YANG MAHU DIFIKIRKAN
Catatan 1
Jawablah: Rasuah atau politik wang itu halal (dapat pahala) atau haram (dapat dosa)?

Sekarang ialah cerita pemilihan dalam Umno. Tak ada cerita baru kecuali putaran cerita lama: politik wang yang kononnya mahu dibanteras. Jika melihat tegahan-tegahan itu, apa yang dinamakan politik wang ialah memberi wang, menaja lawatan, membuat kenduri, belanja makan di hotel atau warung, beri kain pelikat, beri gula-gula atau apa-apa lagi dengan harapan ahli-ahli Umno atau yang menjadi perwakilan dalam persidangan mengundi seseorang itu. Nah itu politik wang.

Ya tuan-tuan para pemikir, apakah segala tegahan (politik wang mazhab Umno) itu bukan satu amalan yang turut dilakukan juga oleh para ustaz dan ulama dalam pilihanraya umum atau pilihan raya kecil? Jujurlah duhai para pejuang kebenaran (khasnya dalam Umno), tidakkah BN-Umno yang berbelanja mewah memberikan apa saja kepada pengundi khasnya yang di atas pagar agar mereka mengundi BN dalam PR? Jika amalan politik wang dalam Umno adalah terkutuk (mungkinkah sejahat berzina dengan ibu sendiri?) maka tidak terkutukkah politik wang dalam pilihan raya?

Jika politik wang dalam Umno adalah keji dan terkutuk yang bisa meranapkan parti lalu wajib dibanteras, apakah amalan wajib BN-Umno merasuah rakyat (politik wang juga) dalam PR amalan sedekah yang sangat dituntut dalam Islam sehingga para ulama dan ustaz yang berkempen untuk BN turut melaksanakannya? Apakah para memberi rasuah (politik wang) dalam PR tergolong dalam mereka yang amalnya tetap berterusan sampai ke akhirat?

Catatan 2
Ahli bukan Islam dalam Pas: Sekadar bicara kecil saja?

Khabarnya Pas akan membuat pilihan sama ada menerima bukan Islam menjadi warganya atau tidak. Itu bukan cerita baru. Karena bukan cerita baru, ia bukan cerita besar. Jika mereka yang lepasan sekolah pondok dapat menguasai pemikiran Pas, jawabnya bukan Islam tidak usah menjadi ahli Pas.

Pemikiran semula bukan Islam sebagai ahli Pas dibawa semula oleh Pas WP yang ketuanya ialah Haji Subki Latif. Yang sedang banyak membantah cadangan Pas WP ialah mereka yang hidup dan senantiasa berlegar-legar dalam lingkungan orang Melayu, majoriti Melayu, kawasan masjid, gemar berserban dan berkain pelikat (Tak semua, cuma majoriti. Ingat Uts Ahmad Awang berserban tapi sokong bukan Islam menjadi ahli)! Pemuda Pas Pahang yang ketuanya seorang ustaz (tentulah imej berserban) menolak cadangan bukan Islam menjadi ahli. Katanya, masuk Islam dahulu baru masuk Pas: Sifir paling mudah setelah tamat sekolah rendah!

Jika pembesar-pembesar Pas yang menggolongkan diri sebagai ulama (waris anbia) dan memperjuang kepemimpinan ulama belum sanggup berdampingan secara khusus dengan bukan Islam, usah bicara soal pemerintahan di Malaysia. Dalam pidato, mereka bilang Islam menjamin kesejahteraan umat Islam dan bukan Islam. Negara Madinah berpenduduk majmuk dan berjaya.

Nah sekarang, Pas tidak pun memerintah kecuali Kelantan yang banyak Islam berbanding bukan Islam. Tidakkah terfikir di kalangan pesimis ahli bukan Islam bahawa melalui jemaah (parti), Pas dapat membuktikan bagaimana Islam meladeni status bukan Islam? Senang bicara, layanlah bukan Islam sebagai warga Pas. Jika Pas pintar, laksanakanlah Islam dalam parti yang merangkumi warga bukan Islam. Mampu atau tidak? Berjaya atau tidak? Jika mahu mengurus bukan Islam dalam parti pun Pas tidak mampu lagi, tutup buku mahu mentadbir Putrajaya, Pulau Pinang, KL, Sabah dan Sarawak! Ustaz Azizan dari Kedah sudah menyerah kalah dalam isu ini, dia harus berundur sekarang.

- Mandalaputra - 08.07.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: