UMNO TERENGGANU SEJAHAT KOMUNIS!
Kenyataan di atas memang keras tak berampun.  Penulis  hanya mengutip luahan hati seorang teman dari Terengganu bekerja sebagai guru.  Teman penulis itu hanya memaklumkan sedikit babak paling sedih dalam kehidupannya sebagai anak watan pantai timur.  Seluruh warga guru di Terengganu telah diberi taklimat sejam oleh Pengetua masing-masing mengenai politik semasa pilihan raya.

Arahan taklimat tentulah datangnya dari Pengarah Pendidikan Terengganu, seterusnya Pegawai Pendidikan seluruh Daerah.  Taklimat itu mengarahkan agar semua guru jangan terlibat dengan politik dari sebesar-besarnya seperti bertanding sebagai calon hinggalah sekecil-kecilnya seperti bermimpi atau mengigau dalam tidur (tafsiran penulis) mengenai politik parti!  Antara contoh tindakan tatatertib yang boleh diambil seperti duduk-duduk mendengar cerita politik dan sesekali mengangguk atau menambah fakta-fakta politik.

Sekadar bercerita kecil politik parti BN dan Pas sudah melanggar arahan dan wajib kena tindakan.  Tentulah ada SB atau barua yang akan melaporkan cerita kecil politik itu.  Kesimpulannya dalam taklimat arahan itu, kaum guru mesti menjadi batu tak berakal tak berperasaan dalam politik sekalipun politik dan pilihan raya adalah isu besar dalam negara.

Arahan itu tentulah datangnya daripada Umno.  Umno tahu majoriti guru adalah kaum Melayu dan orang Melayu majoriti adalah penyokong Pas dan Keadilan! Pilihan raya yang datang hanya sekali dalam lima tahun dan semua warga menyebutnya termasuk kanak-kanak, Umno memaksa guru jadi bodoh sebodoh-bodohnya.  Nasib baik guru di Terengganu tidak diharamkan terus daripada mengundi.  Tapi kalau kali ini BN Terengganu masih kalah lagi, harus juga larangan itu datang.

Sebenarnya itulah salah satu babak kebingungan Umno-BN menghadapi rakyat.  Pemikiran Umno tetap feudal seperti zaman Singapura dilanggar todak, sedangkan rakyat sudah berjiwa merdeka, Islam dan demokrat.  Tindakan-tindakan feudal Umno hanya menjauhkan rakyat daripadanya.

Dengan tindakan Umno Terengganu terhadap guru, kebencian guru dan keluarganya terhadap Umno kian tebal.  Kata teman penulis, orang Terengganu masih berdendam terhadap Umno.

Doa dan harapan penulis, jangan pula Pas dan Keadilan mewarisi kebodoh-sombongan Umno sekalipun Allah berikan semula kemenangan.  Dugaan Allah terhadap hamba-hamba-Nya tetap ada tambah-tambah sudah mempunyai kuasa.  Selagi rakyat ada ruang menyuarakan kebenaran, maka mana-mana pihak yang zalim, jahat, pembohong dan pelbagai jenama buruk akan ditolak oleh rakyat.

- Mandalaputra - 13.03.2004
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN