Ibrahim Ali Menyertai BA?
Semua sudah sedia maklum bahawa Dato Ibrahim Ali bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas adalah salah seorang daripada 25 ahli Umno yang dipecat seumur hidup kerana bertanding menentang calon Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas.
Ibrahim yang mendapat jolokan katak dari rakan dan musuh kerana perangai lompat melompatnya di sepanjang penglibatan beliau di dalam arena politik, nampaknya sudah awal-awal bersedia untuk menerima `ganjaran` dari parti yang pernah dipertahankannya mati-matian itu.
Kata rakan-rakan yang rapat dengan beliau, Ibrahim Ali sikit pun tidak menyesal dengan apa yang telah dilakukannya didalam konteks memprotes tindak tanduk pemimpin parti yang `kurang berakal`. Siapa sangka Ibrahim Ali akan ditendang keluar dari Umno.
Walaupun Ibrahim bukan figura besar tetapi keistimewaan yang ada pada beliau membuatkan banyak pihak membuat kesimpulan bahawa mustahil Ibrahim Ali akan bersara dari arena politik begitu sahaja. Usianya pun baru memasuki gerbang lima puluhan manakala mental dan fizikalnya pun tidak menampakkan apa-apa masalah.
Ditakdirkan nanti Ibrahim membuat keputusan untuk memilih BA (KeADILan atau Pas) sebagai wadah untuk meneruskan perjuangan beliau, adakah para pemimpin dan penyokong BA bersedia menerima kehadiran beliau?
Kalau respons awal akar umbi yakni sebaik-baik sahaja Ibrahim dipecat dari mengetuai Umno Bahagian Pasir Mas tempuh hari dijadikan ukuran, seolah-olah pintu sudah tertutup rapat buat Ibrahim untuk menyertai mana-mana parti di dalam BA.
Signal sudah keras dihantar kepada pimpinan BA khususnya di Kelantan agar Ibrahim dibiarkan mati kering, usah dilayan langsung.
Apakah senario masih begitu atau sudah berubah lebih-lebih setelah BA tewas teruk dalam p/raya umum lalu dan jangan pula dilupai begitu sahaja betapa peranan Ibrahim yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Pasir Mas telah membantu YB Ustaz Ismail Noh (Pas) untuk kekal sebagai MP di situ buat kesekian kalinya.
Kata kebanyakan pemerhati politik, tanpa penyertaan Ibrahim sebagai calon Bebas, Ismail Noh akan kalah dengan majoriti lebih 6000 undi di tangan calon BN.
Inilah yang perlu difikirkan semula oleh para pemimpin dan penyokong BA. Pemikiran baru bersih dari sebarang sentimen melulu yang sebahagian besarnya sudah pun ditelan sejarah.
Apa salah Ibrahim Ali menyertai BA kalau dengan penyertaan itu sikit sebanyak manfaat dapat diraih demi kebaikan rakyat .
Kalau pun Ibrahim Ali itu sudah kalian labelkan sebagai katak, tidak semestinya label itu kekal melekat di dahinya umpama tatoo. Label itu label yang terbit dari sentimen politik. Apa salahnya buang sahaja label itu jauh-jauh, manalah tahu kalau `katak` yang seekor ini bukan katak sembarangan sebaliknya `katak emas` yang boleh mendatangkan untung!
- Inderaloka - 29.05.2004 - (suntingan M@RHAEN)
![]()