Kalau Takut Berdemonstrasi Usah Bicara Tentang Reformasi!
Pembesar BA harus bersedia dimaki penyokong sendiri

Tindakan kurang bertanggung jawab pengendali BBPPRU BA membatalkan Perhimpunan 17 April 2004, nampaknya terus dipertikaikan. Hingga kini tiada seorang pun di kalangan pengendali itu berani muncul untuk mempertahankan `maruah kepimpinan` mereka.

Sebagai rakyat marhaen, penulis dan rakan-rakan juang yang lain sentiasa tertunggu-tunggu apakah alasan disebalik tindakan mereka yang kurang wajar dan kurang ajar itu. Kalau alasannya munasabah tiada sebab kita tidak boleh menerima.

Apa pun, jika mereka menganggap luahan rasa rakyat marhaen di gelanggang siber ini sebagai suatu yang tidak perlu dilayani, nescaya mereka sedang menempatkan diri mereka sebaris dengan pemimpin Umno BN yang terkenal dengan seribu kehaprakan itu.

Pemimpin Umno BN jarang sekali mahu menerima teguran peringkat akar umbi kerana mereka menganggap golongan tersebut pariyah-pariyah yang tidak perlu diberi muka.

Pengkastaan demikian sudah pun membudayai modus operandi politik Umno sejak dulu lagi natijahnya reformasi hampir mustahil untuk dilakukan di dalam organisasi mereka.

Para pembesar BA khususnya pengendali Badan Bertindak P/Raya Umum harus menyedari bahawa amalan angguk belatuk dan bodek membodek sudah tidak lagi menjadi amalan para reformis. Mereka berjiwa merdeka dan bermaruah lantaran itu ketaatan kepada pemimpin tidak akan dijelmakan di dalam bentuk membabi buta.

Ditakdirkan selepas ini akan ada para pembesar BA yang dimaki, disergah, dimarah dan diherdik oleh para reformis di khalayak ramai, semua pihak harus berlapang dada. Anggaplah itu sebagai sebahagian daripada proses untuk melayakkan diri sebagai pemimpin rakyat.

Kalau sekarang takut dan tidak bersedia untuk dikritik oleh penyokong sendiri, bagaimana nanti bila berdepan dengan rakyat jelata dengan kepelbagaian ragam mereka? Jika berhasrat untuk memerintah Malaysia, para pemimpin BA wajib bersikap dengan seribu keterbukaan dan ia mesti bermula sekarang …… bukan esok atau lusa.

Andai masih terkagum dengan `kehebatan diri sendiri`, lupakanlah sahaja segala cita-cita besar untuk menumbangkan Umno BN meskipun untuk tempoh seratus tahun lagi.

Berani berpilihan raya takut berdemonstrasi.

Jangan ada yang musykil jika saya katakan bahawa para pembesar BA gagal di dalam mentakrifkan pengertian demokrasi kepada anak buah mereka. Gagal dari sudut pentakrifan itu bukan bererti para pembesar itu kurang bijak bahkan kebannyakan mereka handal-handal belaka.

Lantas apakah jadahnya sehingga ada di antara mereka amat bencikan perkataan `demonstrasi` sehinggakan terma itu seolah-olah tidak wujud di dalam kamus demokrasi?

Jawapannya, kebekuan sikap dan ketakutan yang menguasai jiwa mereka di samping kemungkinan wujud kepentingan-kepentingan tersirat yang turut diagendakan bersama perjuangan rakyat.

Apa beza di antara para pembesar BA itu dengan para penganut Islam Hadhari Umno BN? Kedua-duanya bencikan demonstrasi. Perbezaannya; satu pihak menganggap demonstrasi pencetus keganasan manakala satu pihak lagi takutkan risiko tertangkap.

Kerap kali para pembesar BA melaungkan bahawa untuk menegakkan kebenaran dan keadilan tidak tertakluk kepada berpilihan raya semata-mata. Kalau ruang berpilihan raya sudah tertutup di sana ada kaedah lain yang perlu diketengahkan. Apakah kaedah itu? Sehingga kini tidak pernah disebut secara jelas kepada rakyat marhaen.

Mungkinkah para pembesar BA akan mengajak rakyat marhaen melancarkan revolusi jika p/raya sudah tidak lagi berfungsi? Berdasarkan status sekarang, usahlah bermimpi! jauh panggang dari api. Nak turun berdemonstrasi pun tidak berani inikan pula bicara tentang revolusi.

Sebenarnya rakyat marhaen itu tidak banyak songehnya. Rakyat marhaen juga jarang–jarang mengkhianati perjuangan. Yang banyak songeh dan ragam adalah golongan para pembesar.

Kalau rakyat marhaen diberi kefahaman secara telus bahawa hukum berpilihan raya itu sama wajibnya dengan berpilihan jalan raya (demonstrasi) di dalam amalan demokrasi, nescaya tiada sebarang masalah untuk menggerakkan mereka turun ke jalan-jalan raya sebagaimana mudahnya mereka mengerumuni bilik gerakan dan pondok panas parti ketika p/raya.

Masalahnya, rakyat marhaen tidak diajak untuk menghayati semangat demokrasi sebenar, para pemimpin masih terhegeh-hegeh `playsafe` tak berpenghujung. Apakah para pembesar itu menanti keizinan Dolah PM Haram dan sekutunya untuk menghalalkan `demonstrasi` baru mereka berani?

Atau mereka menanti satu penubuhan Suruhanjaya Demonstrasi Negara yang akan menggariskan tatacara dan etika demonstrasi? Kalau itulah yang dinanti sampai bila pun kucing tidak akan bertanduk.

Almarhum Khomeini, Asyahid Ahmad Yassin, As syahid Abd Aziz al Rantisi, Suu Kyi, Nelson Mandela dan lain-lain pejuang rakyat tidak pernah menegah pengikut mereka berdemonstrasi malah menggalakkannya. Harus diingat penubuhan parti haprak Umno itu sendiri didahului dengan demonstrasi menentang Malayan Union.

Fikirkanlah wahai para pembesar BA, bilakah lagi tuan-tuan semua ingin membebaskan diri dari kepompong `syok sendiri` yang tak bertepi itu? Ingat pesanan Anwar; “Kalau takut menanggung risiko jangan bicara tentang perjuangan.” Bukankah sama ertinya; “Kalau takut berdemonstrasi jangan bicara tentang reformasi!

- Inderaloka  - 22.04.2004 - (suntingan M@RHAEN)
Respons Daripada Raja Petra, Pengarah FAC (updet 2.45 petang)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com
Kak Id: Perhimpunan Black 14: Satu Renungan Buat Pemimpin BA
Inderaloka: Batal Himpunan 17 April - BBPPRU Sekadar Pujuk Rakyat?

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN