah tertekannya hidup anak-anak yang ketiadaan bapa dan sukarnya ibu-ibu yang terpaksa menyara anak-anak mereka.
d) Walaupun Paklah sudah menjadi Perdana
Menteri, dia masih belum sedar betapa besar kuasa yang ada padanya. Ataupun
dia tersilap langkah setelah menyedari betapa besarnya kuasa itu. Dua-dua
faktor ini adalah perangkap diri yang akan menjebaknya satu hari nanti.
Sepatutnya Paklah mengambil jalan tengah dengan memberikan arahan agar
polis menyoal-siasat pelajar-pelajar itu untuk mengetahui cerita mereka
yang sebenar. Kemudian, mereka dibiarkan pulang untuk bersama keluarga
dengan pasport mereka disimpan sehinggalah selesai siasatan yang tidak
semestinya melebihi satu bulan. Kalau sah mereka bersalah barulah mereka
didakwa di mahkamah dengan kebebasan mendapatkan bantuan guaman. Kalau
inilah jalan yang diambil oleh Paklah dan polis, bererti mereka memberi
satu
gambaran adanya perubahan dalam cara
polis dan Kementerian Dalam Negeri menangani apa yang disebut aktiviti
kumpulan militan.
Buat masa ini, tuduhan bahawa 13 pelajar itu memang bersalah dan merupakan ancaman kepada keselamatan negara adalah berdasarkan kata-kata Ketua SB (Cawangan Khas) yang tidak masuk akal.
14) Adalah amat malang apabila Paklah yang merupakan seorang lulusan Pengajian Islam sanggup membenarkan dirinya diperkotak-katikkan oleh kumpulan tertentu yang sengaja mahu mencetuskan isu sebagai mengabui perkara yang lebih penting daripada menghina Bangsa Melayu secara ini. Begitulah juga halnya apabila Zaid Ibrahim diberikan ruang untuk membawa ke mahkamah isu Hudud, sedangkan amat jelas bahawa isu itu adalah penentuan agama Islam dan tidak sepatutnya di bawa untuk pengadilan mahkamah sivil.
15) Ramai cerdik pandai negara-negara Islam memang tidak percaya bahawa pelajar Malaysia terlibat dengan kegiatan militan. Mereka tahu pelajar-pelajar itu ditangkap kerana Musharraf mahu mengenakan pucuk pimpinan pentadbiran universiti tersebut yang begitu lantang menyelar Musharraf. Soalan yang paling mudah kenapakah pelajar Malaysia dan Indonesia sahaja yang terlibat dengan kegiatan militan di universiti itu? Kalau betul-betul ada kegiatan militan tentu ada pelajar Pakistan yang terlibat sama?
Satu ketika dahulu kerajaan ada menghantar seorang insan bernama Asan anak Tol Ramabi daripada Kg. Jabat Narathiwat ke Pakistan untuk mengetahui perihal sekolah agama di sana dan menggalakkan beliau mengaitkan pelajar-pelajar Malaysia dengan kegiatan militan. Penyangak yang menyamar dengan tulisan pena Astora Jabat telah dijatuhkan hukuman ‘murtad’ oleh Majlis Agama Islam Johor satu ketika dahulu tulisannya yang menyesatkan. Tulisan beliau yang sangat menyesatkan ialah pendapat bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menggunakan Undang-undang semacam ISA untuk membendung pengganas. Banyak lagi tulisan beliau yang dianggap menyesatkan oleh MAIJ (sila buka http://www.volasia.com/forum/topicDisplay.php?topicID=73 untuk laporan lengkap akan perkara ini.
Apakah penangkapan pelajar Melayu di Pakistan itu ada kena-mengena dengan kerja busuk Astora satu ketika dahulu dan sengaja dirancang oleh pihak tertentu supaya UMNO dan Paklah dapat merancang sesuatu untuk memburukkan PAS?
Kalau itulah salah-satu matlamatnya, kesannya kepada industri pelancongan adalah amat buruk sekali kerana memudahkan agen pelancongan di negara luar memburukkan lagi iklim pelancongan di negara ini dan melencungkan para peminat Malaysia untuk mengetepikan negara ini dalam agenda percutian mereka.
Walau bagaimanapun saya masih yakin bahawa penangkapan 13 pelajar Melayu itu adalah satu rencana jahat untuk menyulitkan Paklah semasa menghadapi pilihan raya nanti dan juga semasa pengundian pucuk kepimpinan UMNO pada tahun hadapan. Apakah kemungkinan bahawa penahanan mereka mungkin dirancang oleh orang-orang Mahathir yang mahu TKT Mahathir berusaha terus kekal sebagai Presiden UMNO?
Dalam perkara semua ini Paklah tidak punyai banyak pilihan selain membebaskan pelajar dan mengambil pendirian seperti yang dibuat oleh penguatkuasa Pakistan, yang mengatakan tidak ada kes terhadap mereka.
Ini sahaja pilihan yang terbentang untuk Paklah dalam usaha memperbetulkan keadaan. Jika tidak, besar kemungkinannya akan muncul pelbagai bantahan dan kebangkitan agar semua tahanan yang dituduh militan itu dibebaskan sebelum pilihan raya umum nanti. Seperti yang saya tulis pada 29.1.2001 berjudul ‘Yang Terdesak dan Tersedak’ dan pada 5 September 2001 bertajuk ‘Yang Bermain Api dan Bunga Api’ Paklah harus sedar apa yang dibiarkannya berlaku sekarang ini adalah persis dia bermain api dengan orang Melayu dan negara ini secara amnya. Lambat-laun jarinya sendiri yang akan terbakar juga.
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>
12.11.2003 (suntingan M@RHAEN)
Sila berikan
komen/respons
kepada artikel ini.
Artikel-artikel
berkaitan: (sekiranya artikel berikut tidak
terdapat di sini, sila cuba di tapak sokongan M@RHAEN yang lain)
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 1
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 2
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 3
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 4
MMMM13
- Melayu Sudah Lama Kecewa Dengan Mahathir
Marhaintua: Melayu
Juga Yang Hancurkan Melayu
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Maklumat semasa
boleh disemak di Forum M@RHAEN.
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN. |