Khir Toyo, Pengamal Rasuah Terkemuka Yang Pemaaf?

Perang ke atas perompak pasir di Selangor yang menggunakan kod `Operasi Mesin' kian memualkan apabila rakyat melihat drama murahan itu tidak lebih daripada lakonan Dr Khir Toyo untuk melencungkan pergelutannya dengan pelbagai isu besar yang sedang dihadapinya sejak mula mengambil alih jawatan MB daripada DS Abu Hassan Omar.

Kegagalan Khir menstabilkan Umno Selangor, keserabutan mentadbir kerajaan dan minatnya berlebihan terhadap rasuah adalah di antara isu yang bukan sahaja diperkatakan oleh pihak pembangkang malahan Umno Selangor turut berbuat begitu.

Khir Toyo yang masih begitu mengharapkan untuk terus duduk di kerusi MB Selangor sekiranya Umno BN berjaya mengekalkan kuasa selepas pilihan raya akan datang, kini dikatakan begitu terdesak.

Himpitan yang dibuat oleh pihak pembangkang kian menyesakkan nafasnya manakala seteru dalaman terus-menerus mengatur komplot untuk meyakinkan Pak Lah bahawa Pengamal Rasuah Terkemuka itu adalah liabiliti (biawak hidup) buat Umno Selangor.

Berdepan dengan asakan luar dan dalam itu, Khir Toyo dikatakan sentiasa meragui ketaatan sebahagian besar pemimpinan Umno Selangor termasuk barisan Exco-exco Kerajaan Negeri sendiri.

Sebagai contoh pelaksanaan Operasi Mesin itu sendiri jelas menampakkan keraguan Khir terhadap pemimpin-pemimpin Umno tertentu kepada beliau.

Kalau diimbas kembali sejak terbongkarnya secara leluasa isu rompakan pasir di Selangor beberapa bulan lalu, Exco yang mula-mula dijolok ke depan untuk menanganinya adalah Dato` Mokhtar Ahmad Dahalan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Setinggan kerajaan negeri.

Setelah Mokhtar`bekerja keras` menyelidik dan memerhati melalui beberapa siri `turun padang` beliau telah mendedahkan bahawa aktiviti rompakan pasir yang telah berjalan selama lebih tiga tahun itu,sebenarnya berlaku hasil daripada persekongkolan pemegang permit (kroni-kroni Umno BN) dan pengusaha (kontraktor) serta pihak-pihak lain termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ertinya secara tak langsung, Mokhtar telah memperlihatkan kepada umum kegagalan dan kecuaian Pengamal Rasuah Terkemuka itu memainkan peranannya sebagai ketua pentadbir kerajaan negeri.

Tidak pula dapat dipastikan sama ada `keberanian` Mokhtar mendedahkan kepincangan itu sebagai ikhlas atau pun sebaliknya, tetapi Khir terus menganggap Mokhtar sebagai seteru dan `orang yang tidak boleh diharap` lagi.

Lalu Khir serta merta menghukum Mokhtar dengan menyerahkan tugas menangani aktiviti rompakan pasir seterusnya kepada Datuk Abd. Fatah Iskandar, Exco Belia, Usahawan dan Industri Kecil serta Sederhana kerajaan negeri.

Abd. Fatah yang dikenali sebagai `pengangguk setia` kepada Khir di kalangan pemimpin Umno Selangor, dilantik mengepalai angkatan untuk memerangi perompak pasir mengikut skrip yang disusun bagi memulihkan sedikit maruah bosnya yang telah teruk tercemar itu.

Fatah yang sedang bertarung dengan masalah besar di bahagiannya sendiri pula melihat `penghargaan` daripada Khir itu sebagai peluang untuk menjadi hero bagi memancing semula sokongan anak buahnya di Umno Kuala Langat.

Perang pun dilancarkan selama hampir sebulan dan dengan sokongan segala jenis media pengampu, digambarkan kepada umum bahawa operasi itu benar-benar menempa kejayaan hebat.

Puluhan mesin berat berjaya dirampas dan disita kemudian hilang begitu sahaja, beberapa orang penjenayah (operator mesin dan yang disyaki tonto) berjaya diberkas dan telah disoal-siasat untuk membantu mengesan perompak sebenar.

Sebagai meraikan gimiknya itu, Khir Toyo bertambah garang dan celupar. Tanpa berfikir panjang dia berkata bahawa pihaknya sudah bersiap sedia untuk memberkas perompak-perompak terlibat di antaranya seorang ketua kampung.

Tiba–tiba pada 31 Januari lepas, Abd. Fatah telah membuat kenyataan di Klang menyeru supaya semua pihak yang terlibat di dalam aktiviti merompak pasir bertaubat dan tidak mengulanginya lagi.

Kata Fatah: “Saya harap mereka (perompak pasir) supaya berhenti dan bertaubat, jika mereka masih berdegil kerajaan tidak akan ragu-ragu untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka.”

Ujar pengampu setia Khir Toyo itu lagi: “Dalam pada itu, saya mengharapkan penangkapan yang dibuat ke atas seorang pegawai di Pejabat Daerah Kuala Selangor yang bersekongkol dengan pencuri pasir tempoh hari akan menjadi pengajaran dan peringatan berguna kepada semua yang terlibat.”

Mengapa Fatah begitu baik hati menawarkan pengampunan kepada para perompak sedangkan Khir Toyo berdegar-degar mahu mencekup mereka. Adakah Fatah lebih berkuasa walhal beliau hanyalah seorang pencacai peliharaan Khir !

Sampai mati pun Fatah tidak akan berani menyanggah tuannya, kecuali beliau telah diarahkan sendiri oleh Insan Menggilai Rasuah itu untuk berkata begitu.

MB Muda itu menyedari jika perompak-perompak sebenar dicekup, kesannya nanti beliau akan terus dibenci oleh sebahagian besar pimpinan Umno di peringkat pertengahan di bahagian-bahagian tertentu di Selangor yang terlibat sebagai pengusaha (pemegang permit).

Bukan sekadar itu, silap-silap ada di antara saudara maranya mungkin tercekup sama lantaran mereka pun difahamkan turut disenaraikan sebagai pemegang permit yang telah kenyang menikmati hasil rompakan pasir.

Untuk mengelakkan semua itu berlaku, maka Khir Toyo bersedia memberi `kemaafan` kepada para perompak tersebut melalui Abd. Fatah yang sentiasa siaga menghambakan diri kepada tuan besarnya.

Sementara pegawai Pejabat daerah Kuala Selangor berusia sekitar 40-an yang diberkas oleh BPR kerana disyaki bersyubahat dengan perompak pasir melepaskan sebuah lori dari kawasaan sitaan pada 15 Januari lalu, hanyalah mangsa yang dikambing-hitamkan.

Mungkin pegawai itu dirasuah dan tidak mustahil dia berbuat begitu sebagai protes terhadap gimik Khir Toyo dan kroni-kroninya yang berpura-pura baik, padahal merekalah juara penyelewengan sebenarnya.

Sekalipun pegawai itu terlibat mengambil rasuah, berapa senkah sangat jika dibandingkan dengan habuan yang telah ditelan oleh Khir Toyo dan kroni-kroninya selama berkuasa di Selangor.

Seorang pegawai Melayu telah dikorbankan untuk melindungi jenayah kroni-kroni Umno BN yang bersubahat dengan taukeh-taukeh Cina merompak harta rakyat. Adilkah itu?

Rompakan pasir itu adalah sebahagian daripada pernyataan kepada banyak lagi kegagalan Khir Toyo melaksanakan amanah rakyat. Tidak mungkin pemimpin yang curang akan berjaya memerangi kecurangan orang lain.

Beruntungnya para perompak pasir dan pembalun-pembalun harta rakyat di Selangor, kerana mendapat seorang Pengamal Rasuah Terkemuka sebagai ketua yang bersedia memaafi perlakuan jenayah mereka.

Hanya rakyat sahaja yang mampu menyelamatkan Selangor dari cengkaman ganas Khir Toyo dan kroni-kroni bajingannya.

Itu pun kalau rakyat (Melayu Islam) sudah betul-betul sedar, kalau masih lalai kerana dikaburi dengan umpan beberapa ekor lembu korban saban tahun, tunggu sajalah saatnya untuk mereka bertukar menjadi `tahi lembu` di negeri yang diuar-uarkan akan maju menjelang 2005 itu.

Orang Dalam - 02.02.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN