Pecat Mandatori Lokman, Habis Cerita!
Deformis Lokman difahamkan sengaja tidak mahu menghadirkan diri untuk sesi penyiasatan terhadap dakwaan salahlaku politik yang dikenakan ke atasnya oleh Ezam Mohd. Noor, Ketua Pergerakan Pemuda keADILan.

Sesi penyiasatan tersebut dibuat ke atas Lokman sebagai mematuhi keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi keADILan pada 28 Januari lalu yang telah menggantung buat sementara waktu `status` keanggotaan Lokman sebagai ahli MPT berikutan dengan pemecatan beliau selaku SU Pemuda keADILan oleh Ezam dua hari sebelum itu.

Lembaga Penyiasat yang dianggotai oleh Timbalan Presiden keADILan Abd. Rahman Othman, Naib Presiden Tian Chua dan Bendahari Datuk Kamarul Baharin akan mencadangkan kepada MPT sama ada status Lokman sebagai MPT kekal atau sebaliknya, setelah mendengar penjelasan Lokman.

Ezam sudah pun membentangkan kes (dakwaannya terhadap Lokman ) berserta saksi dan bukti di hadapan Lembaga Penyiasat pada hari Isnin 16 Februari lepas.

Manakala Lokman pula sepatutnya hadir di hadapan Lembaga Penyiasat selewat-lewatnya pada 17 Februari 2004, untuk menafikan dakwaan Ezam dan mengemukakan saksi serta bukti terhadap dakwaan konon Ketua Pemuda keADILan itu dan beberapa orang pemimpin lagi terlibat di dalam menyelewengkan dana parti.

Namun bekas SU Pemuda itu diberitakan tidak muncul langsung untuk membela diri dan mengesahkan dakwaannya, sehingga ke larut petang pada hari yang telah ditetapkan itu.

Ahli Lembaga Penyiasat diberitakan tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu Lokman kerana keenganannya mematuhi prosedur parti yang menyediakan ruang buat beliau untuk diadili dengan saksama.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak menghadirkan diri untuk sesi berkenaan Lokman berkata: “Saya tidak yakin pada perbicaraan itu.” Ujarnya lagi di dalam nada berbentuk ugutan: “Saya lebih suka untuk mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh segelintir pimpinan keADILan kepada publik, jika parti menggugurkan saya.”

Menurut anak muda yang dilihat semakin tidak stabil itu lagi: “Saya dapat menjangka tidak akan mendapat sokongan daripada ahli parti tetapi saya yakin aktivis reformasi berdiri di belakang saya.”

Nampaknya deformis itu masih terbawa-bawa dengan illusi yang terpasak ke mindanya gara-gara terlebih menonton, mana mungkin perjuangan rakyat mahu diolahnya bagaikan plot filem Bollywood.

Kalau 2 atau 3 tahun dulu Lokman bergelar `hero`, tetapi sebaik-baik sahaja dia menjadi musang berbulu ayam di dalam parti kerana merelakan diri untuk diperbaruakan oleh Umno demi wang ringgit, gelaran `hero` itu bukan sahaja tertanggal bahkan dia dianggap lebih hina daripada seekor anjing kurap.

Justeru itu, tak usahlah deformis itu bersusah payah mendakwa konon aktivis reformasi berdiri di belakangnya. Ciss buat memalukan reformis sahaja!! Mana ada reformis yang bersedia untuk berdiri di belakang seorang pengkhianat perjuangan rakyat!

Terbuktilah segala dakwaan Lokman terhadap Ezam, Azmin, DS Dr Wan Azizah, Khalid Jaafar dan beberapa pemimpin yang lain adalah palsu belaka. Jika dakwaan itu berasas, mengapa Lokman tidak berani berdepan dengan Lembaga Penyiasat?

Sebenarnya sedikit keributan bikinan anak muda yang kurang waras itu adalah sebahagian strategi malaun-malaun pengkhianat perjuangan untuk menggoyahkan keADILan daripada dalam, setelah mereka melompat keluar meluru bagaikan katak puru menyertai (sesat) semula Umno.

Lokman sengaja dibiarkan menceceh dan merapu tak habis-habis dengan harapan dapat menarik simpati penyokong BA dan reformis, sementara malaun-malaun yang sudah mengumnokan diri kini dan selamanya akan mengatur serangan daripada luar.

Mereka mengharap setidak-tidaknya keADILan akan melayani karenah Lokman, jika strategi itu mengena maka banyak masa akan terbuang begitu sahaja.

KeADILan, BA dan para reformis diharap tidak terjebak dengan mainan `anjing-anjing kurap` itu. Langkah drastik perlu diambil tanpa menoleh ke belakang lagi! Majlis Pimpinan Tertinggi keADILan wajib memecat Lokman daripada parti serta-merta..

Selepas itu jangan sesiapa pun menghampiri dia, kerana masa dan tenaga seharusnya ditumpu dan digembleng untuk menghadapi `kebuasan` Umno BN di dalam perang pilihan raya yang boleh terjadi bila-bila masa mulai sekarang.

- Inderaloka  - 18.02.2004 - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN