PILIHAN RAYA ADALAH PERANG DUA PUAK MELAYU!
Setelah masuk zon berkempen dalam pilihan raya pertama abad ke-21, semakin jelas bahawa pilihan raya ini adalah pertempuran dua puak Melayu alaf baru. Fokus pilihan raya ini memang politik Melayu: Pertarungan antara Umno, parti yang berasaskan nasionalisme Melayu dengan Pas parti yang berasaskan Islam (Al-Quran dan Sunah). Kesengitan pertempuran ini kerana parti Keadilan yang didominasi Melayu merupakan sekutu utama Pas sejak penubuhannya lima tahun lalu.
 
Sekalipun semua warga yang layak mengundi tidak hanya orang Melayu, kedudukan orang bukan Melayu dalam pertempuran ini adalah memihak Umno atau Pas. Sebagai parti yang menguasai pemerintahan negara, Umno memang sedang mendahului kiraan mata berbanding Pas. Jika dikiaskan dengan peperangan zaman dahulu (Melayu dengan Melayu juga), ada soldadu Pas sudah gugur dan cedera berbanding soldadu Umno.
 
Justeru pilihan raya adalah peperangan sekalipun kemenangan bukan dihitung dengan banyaknya kematian soldadu lawan, prinsipnya tetap sama: Demi menguasai politik pentadbiran, amalan muslihat termasuk ugutan, deraan, hinaan, cerca, ego, megah dan seribu sifat yang tidak boleh diamalkan dalam kehidupan biasa yang damai bagi bangsa Melayu!
 
Saksikanlah beberapa waktu sebelum pembubaran Parlimen dan sehingga masa kempen sekarang. Jangan lihat kemanisan wajah seorang calon dalam kempen sebagai tanda hati mulia dan tanda keredaan Allah. Pada waktu dalam perancangan, si muka manis bertakwa ini menjadi singa lapar! Apa strategi kita sekarang? Itu adalah sergahan biasa kepada para jeneralnya.
 
Lalu apabila di hadapan publik, para jeneral membuat arahan kecil manis, tidak mengundi si anu jawabnya nyah dari kawasan ini. Pegawai kerajaan jika sokong Pas siaplah dihantar ke lubuk syaitan dajal laknatullah. Maka di sini episodnya ialah Umno sedang menggunakan apa sahaja kuasa untuk meranap dan menghancurleburkan apa-apa nama Pas-Keadilan walaupun hanya kotak tisu jamban berlogo dua parti itu.
 
Sifir mudahnya Umno yang masih nasionalisme Melayu (falsafahnya membantu dan menaikkan martabat Melayu) tidak lagi melihat Pas-Keadilan sebagai Melayu. Pas-Keadilan wajib dikeroyok dihancur-lumatkan seperti soldadu Abrahah pada Tahun Gajah itu. Maka lihatlah sekarang atas nama demokrasi diadakan pilihan raya, namun sebenarnya pilihan raya diadakan hanya sebagai LESEN untuk menganyang pihak lawan sampai lumat. Tanpa pilihan raya, Umno sebagai orang berkuasa tidak punya modal untuk menekan dan membuat pelbagai kerja kotor. Atas nama peperangan pilihan raya, kekotoran itu nampak indah dan dirayakan. Dimasukkan sekali doa-doa dan solat hajatnya.
 
Satu puak Melayu pasti akan tewas. Tewas dalam pilihan raya tidak berakhirnya pembantaian. Nah selesai tarikh 21 Mac 2004, siri pembantaian baru akan dilakukan demi memuaskan serakah puak yang menang. Maka akan banyaklah yang menjadi mangsa serangan pasca pilihan raya. Sekarang jaga-jagalah, jika Umno menang tetapi cedera parah, soldadu Pas-Keadilan akan menjadi mangsa serangan hendap Umno. Kalau Pas-Keadilan menang? Penulis tak ada jawapan kerana seperti Umno, Pas-Keadilan juga telah penat bertempur dan ada yang cedera. Kalau tidak dimusnahkan terus sang musuh, nanti mereka membuat serang balas, sedang cedera belum sembuh!
 
Rakyat benar-benar menunggu jawapan pilihan raya adalah lebih baik daripada pertempuran bersenjata setiap lima tahun! Tamat pilihan raya, semua duduk makan setalam seperti orang jemaah Tabligh! Oh itu hanya ada dalam puisi.....

- Mandalaputra - 16.03.2004
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN