PRU 2004: SPR Jangan Rosakkan Sistem Pilihan Raya
Parlimen Malaysia sudah pun dibubarkan oleh Perdana Menteri, Pak Lah Badwi setelah memohon perkenan Duli Yang Dipertuan Agong pada 3.3.2004. Kemudian diikuti oleh semua DUN di seluruh negara kecuali Sarawak yang telah mengadakan pilihan raya umumnya terlebih awal tahun lepas.

Sepatutnya Parlimen Malaysia wajib bubar ialah November 2004 ini. Telah diawalkan sehingga lapan bulan lebih bagi menyesuaikan senario politik negara, satu sebabnya ialah DUN Sabah wajib bubar pada April ini. Seperti kebiasaan UMNO/BN tidak akan mengadakan pilihan raya mengikut tempoh wajib bubar itu. Para pemimpin UMNO/BN ada jadual tersendiri atau kalendar pilihan raya sendiri setelah merujuk kepada para bomoh mereka, mungkin begitu agaknya. Mereka suka berteka-teki. Padahal perkara pilihan raya ini bukan perkara 'teka-teki'. Pilihan raya termaktub dalam Perlembagaan negara setiap lima tahun sekali mesti dilaksanakan. Tetapi, bagi UMNO/BN dan para pemimpinnya sudah tidak peduli apa itu peraturan, malah mereka tidak merujuk peraturan penentuan tarikh pilihan raya yang termaktub dalam Perlembagaan Negara itu. Mereka lebih suka amalan berteka-teki atau ikut suka mereka. Kerana mereka merasakan diri merekalah yang berkuasa penuh ke atas negara, rakyat dan seluruh institusi atau sistem dalam negara ini. Undang-undang seperti diletak di bawah kaki para pemimpin UMNO/BN.

Tiada Parti Pemerintah dan Tiada Parti Pembangkang Lagi

Setelah parlimen atau DUN dibubarkan, bermakna tiada lagi parti pemerintah atau parti pembangkang. SPR kena faham realiti ini. SPR mesti adil, telus dan profesional sebagaimana slogan SPR CEKAP, ADIL dan TELUS.

Adakanlah pilihan raya ke-11 kali ini dengan sebaik-baik mungkin menurut aspirasi amalan demokrasi dan Perlembagaan Negara. Jangan ulangi lagi budaya perosak dan penjahanam kepada sistem pilihan raya dan Perlembagaan Negara ini. Sebenarnya, peraturan pilihan raya dan sistem pilihan raya di Malaysia adalah antara yang terbaik dalam menguruskan proses pilihan raya  kalau semua peraturan itu diikuti oleh SPR tanpa bias kepada mana-mana pihak sama ada kepada bekas parti memerintah atau bekas parti pembangkang.

SPR sebagai sebuah badan bebas hendaklah bersikap berkecuali tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan parti. Ini yang tidak diamalkan secara adil dan telus oleh SPR sekarang, kerana dari pengerusi SPR dan setiausahanya melihatkan sikap dan tindak-tanduk yang tidak adil, bermuka-muka dan tidak berprinsip. Padahal, mereka adalah pekerja atau manpower dalam pengurusan SPR, mereka bukan wakil UMNO/BN, bukan wakil BA, PAS, KEADILAN, DAP atau mana-mana kumpulan. SPR sebuah badan asing, kalau dalam mahkamah ia merupakan hakim yang tidak boleh cenderung kepada sesiapa ketika ia melaksanakan tugas pengadilan. Tetapi, SPR mesti dan wajib memihak kepada nilai-nilai keadilan, ketelusan, peraturan dan sikap profesionalisme.

Dalam padang bola, SPR ibarat pengadil atau penjaga garisan. Tentu ia akan melaksanakan tugasnya berdasarkan kepada peraturan, bukan kepada pasukan yang ia sukai. Begitulah dalam pilihan raya yang mengamalkan sistem demokrasi, SPR adalah orang tengah semasa mereka melaksanakan proses pilihan raya itu dengan bersandarkan kepada peraturan pilihan raya yang telah sedia ada. Bab mereka cenderung kepada parti mana-mana tidak boleh dibawa ketika mereka bertugas sebagai pegawai SPR atau pengurus pilihan raya, terkecuali semasa mengundi kalau mereka boleh mengundi. Semasa berada dalam bilik mengundi ketika memegang kertas undi dan pensel itu satu kes tersendiri kerana hak peribadi dan kebebasan kepada mereka. Tetapi berbeza ketika mereka bertugas sebagai pengurus pilihan raya mereka berkedudukan sebagai orang tengah, hakim dan pengadil, sewajarnya mereka tidak layak menunjukkan apa-apa reaksi cenderung kepada mana-mana parti atau kumpulan.

Adil, Cekap dan Telus

Andainya nilai ini dapat diterapkan dengan lebih baik oleh SPR dalam menguruskan proses pilihan raya kali ini. Ia merupakan satu amanah rakyat, agama dan negara. Bukan saja rakyat menyanjung SPR, tetapi seluruh dunia salut kepada SPR Malaysia. Parti-parti pembangkang lebih lagi rasa bangga mereka. Kerana selama ini mereka selalu menjadi mangsa ketidakadilan SPR bila melaksanakan perjalanan pilihan raya.

Terlalu banyak bukti betapa SPR bekerja seperti agen parti UMNO/BN. Konspirasi mereka dalam menyenaraikan pengundi hantu, membolehkan warga asing mengundi Cuma dengan menggunakan IC palsu atau IC projek seperti yang terjadi di Likas, Sabah semasa pilihan raya umum negeri Sabah 1999.

Di Sabah, kes menggunakan pengundi warga asing, pengundi hantu dengan IC palsu, IC orang mati, IC dicuri dan lain-lain untuk menangkan UMNO/BN bukan rahsia lagi sudah diketahui ramai orang dan rakyat yang sensitif terhadap politik. Bayangkan warga asing dari Pakistan, Filipina dan Indonesia yang berICkan MyKad dibenarkan mengundi sebegitu mudah. Siapa di belakang tabir pemberian IC/MyKad kepada warga asing di Sabah, apakah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ahli politik UMNO/BN atau SPR sendiri bersekongkol dalam perkara itu. Isu mewarganegarakan rakyat asing masuk ke negara ini kerana tujuan politik UMNO/BN atau kerakyatan yang meragukan tanpa berperaturan hendaklah disiasat dari akar umbinya oleh pihak yang berwajib dan lebih wajar diwujudkan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat perkara ini.

Penulis melihat dan memerhatikan perkara ini sejak zaman Datuk Harris Salleh menjadi KM Sabah era Berjaya/BN berlarutan hingga hari ini. Ketika itu, warga asing dari Filipina, Indonesia dan Pakistan dengan mudah diberikan kewarganegaraan segera tanpa banyak kerumitan. Cukup dengan buat surat sumpah bahawa si anu lahir di kampung sekian dalam daerah sekian...kemudian pengakuan ketua kampung atau pengerusi JKKK atau ketua cawangan parti yang memerintah Berjaya/BN atau UMNO/BN, selepas itu disokong oleh tandatangan YB sekian pasti JPN tidak banyak bicara....

SPR Jangan Bersekongkol Menjual Negara Ini

Membenarkan warga asing atau pengundi hantu dengan IC palsu atau IC projek atau apa juga dokumen selain IC sebenar, adalah satu kerja jenayah yang akan menjahanamkan rakyat, bangsa dan negara ini. Kita seperti mahu menjual negara kepada warga asing secara tidak bermaruah. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini kita wajib mempertahankan kedaulatan rakyat dan negara ini dari dicerobohi oleh bangsa asing atau warga asing yang sekadar mengambil kesempatan mahu hidup selesa di negara ini.

Sebab warga asing yang diwarganegarakan secara mudah ini akan menagih apa saja yang mereka mahu kepada ahli politik yang mereka undi kerana mereka diberikan IC untuk mengundi UMNO/BN itu telah dijanjikan dengan pelbagai janji indah.

Tidakkah tindakan politikus bacul dan tidak bermaruah itu akan mendedahkan rakyat dan negara ini kepada bahaya lebih besar dalam jangka panjang. Anda boleh bayangkan satu dekad akan datang bila sudah warga asing yang diberikan IC palsu/IC projek itu beranak-pinak di negara ini dan sebahagian mereka telah menguasai beberapa sistem penting dalam negara tidak mustahil mereka akan mendominasi seluruh sistem pemerintahan negara, sekiranya kita tidak serius melihat senario ini yang berlaku depan mata, pimpinan UMNO/BN mereka tidak nampak hal seperti ini. Yang mereka nampak harta, kuasa, wanita, projek, pangkat dan kedudukan atau nama disanjung melangit. Kes Tun Ghafar yang berkahwin dengan wanita Indon semasa di Sabah satu pengajaran kepada seluruh pimpinan UMNO/BN yang gila wanita, gila harta, gila kuasa...akhirnya apa yang terjadi.

SPR dan JPN hendaklah sensitif dalam isu ini. Lebih-lebih lagi dengan kes Sabah yang terlalu banyak IC palsu dijumpai, pengundi warga asing dan hantu.

Orang politik juga harus menyedari perkara ini. Jangan sekadar mahu menang kita senang menerima semua orang sehingga kita lupa bahawa yang mengundi itu adalah warga asing yang diberikan IC palsu atau warga asing yang dibaruakan oleh pimpinan UMNO/BN yang gila kuasa dan gila harta.

Awas sekali kita silap memberikan dokumen penting WARGANEGARA seperti IC/MYKAD kepada warga asing selamanya kita berkhianat kepada anak bangsa, agama dan negara Malaysia.

Kepada rakyat Malaysia yang bijaksana apakah kita akan terus terpukau dengan lakonan dan sandiwara pimpinan UMNO/BN konon mahu basmi rasuah, jadi imam solat, mahu pemimpin yang berimej baik dan macam-macam lagi lipstik atau kosmetik....................

Pengundi dan rakyat Malaysia yang berjiwa Malaysia dan cintakan Malaysia marilah kita ubah landskap politik Malaysia kali ini dengan memilih pimpinan BA/PAS/KEADILAN/PRM dan barisan pembangkang lain yang mahu menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya dari angkara kejahatan pimpinan UMNO/BN yang rasuah, gila kuasa, gila betina, gila nama dan gila segala jenis kegilaan.

MENANGKAN CALON-CALON BA/PAS/KEADILAN/PRM DAN PEMBANGKANG TUMBANGKAN UMNO/BN DAN SEKUTUNYA SELAMAT MALAYSIA, SELAMAT RAKYAT, SELAMAT WANG RAKYAT, SELAMAT PETRONAS DAN SELAMATLAH SELURUH SISTEM DALAM NEGARA INI.

Ibnu Sabah,
5.3.2004M - (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN