|
Orang Melayu Lebih Takutkan Mahathir Daripada Allah (Bhgn 8) |
Pada hari TKT Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri, orang Melayu khususnya telah kehilangan dua orang tokoh yang pernah mewarnai hidup mereka. Seorang ialah Sharif Ahmad, bekas Menteri kabinet zaman Tun Razak dahulu dan seorang lagi ialah Arwah Karim Mohammad, tokoh Radio dan TV satu ketika dahulu.
Kalau pada awal tujuh puluhan, Sharif Ahmad terkenal kerana pakaian barat yang mengenakan ‘bow-tie’ yang kemudiannya ditiru oleh seorang Menteri kabinet Mahathir bernama Kadir Sikh Fazil. Arwah Sharif Ahmad merupakan salah seorang anak Melayu yang pernah menjadi wartawan di Singapura dan Malaysia sebelum menceburkan dirinya dalam bidang politik. Orang lama dalam dunia kewartawanan akan mengaku bahawa Shariff adalah seorang insan yang taat setia kepada ketuanya dan beliau tidak pernah menyalah-gunakan kuasa untuk mendabik dada seperti seorang wartawan yang lebih muda daripadanya yang kini memegang teraju Kumpulan The New Straits Times. Walaupun Almarhum Sharif Ahmad berasal daripada Pahang, dan pernah menganggotai kabinet Tun Razak dia tidak pernah riak dan angkuh seperti yang ditunjukkan oleh Dolah Komunis yang ketika itu hanya merupakan Setiausaha Akhbar Tun Razak. Tetapi Dolah mengaku (sila buka http://www.mir.com.my/lb/un/abdullah.htm) yang satu ketika dahulu dia adalah ‘political advisor‘ kepada Tun Razak. (Inilah yang membuatkan Tan Sri Samad Ismail ketawa besar sambil berkata: “Berapa umur Dolah masa tu? Apakah politik yang dia tahu?”)
Pada awal tujuh puluhan dahulu Karim Mohamad merupakan nama besar dalam bidang penyiaran dan hiburan. Malahan pada waktu itu ada dua nama besar yang sungguh popular, lebih popular daripada nama Paklah ataupun Mahathir sendiri. Mereka ialah Karim Mohammad dan Sharifah Aini. Sharifah Aini kini bergelar Datuk.
Kita tinggalkan di situ kisah ini kerana tidak mahu melencung jauh sangat. Memadailah kita tambahkan Karim Mohamad memang berjasa besar, tetapi dia lahir di zaman lain hingga tidak diambil-kira oleh kerajaan UMNO Melaka untuk memberikan gelaran ‘datuk’ kepadanya. Kerajaan UMNO Melaka lebih mementingkan orang kelahiran negeri lain untuk diberikan gelaran dan bintang. Makanya Ibrahim Ali, pelompat parti tersohor menerima bintangnya di Melaka. Begitu juga dengan seorang peguam di Kelantan (Zahid anti-Hudud) yang cuba menonjolkan dirinya memperlekehkan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Adalah tidak menghairankan kalau satu hari nanti Azizan Abu Bakar pun diberikan gelaran dan bintang oleh Melaka. Mungkin seiring jalan dengan Ummi Hafilda, gamaknya?
Kita juga tidak terkejut dengan pemergian Norian Mai yang digantikan oleh Timbalannya. Cuma kita mahu tahu apakah betul-betul Norian Mai mahu memulakan francais pengedaran pasembor seluruh negara seperti yang disyorkan oleh Almarhum Fadil Nor?
Soalnya sekarang selepas Norian Mai, siapa lagi yang akan melepaskan jawatan mereka dalam Polis Raja Di Malaysia? Harap-haraplah Paklah dapat menurunkan semua Ketua Polis Negeri dan pegawai tinggi polis di merata negara yang selama ini memang nyata menerima arahan orang atas untuk menindas rakyat. Kalau boleh kita mahu tahu apa jadi dengan pegawai polis yang memfitnah anggota PAS membaling cuka getah padanya satu ketika dahulu.
Sebenarnya, apa juga perubahan dan pertukaran jawatan yang dilakukan sekarang ini, tidak akan mampu membantu Paklah sepenuhnya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri baru. Seharusnya Paklah mengambil tindakan segera membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya. Lagi pun dia sudah mengumumkan bahawa pilihan raya umum itu akan diadakan lebih awal daripada yang dijangka.
Kalau diperhatikan iklim politik sekarang ini dan suasana BN dan UMNO selepas berambusnya TKT Mahathir, kita faham betapa sukarnya titian yang sedang dilalui oleh Paklah. Dia amat memerlukan rakan dan taulan memberi nasihat agar tidak tersilap langkah. Pada waktu yang sama dia sedang tertekan kerana terlalu ramai yang mahukan jawatan yang akan memberikan habuan mewah.
Apakah Paklah akan merombak kabinet?
Paklah telah menyatakan bahawa dia tidak akan merombak kabinet kerana mahu teruskan kerja-kerja yang diasaskan oleh TKT Mahathir. Ini adalah kesilapan pertama Paklah.
Kalau mengikut kelaziman, memang sudah tiba masanya untuk Paklah merombak kabinet dan menonjolkan satu barisan Menteri baru yang akan membantunya mentadbir negara. Dia boleh menghantar surat kepada semua anggota kabinetnya menyatakan bahawa dia berura-ura merombak kabinet dan dengan itu menerima sebarang tawaran si pemegang jawatan yang mahu bersara dan tidak diambil kira dalam kabinet baru itu. Kemudian, setelah memberikan tempoh yang sesuai, katakanlah dua minggu, dia boleh panggil semua Presiden parti komponen BN membincangkan strategi baru pemerintahannya, untuk mendapatkan pandangan mereka. Harus diingat, semasa pemerintahan kuku besi TKT Mahathir, ada Menteri yang dilantiknya sambil mengetepikan hirarki dalam parti komponen BN. Contohnya ialah Leo Moggi yang sudah lama melepaskan jawatan Presiden dalam PBDS tetapi masih dikekalkan dalam kabinet. Semasa Rafidah Aziz tumpas sebagai Ketua Wanita UMNO, dia masih diberikan tempat dan kedudukan terkanan di kalangan wanita UMNO. Malahan, Zahid Hamidi yang menang kerusi Pemuda UMNO tidakpun diberikan ruang untuk menganggotai kabinet Mahathir.
Memang begitulah perjalanan pemerintahan TKT Mahathir satu ketika dahulu. Dia mementingkan dirinya dan mahu dikelilingi oleh orang-orang kepercayaannya kerana semua badut itu memberitahu apa yang dia mahu dengar sahaja, tanpa memikirkan apakah yang diberitahu itu betul ataupun palsu.
Kesannya, apa yang TKT Mahathir dengar adalah penuh dengan dusta dan dia pun bertindak mengikut apa yang didengarnya.
Inilah jerat yang memerangkap Paklah sekarang ini. Dalam ucapan beliau yang pertama selepas menjadi Perdana Menteri, Paklah menyatakan kesediaan meneruskan segala bentuk pemerintahan TKT Mahathir. Bermakna dia tidak berani merombak kabinet kerana ramai yang bertenggek di kabinet itu bukannya berguna sangat. Bagaimana pula dengan kabinet kedua TKT Mahathir yang tidak kurang bisanya? Sebagai contoh, dalam kabinet rasmi Mahathir dia ada seorang Senator yang merupakan bekas Naib Canselor universiti yang menjadi Menteri Pendidikan dan seorang Menteri Hal Ehwal Agama yang merupakan bekas Panglima tentera bersara. Tetapi siapakah yang bersuara lantang perihal pendidikan dan makmal komputer yang terbengkalai, kalau bukan Timbalan Menterinya Aziz Shamsuddin? Begitu juga dengan hal ehwal agama, yang banyak menyerlah dan menganjurkan persidangan agama yang besar-besar ialah Hamid Othman, Penasihat Agama TKT Mahathir, bukannya Panglima tentera yang bersara itu. Kenapa?
Itu sebabnya di penghujung cengkaman kuasa Dr. Mahathir, timbul banyak tandatanya tentang bisa kabinetnya yang nombor dua yang dianggotai oleh Aziz Shamsuddin, Zam Mamak, Megat Junid, Hamid Othman, dan Siti Zaharah serta beberapa proksi kumpulan Cina korporat yang diberikan status ‘super-bumiputra’.. Kalau urusan Putrajaya dan Cyberjaya dia lebih mendengar cakap-cakap Mirzan, sehinggakan para pegawai yang bertugas dalam syarikat swasta yang membangunkan Putrajaya perlu memberikan taklimat mingguan mereka kepada Mirzan Mahathir dan bukannya kepada Putrajaya Holdings.
Selagi Paklah tidak membubarkan kabinet yang ada, dia tidak boleh harap dapat mentadbir negara dengan licin. Kalau setakat mengimamkan upacara bersolat tak payahlah menjadi Perdana Menteri lagi.
Kalau Paklah tidak berani merombak kabinet sedangkan dia mempunyai hak berbuat demikian, bererti Paklah mengundang cerca dan kritikan kerana dia mempunyai peluang keemasan itu dan harus membubarkan kabinet yang ada secepat mungkin. Humbankanlah semua lantikan ihsan dengan mengetepikan semua senator yang diberikan jawatan Menteri. Paklah harus lakukan perkara ini sebelum terlambat.
Sebenarnya Paklah mesti bertindak tegas melakukan rombakan kerana di samping masalah politik yang dihantui oleh terlalu banyak tunggul-buruk dalam kabinetnya, Paklah sedang dihantui masalah besar yang ada dalam perkhidmatan awam. Kita tidak mahu sentuh perkara ini secara menyeluruh tetapi memadailah kita katakan di sini bahawa perkhidmatan awam sedang kelam-kabut kerana semua penjilat TKT Mahathir sedang hilang arah, terumbang-ambing dalam jawatan mereka.
Oleh sebab Mahathir terlalu lama mencengkam kuasa, perkhidmatan awam telah diperibadikannya sehingga menjadi satu institusi yang berkhidmat untuk Mahathir dan UMNO dan bukannya untuk negara, agama dan bangsa. Kerana itu kita lihat pegawai kerajaan yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun masih bekerja bermati-matian kerana terpaksa. Tetapi ramai pegawai muda yang berkelulusan menjela, hidup senang lenang tahu mengarah sahaja, dengan mengambil peluang dihantar menghadiri kursus di luar negara, sedangkan pengalaman kerja tidak seberapa. Ironisnya ramai pegawai kerajaan itu diambil kerana ada hubungan rapat dengan pemerintah dan bukannya kerana mereka benar-benar layak untuk menjawat kedudukan yang ada. Paklah adalah bekas pegawai PTD (Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik) Malaysia sebelum menceburkan diri dalam politik. Begitu juga Khalil Yaakob. Mereka berdua ini memang faham akan selok-belok tugasan PTD. Tetapi apabila Mahathir menjadi semakin bongkak, dia telah memperlekehkan PTD sehingga menjadikan perkhidmatan itu satu perkhidmatan ‘yes-men’ sahaja. Perkara ini berlaku kerana dia memberi ruang kepada Menteri-menterinya dahulu seperti Sanusi Junid, Rais Yatim, Megat Junid dan juga Rafidah Aziz untuk memporak-perandakan sistem PTD itu mengikut ragam dan selera mereka sahaja.
Tindakan Paklah memendekkan sambungan khidmat beberapa Ketua Setiausaha yang diberikan lanjutan tempoh khidmat oleh TKT setelah mencapai usia persaraan adalah satu tindakan yang berani dan seharusnya diperluaskan lagi. Dia harus mengambil inisiatif memberikan kenaikan pangkat kepada pegawai Tahap B (sokongan) naik menjawat jawatan Pegawai Tahap A, berdasarkan pengalaman kerja dan prestasi mereka. Buat masa ini terlalu ramai Pegawai Tahap A yang tidak tahu bekerja kerana hanya berselindung di sebalik ijazah dan hubungan dengan pemimpin UMNO sahaja.
Sebab utama kenapa Pegawai Tahap A naik mua ialah sikap pentadbiran Mahathir dahulu yang mementingkan orang politik dan suku-sakat mereka. Oleh kerana Mahathir memberi ruang kepada orang yang celupar mulutnya dalam UMNO seperti Ibrahim Ali al-Kataki naik menjadi Menteri dan Pengerusi institusi kerajaan, sekali gus nilai pendidikan tinggi yang dimiliki oleh pegawai kerajaan menjadi terhina. Inilah yang membiakkan budaya mengampu orang politik untuk pegawai perkhidmatan awam naik pangkat, sehinggakan membawa kesan buruk kepada perkhidmatan itu yang semakin diresapi budaya rasuah.
Saya ingin bawa satu contoh seperti yang dikirimkan oleh seorang pembaca kepada saya tentang prestasi pegawai kerajaan dan Jabatan kerajaan. Daripada beberapa surat yang saya terima itu saya ingin salin kisah Pejabat Pendaftar Syarikat di Ipoh yang terletak di Bangunan Persekutuan. Pejabat Pendaftar ini sedang bersiap-siap mahu berpindah ke bangunan KWSP Ipoh. Kerana itu kononnya (saya ulangi kononnya) pada sebelah pagi, komputer selalu tidak berfungsi ataupun tergendala, gara-gara ‘testing talian’ kata mereka.
Satu ketika dahulu sesiapa yang lewat membaharui lesen perniagaan mereka dikenakan kompaun kalau membaharui lesen itu selepas satu bulan. Tetapi sekarang ini kompaun berjalan selepas satu minggu, tidak kiralah kalau dalam satu minggu itu komputer ‘rosak’ hampir setiap hari. Bayangkan apa jadi kepada peniaga yang datang daripada luar Ipoh seperti Sitiawan, Chemor, Ipoh, Tapah dan sebagainya. Bayangkan kehampaan mereka apabila diberitahu untuk datang semula setelah menelefon nombor Pejabat Pendaftar yang diberikan oleh seorang pegawai lelaki di ruang pengeluaran lesen itu? (Ada empat orang pegawai di seksen ini. Seorang lelaki yang menentukan harga kompaun, seorang perempuan yang memasukkan butiran dalam komputer, dan seorang wanita lagi yang mencetak lesen baru. Tiga orang pegawai perkeranian itu diawasi oleh seorang Penyelia gamaknya -- konsep ‘Malaysia boleh’ mahukan empat pegawai kerajaan mengeluarkan satu lesen berharga RM5 setiap bulan.!!!)
Orang luar yang datang jauh tentu akan menunggu sehingga komputer itu pulih semula. Tetapi ramai yang lebih rela menguruskan perkara lain dan menelefon sekali-sekala nombor 05-2547913 yang diberikan untuk mengetahui apakah talian komputer pulih semula. Rupa-rupanya nombor yang diberikan memang tidak akan berdering kerana sengaja dibiarkan begitu. Ada pelanggan yang datang semula dan mengunjukkan telefon bimbit mereka kepada pegawai bertugas di situ untuk menyuruh beliau mendail sendiri nombor yang mereka berikan. “Kerana marah ditipu secara bontang oleh pegawai yang semacam lintah darat, pelanggan mana yang tidak naik angin?”
Saya telah menelefon sendiri nombor yang diberikan itu sebaik menerima emel kisah ini dan sah bahawa begitulah kesannya. Malahan saya telah meminta seorang anak yang bertugas di Ipoh untuk membuat ‘ronda-ronda’ akan perkara ini dan dia mengeashkan bahawa begitulah ceritanya. Malahan dia berkata adalah tidak adil Pejabat Pendaftar mengenakan kompaun dalam masa keadaan pejabat yang kerap mengalami masalah komputer. Saya berikan jawapan kepada sikap begitu kerana itulah sikap orang Melayu yang tak sedarkan diri, kerana dia fikir duit para peniaga dipetik daripada daun-daun kering sahaja. Orang semacam ini mudah disogok rasuah kerana dia tidak dapat menilai akan harga wang yang sebenarnya. Saya harap orang Paklah akan memanjangkan kisah ini kepada Menteri Besar Perak agar melihat sendiri perkara yang mengaibkan.
Paklah Harus Bersikap Berani
Paklah harus mengambil sikap berani dengan merombak kabinet. Dia tidak perlu melantik Timbalan Perdana Menteri sekarang ini kerana ini akan mencetuskan banyak masalah dalaman BN. Malahan kalau mahu melantik Timbalan Perdana Menteri dia perlu melantik dua orang, satu untuk Semenanjung dan satu untuk Sabah dan Sarawak. Dengan cara ini dia boleh menumpulkan riak dan keangkuhan Ketua Menteri di dua buah negeri itu.
Rombakan kabinet Paklah haruslah didahului dengan usaha merombak pucuk kepimpinan akhbar perdana yang dimiliki oleh UMNO dan BN. Buat masa ini terlalu banyak pembohongan yang diterbitkan oleh semua akhbar perdana itu. Malahan akhbar tabloid picisan seperti yang dimiliki oleh Idris Tulis adalah terbitan yang penuh dengan tipu muslihat menjilat pemerintahan Mahathir dahulu. Keadaan ini berterusan hingga menjelekkan rakyat khususnya orang Melayu apabila Zainuddin Mamak diberikan tugas sebagai Menteri propaganada. Walaupun bertaraf Timbalan Menteri ada kalanya dia menonjolkan kewibawaan seolah-olah dialah Menteri Penerangan. Begitu juga dengan Kumpulan The New Straits Times. Terbitannya semakin kalut sejak Dollah Komunis menjadi Ketua Pengarangnya. Inilah penyangak yang mengaku merata dunia pernah menjadi Penasihat Khas kepada Tun Razak, sedangkan semasa belajar di MCKK dahulu keputusan peperiksaan OSC beliau adalah antara yang paling haprak dalam sejarah Maktab Melayu itu.
Walaupun waktu kini sebilangan besar orang Melayu masih berlembut dengan kritikan mereka terhadap Paklah, dan ada yang setakat mengacah-acah memanggil beliau Ketua Imam Ihsan, Paklah masih mampu menarik minat dan simpati golongan ini kalau Paklah menunjukkan keberanian merombak kabinet dan menyusun-atur media perdana agar lebih berterus-terang.
Tidak ada gunanya Paklah mahukan pemimpin BN bercakap benar dan berterus-terang kepada beliau kalau Menteri-menteri berstatus tunggul-lapuk masih berseloka dengannya dan akhbar perdana terus berbohong kepada rakyat jelata.
Soalnya sekarang apabila Menteri-menteri tunggul lapuk ini sudah tidak berjawatan dalam kabinet lagi, apakah BPR akan menghambat mereka?
Bersambung Bab 3...
Marhaintua <marhaintua@hotmail.com>
10.11.2003 (suntingan M@RHAEN)
Sila berikan
komen/respons
kepada artikel ini.
Artikel-artikel
berkaitan: (sekiranya artikel berikut tidak
terdapat di sini, sila cuba di tapak sokongan M@RHAEN yang lain)
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 1
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 2
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 3
MMMM16
- Dr. Mahathir Yang Sudah Dirobotkan - Bhgn 4
MMMM13
- Melayu Sudah Lama Kecewa Dengan Mahathir
Marhaintua: Melayu
Juga Yang Hancurkan Melayu
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Maklumat semasa
boleh disemak di Forum M@RHAEN.
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN. |