Shahrizat Menang, Rakyat Terseksa
Saudara Editor,

 
Sebagai pengundi bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai, saya berasa amat kesal dengan sikap pihak berkuasa terhadap rakyat biasa seperti saya.
 
Waktu datang ke pejabat pagi ini, saya amat terperanjat apabila diberitahu rakan sepejabat bahawa pihak berkuasa telah mula memasang meter di tempat letak kenderaan (parking meter) di sekitar Bangsar Utama. Lebih malang bagi penduduk dan pekerja di sekitar Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai ini, kerja-kerja memasang meter itu baru saja dimulakan pada hari Isnin 22 Mac yang lalu, sehari selepas Shahrizat memenangi semula kerusi parlimen tersebut.
 
Beberapa minggu sebelum pilihan raya umum yang lalu, ramai penduduk Bangsar Utama, Pangsapuri KTMB, Flat Seri Pahang dan sekitarnya mengeluh dan tidak dapat tidur lena disebabkan serangan nyamuk pada waktu malam. Sepanjang waktu Shahrizat berkempen pada minggu lalu, serangan nyamuk semakin bertambah mungkin kerana kawasan Bangsar Utama semakin redup dengan banyaknya poster dan bendera digantung di sini sana.
 
Kini saya mula menyedari bahawa pihak berkuasa hanya mahukan sokongan dan undi rakyat biasa seperti saya. Setelah bersusah payah mencari tempat letak kereta di sekitar pusat pembuangan undi pada Ahad lepas hanya untuk memenangkan calon bergetah pilihan hati penduduk Lembah Pantai, kini kami akan dipaksa membayar sewa tempat letak kenderaan. Mungkin kami akan terus digigit nyamuk dan membayar sewa letak kenderaan kerana Shahrizat hanya pasti akan datang semula ke sini andai pilihan raya terpaksa diadakan semula. Kalau tidak, tunggulah sehingga Pak Lah teringat untuk membubarkan Parlimen bagi pilihan raya akan datang.
 
Inilah agaknya yang dikatakan jasa kepada rakyat. Wakil Rakyat senang lenang, yang diwakili tetap malang.

Ipin
Flat Seri Pahang - 25.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Sertai Maillist M@RHAEN