Pak Lah Jadi Imam Perkara Kecil Dan Tak Pelik!
Oleh Kangsemar

Kebolehan PM Pak Lah jadi imam solat dilihat dan dianggap ’cukup besar’ oleh pemimpin dan pengampu UMNO. Peristiwa itu bukan sahaja ’dimainkan 24 jam’ oleh media massa yang dicucuk hidung oleh UMNO, malah dijaja dan disogokkan pula oleh tukang kempen UMNO di kampung-kampung sekarang ini untuk menarik pengundi di kalangan rakyat akar umbi. Kata mereka, kalau PM Mahathir dulu mungkin ada kekurangan dalam segi agama, maka PM Pak Lah ini semua rakyat terutama ahli-ahli PAS patut sokong UMNO serta eloklah meninggalkan PAS yang banyak mengeluarkan cakap-cakap berupa fitnah semata-mata. UMNO sekarang apa pula kurangnya dibandingkan dengan PAS. PM Pak Lah tu adalah cucu ulamak dan berkelulusan bidang agama. Dia boleh jadi imam solat, boleh…..boleh….. boleh.. (Macam-macam lagi yang boleh mereka tokok tambah untuk membodohkan rakyat dan kadangkala tak wujud pun!).

Tukang kempen dan pengampu UMNO yang masuk kampung itu sepatutnya malu sendiri dan sedar bahawa keturunan ulamak tidak menjamin anak pinak dan zuriat seterusnya boleh jadi ulamak juga. Jangan pula hendak disamakan macam binatang ternakan. Kalau asal zuriatnya binatang kambing, diternak beberapa zaman pun tetap jadi binatang kambing juga! (Pun begitu, kadang-kadang setelah beberapa keturunan atau dikawinkan dengan baka kambing lain, banyak berlaku perubahan segi bentuk badannya!). Kalau begitu, apalah nak dimegahkan sangat PM Pak Lah itu berketurunan ulamak. Walhal perbuatannya belum lagi menampakkan perangai keturunan ulamak! (Nak suruh bini pakai tudung menutup aurat yang sudah ditetapkan agama Islam pun dia belum mampu lagi…..).

Pasal PM Pak Lah boleh jadi iman solat sebenarnya bukan suatu yang pelik bagi umat Islam di negara ini (kecuali orang UMNO). Ramai lagi pemimpin masyarakat bawahan yang boleh jadi imam di Malaysia ni. Kalau Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz dan Menteri Besar Terengganu, Hadi Awang, bukan sahaja kedua mereka mampu jadi imam solat taraweh, malah semua jenis solat dia sudah pernah jadi imam dan makmumnya puluhan ribu orang. Bukan sekali dua. Malah mereka sudah ada pondok sendiri dan amalan memberi kuliah agama sudah jadi darah daging sejak lama. Apalah nak pelik sangat kebolehan PM Pak Lah tuuuuuu!.

Kalau tukang kempen dan pengampu UMNO minta ahli PAS berubah menyokong perjuangan UMNO berikutan parti itu sekarang ini diketuai oleh PM Pak Lah cucu keturunan ulamak terkenal, sepatutnya mereka perlu berfikir berkali-kali sebelum berkata. Kerana dalam parti PAS bukan sahaja ramai pemimpin yang mempunyai ’keturunan’ ulamak, malah mereka itu sendiri betul-betul seorang ulamak!. Cuba buat bancian, berapa ramai pemimpin UMNO dan berapa ramai pula pemimpin PAS berkelulusan agama dan boleh dianggap sebagai ulamak. (Dalam UMNO kalau ada pun pemimpin bergelar ulamak, hampir semua mereka pernah kalah bertanding dalam pilihan raya. Maknanya di sini, gelaran ’ulamak’ mereka itu pun sudah ditolak rakyat majoriti secara mentah-mentah!).

Sebab itu kepada tukang kempen, pengampu, penyokong dan ahli UMNO, tak perlulah anda semua ’kagum’ sangat dengan peribadi PM Pak Lah itu. Macamlah juga dengan bekas PM Mahathir dulu, anda bukan main lagi sanjung siang malam. La sekarang apa dah jadi? Kain-kain rentang yang memuji memuja PM Mahathir, dipasang sana sini pun banyak yang koyak rabak dan jatuh ke tanah. Kenapa anda tak ganti dengan yang baru atau betulkan kain-kain rentang tu? Jadi, dengan PM Pak Lah ini pun sama juga. Baru-baru bukan main lagi kagum dan sanjung, lama-lama nanti apa nak jadi kita pun tak tau….….

Yang jelas pada hemat orang yang cerdik, orang-orang UMNO kagum sangat dengan peristiwa PM Pak Lah itu kerana mereka melihat semua PM terdahulu tidak ada yang boleh jadi imam solat. Tup…tu…bila tiba PM Pak Lah seorang ini boleh pula dia jadi imam solat! Waaaah, hebat betullah PM Pak Lah ni…. (Oleh itu patut benarlah PM Pak Lah disanjung dan dijadikan sebagai ’model’ pemimpin orang Islam di negara MALAYSIA BOLEH ini, kata orang-orang UMNO).

Kata orang yang cerdik lagi, perbuatan orang-orang UMNO itu samalah bandingannya dengan seorang murid dalam kelas lembam berjaya dapat hadiah kerana mendapat nombor satu dalam peperiksaan di kelasnya. Semua murid kelas lembam kagum dengan kebolehan rakan mereka dapat nombor satu dan dapat hadiah. Tapi yang sebenarnya, rakan itu adalah nombor satu dalam kelas lembam! Markah keseluruhannya pun cuma dapat 35 peratus saja! Kalau murid dalam kelas cemerlang, yang dapat nombor corot pun markahnya 62 peratus… (Jadi eloklah orang-orang UMNO jangan kagum sangat dengan kebolehan PM Pak Lah kita tu. Dan tak payahlah nak jadikan bahan kempen tarik pengundi pilihan raya pula…. Buat malu kompeni saja, kata budak-budak lepak di kampung Kang Semar).

- Semartoyo Kangsemar  - 08.12.2003 (suntingan M@RHAEN)

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN.



Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat:
Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.