Apakah BA Belum Layak Memerintah Malaysia?
Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Kemerosotan Jumlah Kerusi BA

Para reformis sekalian! Sudah banyak kita baca ulasan dan pandangan yang dikemukakan berkaitan sebab-sebab terjadinya kemerosotan jumlah kerusi BA di Parlimen juga di DUN-DUN seluruh Malaysia. Jangan ada sesiapa di sana yang menafikan ianya Taqdir Allah.

Izinkan saya sebutkan sedikit perkara yang saya rasa belum disentuh oleh orang lain. Saya sudah merasa hairan sejak sebelum pilihan raya dengan sikap kita (di tempat saya) yang terlalu yakin dengan arus 99. Di Terengganu ada unsur-unsur sibuk menguruskan harta ghonimah yang menyebabkan tidak ramai yang istiqomah dengan usrah.

Apabila telah dimaklumkan (sebelum pilihan raya) terdapatnya lebih 6 ribu nama pengundi muda yang tidak dikenali (dari pantai barat) di satu DUN di Terengganu, kita hanya diberitahu Kita Telah Tahu perkara itu oleh pimpinan tertentu. Tetapi apakah tindakan yang telah diambil untuk menangani perkara ini? Itu baru satu DUN, entahlah di DUN-DUN yang lain.

Sesetengah pimpinan seolah-olah tidak percaya Faktor DSAI memberi saham yang agak besar kepada kemenangan BA di Terengganu. Orang UMNO dan Golongan Atas Pagar yang cuba-cuba memberi undi kepada BA diabaikan dan diketepikan. Tidak sedikit kalangan mereka yang menghadapi suasana Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Keciciran disebabkan BN tidak lagi memerintah Terengganu 2000-2004. Malah lebih parah lagi mereka kekal diragui dan mendapat pelbagai gelaran yang tidak disenangi. Nah! apakah mereka sanggup undi BA lagi?

Usah kata nak tarbiyyah pengundi BA dari kalangan UMNO dan Golongan Atas Pagar, kalangan JSR pun tidak ramai yang mengikuti usrah sedangkan sepatutnya ia diwajibkan kepada semua.

Memulau Pilihan Raya

Tidak sedikit suara-suara yang mengajak supaya pilihan raya dipulaukan. Juga ada tulisan yang mengajak supaya melakukan pendekatan yang lain untuk mendapatkan kuasa? Saudara Reformis sekalian. Marilah kita bermuhasabah untuk apakah perjuangan kita ini. Apakah maksud perjuangan kita seperti Orang BN mendapatkan kuasa seterusnya memperkayakan diri dan kroni?

Seandainya kita diberikan kuasa oleh Allah nescaya wajiblah kepada kita mendaulatkan Islam di dalam pemerintahan dan tanah air tercinta ini. Ketika itu nilai-nilai keadilan sejagat akan dirasai oleh penduduk bumi bertuah ini. Setiap yang berhak akan mendapat haknya insyaallah.

Seandainya kepimpinan telah memutuskan kita tidak menyertai pilihan raya, sama-samalah kita akur dengannya. Pilihan raya dan parti politik bukanlah segala-galanya. Keduanya hanya merupakan wadah untuk kita memperjuangkan apa yang diperintahkan Tuhan kepada kita.

Tetapi awas saudara! Jangan kita membuat keputusan sendiri. Bukan undi BN yang berkurangan sebaliknya undi BAlah yang akan merosot oleh sebab keputusan sendiri-sendiri itu. Ingatlah Tok Guru Nik Abdul Aziz masih lagi Menteri Besar pada hari ini dengan kelebihan undi yang tidak besar di beberapa DUN.

Islam Pasti Akan Memerintah

Saudara-saudari Para Reformis sekalian! Apabila kita membaca hadis-hadis nabi nescaya pasti kita akan yakin dengan jaminan Rasulullah ini. Tetapi kita tidak tahu bila ia akan berlaku. Sama ada lambat atau cepat. Kita juga tidak tahu apakah perkara ini akan berlaku dengan gabungan BA sekarang atau dengan cara yang lain (hanya Allah saja yang tahu). Kita tidak akan dipersoalkan tentang itu. Kita akan ditanya apa yang kita usahakan ke arah itu.

Jangan dok kalut. Kan kita semua dah tahu UMNO tu parti yang sedang mereput. Tetapi kita belum tahu berapa lama proses pereputan itu berlaku. Seandainya kita dapat istiqomah, tiba masa UMNO dah hancur maka BA lah yang akan memerintah pada ketika itu. Janganlah kita yang reput dulu.

Berkoyak Dalam Cawan

Selain faktor-faktor yang telah disebutkan oleh para penganalisis, saya melihat tindak-tanduk orang-orang muda dalam keadilan menjelang pilihan raya juga menimbulkan banyak keraguan dan syak wasangka di hati para pengundi terhadap BA. Belum dapat kuasa dah berkelahi apa akan jadi setelah mereka dapat kuasa?

Patutnya lihatlah permasalahan dalaman dengan cermat dan teliti. Cukuplah berkocak dalam cawan, jangan sampai tumpah keluar. Apa yang berlaku, habis yang ada kat dalam kain diselakkan. Kalau payah sangat cantaslah awal-awal yang mana perlu. Jangan dok biar merebak barah yang ada sorang dua tu.

Adakah apabila dah dapat kuasa kita akan buat sama macam BN dah buat? Sudah tentu tidak. Oleh sebab itu marilah kita muhasabah setiap diri kita. Sama-samalah kita islah diri kita sebelum dapat kuasa untuk islah orang lain. Jangan nanti bila BA dah dapat kuasa ada kalangan kita tercicir dan terpaksa dicantas kerana tidak layak untuk menerima amanah dari Allah. Oleh itu marilah kita mengkaji pra-syarat yang perlu dimiliki oleh kita semua.

Percayalah saudara, sebenarnya kita belum layak. Itulah sebabnya Allah belum izinkan kita memerintah Malaysia. Marilah kita mempersiapkan diri untuk menerima amanah ini.

Sekian. Terima kasih.

ALLAHU AKBAR! WALILAHIL HAMD

Khalid - 04.04.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN