Ubah Tiang Gol
Oleh
Leluhur Long Senik – Pattani

Saya bukan orang politik, seumur hidup saya tak pernah daftar mengundi. Bukan apa-apa, saja…. Mungkin pembaca mengingatkan “I’m a complete idiot”. Itu terserah kepada opini masing-masing.

Apa yang saya nak ceritakan di sini adalah sebahagian daripada “silent protest” kenapa saya tak mengundi.

Waktu saya masih kecil zaman 70-an, setiap kali mengundi, saya membawa nenek saya ke tempat mengundi, oleh kerana matanya tidak begitu jelas (sakit catarac), kurang vitamin di zaman jepun, jadi sayalah yang mengundi untuk dia.

Dia selalu, bagi tahu, “Pangkah Kapai Layaq” – bahasa utara pekat. Begitulah ceritanya setiap kali mengundi. Sampai “Kapal Layar” Perikatan bertukar menjadi “Dacing” BN pun, dia masih mau pangkah “Kapai Layaq”. Begitulah pekatnya salasilah saya dengan parti pemerintah sekarang sampai ke orang tua saya sekali, sedangkan majoriti saudara maranya dah lama menoreh getah guna pisau cap bulan dan tanam padi guna baja cap bulan.

Tapi di sini kerana sokong parti, sampai buang adik-beradik, saudara-mara. Jadi kalau setiap kenduri-kendara atau kematian, sampai tak menjenguk muka dah bertahun-tahun.

Baik UMNO, baik PAS. Adalah beberapa kerat di kampung yang masih “neutral” cuba mengawal keadaan.

Saya tertarik sekali dengan persempadanan semula dibuat setiap kali pilihan raya sekarang. Kalau dahulu, semenjak merdeka, kampung saya termasuk dalam DUN Tunjang (Parlimen Kubang Pasu), memang pun pekan yang terdekat, pekan Tunjang.

Kemudian tahun 90-an bertukar jadi DUN Kota Siputeh (Parlimen Jerlun), ada ke pekan Jerlun? Kecuali Simpang Empat Ayer Hitam, tempat lain masih belum ada “Traffic light’. Sekarang ini alih-alih saya lihat melalui dunia maya (Internet) dah berubah ke DUN Ayer Hitam (Parlimen Jerlun).

Bayangkan, pejabat ADUN di pekan Ayer Hitam, kalau zaman 70-an naik basikal sehari baru sampai, lebih baik ke Kuala Perlis sahaja boleh makan laksa. Jadi kalau mahu bertemu 5 tahun sekali pun susah, bagaimana untuk membantu penduduk.

Dipendekkan cerita, MDKT daerah kampung saya tersebut, pejabatnya di Jitra (DUN Jitra Parlimen Kubang Pasu), segala urusan pendaftaran, ubah hak-milik, cukai, dll semuanya di sana.

Jadi bagaimana dengan peruntukan dan pungutan hasil? Saya kurang arif dalam hal ini, tetapi apa yang saya lihat akan terjadinya birokrasi “red tape” dan penduduk awam yang dimangsakan.

Akhir sekali, mungkin pada tahun 2020 kampung saya sudah masuk dalam DUN Pauh (Parlimen Arau), sebab “buah labu non-semitri” bergerak ke arah utara. Rakyat Kedah tetapi mengundi di Perlis, untuk memenangkan Tauke Bernas. Sampai bila setiap kali mengundi ubah “tiang gol”, Tapi ingat “ They always have to be lucky, but we have to be lucky once” and it will change the history.

Leluhur Long Senik – Pattani
Padang Perahu, Jitra - 18.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN