Kalau Takut Berdemonstrasi Usah Bicara Tentang Reformasi! (Bhgn. 2)
Terima kasih YM Raja Petra Kamaruddin.

Apabila tulisan saya bertajuk 'Kalau takut berdemonstrasi usah bicara tentang reformasi` mendapat respons daripada YM Raja Petra Kamaruddin, ia dikira sudah cukup bagus.

Siapa sangka luahan rasa reformis jalanan seperti saya mampu menarik minat seorang yang terkenal di kalangan pejuang reformasi dan BA melalui penulisan-penulisan beliau yang agak analitikal sifatnya.

Di samping Pengarah Free Anwar Campaign saya difahamkan Raja Petra juga adalah Ketua Pengarang akhbar rasmi KeADILan- Seruan KeADILan. Tolong diperbetulkan kalau kenyataan saya itu silap.

Tentang status beliau di dalam hierarki kepimpinan KeADILan saya kurang pasti sama ada beliau ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau pun sebaliknya.

Sebenarnya saya agak kagum apabila Raja Petra secara berterus terang menyatakan bahawa beliau belum pernah menulis sebarang artikel di dalam bahasa Melayu di sepanjang penglibatannya di dalam dunia kewartawanan (penulisan).

Kalaulah disebabkan tulisan saya itu yang merangsang beliau untuk menyatakan respons di dalam bahasa Melayu maka tiada sebab saya tidak mengalu-alukan tindakan berani beliau. Syabas YM Raja Petra kerana anda telah mula mendaulatkan bahasa ibunda!

Saya juga akan bertambah kagum terhadap beliau sekiranya segala respons itu tidak didorong oleh sesiapa pun melainkan terbit daripada keikhlasannya terhadap perjuangan reformasi.

Namun jika respons itu adalah manifestasi daripada arahan segelintir `pemimpin elit`yang takut untuk berdepan dengan anak buah sendiri,saya harus berani menyatakan bahawa Raja Petra telah mensia-siakan semangat `jiwa merdeka` di dalam dirinya. Mudah-mudahan bukan begitu!

Batal perhimpunan 17 April tiada bersebab.

Raja Petra menjelaskan: “Yang sebenarnya, memang ada sebab munasabah Perhimpunan atau pun demonstrasi itu dibatalkan. Keputusan untuk membatalkannya dibuat oleh Biro Politik Parti Keadilan Nasional atas sebab-sebab tertentu. Memang sukar untuk pemimpin KeADILan memberitahu umum sebabnya oleh kerana ini melibatkan strategi dan sekiranya strategi itu diberitahu umum yang bermakna ia juga akan diketahui pihak SB dan Umno, ia tidak akan lagi menjadi strategi. Strategi sepatutnya rahsia.”

“Selepas Biro Politik KeADILan membuat keputusan demikian,maklumat ini telah disampaikan kepada BBPPRU BA. BBPPRU BA pula telah mengumumkan yang sama kepada penganjur Perhimpunan 17 April.

Raja Petra gagal meyakinkan penulis; rasional di sebalik pembatalan perhimpunan tersebut. Jika sekadar bersandarkan alasan konon Biro Politik KeADILan tidak boleh menyatakan sebab pembatalan tersebut kepada umum kerana strategi, itu adalah alasan lazim yang kerap kali disuakan oleh para pemimpin `separuh jantan` untuk melepaskan diri daripada bersoal jawab dengan ahli.

Apalah sangat strategi yang ingin disorokkan itu? Lumrahnya strategi diatur penuh kerahsiaan adalah untuk menjayakan sesuatu misi tertentu bukan untuk menggagalkannya. Lantaran itu BBPPRU BA harus berterus terang sama ada tindakan mereka membatalkan perhimpunan itu kerana strategi ataupun mereka memang penakut

Seperkara lagi, semua pihak seharusnya tidak keliru dengan kenyataan bahawa pembatalan perhimpunan berkenaan dibuat oleh Biro Politik KeADILan yang kemudian menyampaikan keputusan tersebut kepada BBPPRU BA untuk disampaikan kepada penganjur.

Soalnya bukankah yang menganggotai BBPPRU BA itu sebahagian besarnya adalah ahli Biro Politik KeADILan? Jika demikian sudah pasti keputusan itu diterima tanpa sebarang bangkangan. Pimpinan Pas yang menganggotai BBPPRU BA itu pula tidak keberatan untuk menyokongnya.

Meskipun bukan kapasiti penulis untuk bertanya apakah ketika keputusan membatalkan Perhimpunan 17 April itu dibuat tokoh-tokoh reformasi seperti Ezam,Tian Chua dan Azmin turut hadir atau pun tidak, namun penulis agak sangsi mereka turut sama membuat keputusan tersebut. Tidak mustahil keputusan tersebut dibuat tanpa kehadiran mereka.

Atau suara ketiga-tiga tokoh itu ditenggelami oleh suara-suara lantang kelompok pemimpin `separuh jantan`yang mendominasi Biro Politik KeADILan.

Reformis dan ahli KeADILan tidak berdisiplin ?

Seterusnya Raja Petra seakan-akan menjatuhkan hukuman bahawa ahli-ahli KeADILan (reformis) kurang berdisiplin jika dibandingkan dengan para penyokong Pas. Tegas Raja Petra ahli-ahli KeADILan kerap kali melanggar arahan pucuk pimpinan sedangkan ahli Pas patuh kepada setiap arahan pimpinan mereka.

Adalah kurang adil untuk menyamakan ahli Pas yang sudah diasuh dengan sistem tarbiyyah yang berteraskan minhaj gerakan Islam global lebih setengah abad dengan sebahagian besar ahli-ahli KeADILan dan para reformis yang baru mengharungi dunia perjuangan kira-kira enam tahun lalu.
Kalau mereka kurang disiplin, salah siapa? Harus diingat kebanyakan yang menyertai KeADILan dan para reformis adalah mereka yang memang terkenal dengan `kepala batu'. Kalau mereka pembodek dan penjilat sudah pasti mereka tidak menyertai KeADILan untuk bereformasi.

Cubalah renung-renungkan! jika bukan tanggung jawab pemimpin untuk menyeragamkan pemikiran serta tindak tanduk ahli-ahli KeADILan dan para reformis, siapa lagi yang harus dipersalahkan.

Justeru para `pemimpin elit` jangan hanya pandai menyalak menyalahkan itu dan ini,sekiranya di sepanjang tempuh enam tahun memimpin parti dan reformasi, mereka masih gagal dan tercari-cari apakah identiti KeADILan sebenar.

Anwar Penasihat Parti yang diabaikan.

Semua pihak tidak membantah apabila DSAI dijadikan penasihat parti keADILan. Memang itu paling wajar. Kalau ada yang mempertikaikannya sudah tentu orang itu kurang siuman.

Apa pun sejauh mana nasihat Anwar diterima pakai oleh para pemimpin elit yang begitu megah kerana sudah berkorban mengeluarkan RM Ratusan Ribu untuk menjamin para reformis yang diberkas ketika berdemonstrasi.

Tidak perlu pergi jauh,mari kita sorot berapa keratkah di kalangan para pemimpin elit itu yang sanggup menyertai para reformis `menyambut` dan `menghantar pulang` Anwar setiap kali wira rakyat itu menghadiri sesi perbicaraannya di mahkamah sarkas Umno BN.

Dari Kuala Lumpur sehingga ke Palace of Justice di Putrajaya, lebih-lebih sejak 3 tahun kebelakangan ini wajah-wajah pemimpin elit itu jarang-jarang ditemui untuk `meraikan` Anwar.

Andai perkara semudah itu terlalu berat untuk dipatuhi oleh mereka, sudah pasti para pemimpin elit itu akan menolak bulat-bulat jika ditakdirkan Anwar mengarahkan agar massa digerakkan (berdemonstrasi).

Tidak dinafikan sebahagian daripada mereka sudah mengeluarkan banyak wang untuk menjamin para demonstran, tetapi mereka juga harus faham kebanyakan para demonstran yang terlibat sejak bermula reformasi merupakan golongan yang tidak pernah menikmati sebatang faedah tatkala Anwar di puncak kuasa.

Sedangkan mereka (para pemimpin elit) yang kaya raya itu,sebahagian besarnya `naik` kerana budi Anwar. Apa salahnya mereka korbankan sedikit yang mereka peroleh itu untuk membalas budi Anwar.

Lagipun wang jaminan itu tidak akan hangus begitu sahaja. Lainlah kalau para reformis yang diikat jamin itu melarikan diri. Sehingga kini kejadian seumpama itu belum pun berlaku dan Insya Allah tidak akan terjadi.

Apakah para pemimpin elit yang kaya raya itu (istilah Raja Petra: Jutawan) lupa atau jahil bagaimana sejarah telah merakamkan apabila berlaku suatu peperangan (jihad) Baginda telah meminta para sahabat menyumbang untuk memastikan kelengkapan perang mencukupi; Sayidina Umar ra bangkit seraya berkata: “Ya Rasul Allah,saya serahkan sebahagian daripada harta saya untuk Jihad ini.” Kemudian Sayidina Abu Bakr bangkit terus berikrar : “Ya Rasul Allah,saya serahkan semua harta saya untuk Jihad ini.” Lalu Baginda Rasul Allah saw bertanya: “Apakah yang tinggal buat kamu,wahai Abu Bakr” maka dijawab oleh Abu Bakr “Yang tinggal pada ku hanya Allah dan RasulNya.”

Buat para pemimpin elit yang kaya raya itu,jika merasakan diri sudah terlalu banyak berkorban penulis mencabar agar mereka menarik balik wang jaminan terhadap segala para reformis yang sedang didakwa kerana kesalahan berdemonstrasi.

Tidak ada ertinya jika pertolongan diiringi dengan ungkitan yang tidak berpenghujung dan jaminan-jaminan (bails) itu pula tidak seharusnya mengheret para reformis dan ahli-ahli KeADILan untuk mengangguk belatuk kepada setiap arahan mereka (para pemimpin elit).

Pilihan raya tidak ditolak tetapi demonstrasi mesti diteruskan.

Raja Petra dan mereka yang sealiran pemikiran dengan beliau, janganlah tersalah anggap. Penulis tidak menolak bulat-bulat pilihan raya. Malah pada pilihan raya umum yang lalu penulis terlibat terus dengan kerja-kerja pilihan raya.

Apa yang penulis dan rakan-rakan juang yang lain harapkan adalah sebuah pilihan raya yang adil dan saksama. Hal ini hampir mustahil akan terlaksana selagi Umno BN tidak digegarkan segegar-gegarnya.

Tidak memadai usaha untuk menggegarkan Umno yang menguasai SPR hanya dibuat melalui saluran perundangan,itu bukannya satu-satunya sahaja pilihan yang ada. Demonstrasi (perhimpunan aman) merupakan satu lagi pilihan untuk memperteguhkan lagi tindakan melalui saluran perundangan tadi.

Penulis dapat mengesan seolah-olah Raja Petra tidak berapa menggemari demonstrasi. Bagi beliau demonstrasi lebih menjurus ke arah keganasan. Kalaulah ini yang sedang cuba diterapkan ke dalam minda para pejuang reformasi, saya khuatir para penerap itu menjadi jurucakap Umno BN tanpa mereka sedari.

Sedarlah para pembesar KeADILan (BA), jangan sesekali kamu kaitkan demonstrasi anjuran para reformis dengan peristiwa 13 Mei 69. Peristiwa hitam itu bukan terjadi kerana demonstrasi (perhimpunan aman) sebaliknya ia dirancang oleh Umno Perikatan lantaran ingin mengekalkan kuasa.

Demonstrasi (perhimpunan aman) adalah diizinkan oleh Perlembagaan Negara. Cuba kita perhatikan apa kata Syed Hussin Ali Timbalan Presiden Parti KeADILan dalam majlis diskusi `Masa Depan Politik Pembangkang di Malaysia` sempena pelancaran buku terbarunya “Merdeka Rakyat dan KeADILan” serta buku kolumnis akhbar laman web Malaysiakini Lee Ban Chen “Sejarah Sebagai Hakim Muktamad.” :

“Rakyat perlu memperjuangkan hak berhimpun secara aman yang sewajarnya dibenarkan di dalam sebuah negara demokrasi.”

Ujar Syed Hussin lagi:” Kebebasan berdemonstrasi juga mesti diperjuangkan oleh rakyat sebagaimana mereka memperjuangkan keadilan sistem pilihan raya. Demokrasi tulen membenarkan kedua-dua cara itu kepada rakyatnya yang mahu menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu.”

Seterusnya Syed Hussin mengingatkan rakyat agar jangan berfikir apabila mereka telah memilih pilihan raya mereka tidak boleh lagi memilih demonstrasi, sebaliknya mereka boleh memilih kedua-duanya sekali.

Syed Hussin juga menegaskan bahawa memang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia kebebasan berhimpun secara aman,tetapi amat malang hak itu dicabul oleh polis dengan gangguan dan penangkapan.

“Inilah yang perlu kita perjuangkan sebagaimana kita menuntut pilihan raya bebas dan adil.” kata Timbalan Presiden KeADILan itu lagi.

Apakah bicara Syed Hussin itu merupakan temberang beliau sahaja? Kalau segala butir bicaranya itu benar mengapa Raja Petra dan para pemimpin elit`separuh jantan` KeADILan (BA) tidak boleh menerimanya!

Sebenarnya kalian semua mengakui kebenaran bicara Syed Hussien itu, kecuali kalian memang punya agenda tersirat untuk mengusir Syed Hussien dan golongan yang memperjuangkan demonstrasi seiringan dengan pilihan raya adil dan saksama!

- Inderaloka  - 27.04.2004 - (suntingan M@RHAEN)
Respons Daripada Raja Petra, Pengarah FAC
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com
Kak Id: Perhimpunan Black 14: Satu Renungan Buat Pemimpin BA
Inderaloka: Batal Himpunan 17 April - BBPPRU Sekadar Pujuk Rakyat?

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN