Terbitan Semula Bahan Daripada Laman M@RHAEN


Saya amat mengalu-alukan usaha pelbagai pihak, khususnya pengendali laman-laman pro-reformasi, menerbitkan semula dan menyebar-luaskan pelbagai bahan yang disiarkan di laman ini. Dengan usaha sebegini, bahan-bahan yang disiar di laman ini akan dapat sampai ke khalayak pembaca yang lebih luas dan dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai pembaca. Bagaimanapun, saya sedikit terkilan dengan usaha dan niat baik para pengendali laman yang melakukan 'copy & paste' keseluruhan tajuk dan kandungan bahan tetapi memadamkan dua perkataan yang telah menjadi seakan-akan trademark laman ini iaitu 'suntingan M@RHAEN' yang terdapat di akhir setiap bahan. Pada saya, dua perkataan itulah yang membezakan bahan yang disiarkan di Laman M@RHAEN dengan laman-laman pro-reformasi yang lain - proses semakan dan suntingan.

Bagaimanapun, janganlah menganggap ini sebagai satu sekatan kepada pengendali laman-laman pro-reformasi untuk terus menyiar dan menerbitkan semula bahan daripada laman ini. Saya amat menyanjung dan menghargai usaha anda dan perkara ini timbul mungkin akibat daripada terlepas pandang mengenai etika penyiaran semula bahan-bahan.

Untuk makluman, laman-laman pro-reformasi berikut yang telah mewujudkan 'MoU' dengan Laman M@RHAEN, tidak terlibat dengan perkara di atas:
Laman Free Anwar Campaign
Laman Reformasi
Laman Forum Gerak Reformasi
dan kesemua blog yang terdapat di dalam Rangkaian Web M@RHAEN seperti blog marhaen2k, marhaent, tokjanggut dan lain-lain.

Maklumat Terkini: Isu ini nampaknya mendapat respons yang positif daripada pengendali laman-laman pro-reformasi yang berkaitan, yang telahpun menerbitkan semula bahan daripada laman ini dengan sepenuhnya. Terima kasih atas keprihatinan Sdra. pengendali laman-laman web pro-reformasi ke atas perkara ini.

- wm_marhaen - 26.04.2004 - (suntingan M@RHAEN)



Sertai Maillist M@RHAEN