Khir Toyo Jadikan Mahathir ‘Kitab Rujukan’
Meskipun MB Muda DS Dr. Toyo dilihat amat mengalu-alukan dan cukup konfiden dengan kemampuan Pak Lah untuk menerajui negara selepas 31 Oktober ini, tetapi jauh di sudut hati
Pengamal Rasuah Terkemuka itu mengharapkan Mahathir akan terus memimpin parti dan negara.

Ditakdirkan ada usul meminta khidmat Mahathir diteruskan dalam Mesyuarat MT Umno pada 30 Oktober 2003 yang akan dipengerusikan buat kali terakhir oleh `bapa angkat` Khir sebelum PM Tua itu menyerahkan kuasa kepada Pak Lah,nescaya bekas doktor gigi itu akan menjadi orang pertama yang akan mencadang atau menyokongnya. Begitulah kata sesetengah pemerhati politik.

Ketabksuban Insan Menggilai Rasuah (IMR) itu terhadap Mahathir dapat diperhatikan apabila diberitakan dia tidak dapat menahan sebak, hiba dan sedih apabila diminta mengulas peletakan jawatan PM yang sedang menunggu saat untuk disaksikan oleh warga dunia sejauh mana kebenarannya.

Dalam erti kata lain, Khir Toyo belum bersedia untuk `berpisah` dengan Mahathir. Dia masih mahu berkepit di celah ketiak Mahathir yang telah menabur `budi besar` kepadanya seolah-olah tanpa Mahathir, Pengamal Rasuah Terkemuka itu akan kehilangan tempat bergantung dan berlindung.

Menurut Khir: “YAB DS Dr. Mahathir bukan sekadar melantik saya menjadi MB untuk mewakili golongan muda tetapi beliau juga sentiasa memantau untuk memastikan pelantikan itu mencapai matlamatnya.”

Dalam kenyataan untuk membodek dirinya sendiri Khir mengakui tanpa bimbingan berterusan dari Mahathir dia tidak akan berjaya memulihkan imej Selangor yang telah rosak teruk akibat kesilapan pemimpin-pemimpin terdahulu. Kata Khir: “Saya jadikan PM sebagai “kitab rujukan” dalam setiap tindak-tanduk sebaik-baik diberi kepercayaan oleh beliau untuk menerajui Selangor.”

Pengakuan Khir itu dengan sendiri mengesahkan dakwaan kebanyakan orang bahawa selama ini dia tidak pernah menghormati pandangan sesiapapun melainkan nasihat `Godfathernya`. Dia mentadbir negeri dan mencorakkan politik Umno Selangor menurut kemahuan Mahathir 100 persen.

Buat Khir tiada siapa pun `yang maha agung, maha mulia dan maha pelindung` melainkan Mahathir. Sebagai bukti daripada sanjungan tersebut maka Khir telah menempatkan dirinya sebagai satu-satunya manusia di atas alam ini yang tidak ragu-ragu untuk mengisytiharkan bahawa `Syurga` adalah balasan paling setimpal untuk Mahathir di akhirat nanti, seperti mana kenyataan yang dibuatnya di dalam Sidang DUN Selangor tidak berapa lama dulu.

Jika Khir sudah pun mengisytiharkan Mahathir bakal penghuni `Syurga` sudah tentu dia sendiri pun akan menghuni `Syurga` yang sama, kerana menurut lazimnya orang yang mengisytiharkan apa saja kurnia dan anugerah kepada orang lain, lazimnya sipengurnia atau penganugerah itu sudah pasti lebih baik dari sipenerimanya. Siapakah Khir Toyo yang cuba berlagak sebagai `Pemilik Syurga` untuk sewenang-wenangnya mengurniakan `anugerah agung’ itu kepada Mahathir?

Adakah Khir Toyo menganggap dirinya setanding dengan seorang Rasul atau Wali yang telah menerima wahyu atau ilham dari Allah swt untuk berbuat demikian? Kitab manakah pula yang dijadikan sandaran sebagai rujukan untuk menjamin `Syurga` buat Mahathir yang pernah menghina Sunnah Rasul dan kerap kali menyatakan ketidak-yakinannya kepada hukum Allah?

Nampaknya `ulama agung dan mursyid` ini kena menyediakan jawapannya bukan sahaja kepada sesama manusia di muka bumi ini tetapi terlebih penting bila berhadapan dengan Allah swt di akhirat nanti. Mungkin `al Kitab Mahathir` yang diimani dan diyakini sepenuhnya oleh Khir Toyo telah menyediakan segala jawapannya.

Apa yang pasti di antara ajaran `Al Kitab Mahathir`adalah mewajibkan pemusnahan masjid jika tempat ibadah itu ditakrifkan sebagai `pengancam` kepentingan politik golongan yang berkuasa dan kitab yang sama juga menghalalkan rasuah serta penyelewengan asalkan mendapat restu dan perlindungan sang ketua. Manakala kepentingan menyempurnakan urusan penyembelihan babi itu terlebih afdhal dari penjagaan pusat sumber air bersih yang amat diperlukan manusia!

Demikian sebahagian dari ajaran yang telah diceduk oleh Pengamal Rasuah Terkemuka itu dari `Kitab Rujukan` yang diimaninya itu. Justeru setelah kepergian Mahathir maka Khir tidak perlu menyesali nasibnya jika dia di pinggirkan oleh Pak Lah. Jika otak Pak Lah sama dengan Mahathir maka akan ada kitab baru yang sudah pasti diimani dan didokong oleh para pengikutnya pula. `Kitab al-Mahathir` dengan sendirinya mansuh.

Jika sekadar mansuh tidak mengapa juga,tetapi yang amat dibimbangi Pengamal Rasuah Terkemuka itu ialah tindak-balas pengamal-pengamal kitab versi baru itu nanti. Tidak mustahil Khir Toyo akan dijadikan mangsa untuk membuktikan bahawa `kitab baru versi Pak Lah` lebih hebat dari `al-Kitab Mahathir`. Ketika itu adakah Mahathir yang telah dikurniakan `Syurga` mampu menyelamatkan MB Muda itu itu dari `Neraka Jahanam` Pak Lah?

Khabarnya Khir Toyo sedang bersiap untuk melakukan Umrah dalam sehari dua ini. Apakah beliau ingin berlutut di sisi Kaabah memohon kepada Allah agar dia tidak di dizalimi oleh pengamal kitab baru dan terus menjadi MB? Apakah doa seorang hamba yang kerap kali terlajak laku dan amat menggilai rasuah akan dimakbulkan oleh Yang Maha Berkuasa? Mari sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya……….

- Orang Dalam - 25.10.2003 (suntingan M@RHAEN)
5 Dalil Mengapa Khir Toyo Tidak Sesuai Menjadi Menteri Besar Selangor



Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN

Click Here!