Perdana Menteri Malaysia Ke-5: Formula Mudah Tadbir Negara
Oleh Ibn Sabah
Salam Ramadhan dan selamat berpuasa, kita mengharapkan semangat kita tidak akan luntur di bulan Ramadhan bulan berlapar dahaga ini. Ingati sejarah perjuangan umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat ketika berhadapan tantangan kaum musyrikin Makkah, Rom dan Parsi, di bulan Ramadhan inilah umat Islam lebih banyak mencapai kemenangan.

Setelah merdeka dari penjajahan British, tanpa sedar 46 tahun kita dan rakyat Malaya atau Malaysia telah menghirup udara merdeka. Dari segi pembangunan kebendaan di zaman 4 PM dari Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang pertama, Tun Abdul Razak yang kedua, Tun Hussien Onn yang ketiga dan DS Dr Mahathir yang keempat, tak siapa yang menafikan tentang pelbagai bentuk pembangunan telah dibuat sejak tempoh itu.

Keempat tokoh PM itu masing-masing ada kelebihan tersendiri, di samping kelemahan sebagai manusia. Manusia tidak ada yang perfect. Ertinya setiap orang dan setiap pemimpin dibelit dan dibalut dalam diri mereka kelebihan, kelemahan dan kekurangan. Pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang mengaku kelemahan sendiri, tanpa mendabik dada bernada angkuh mengaku diri hebat, istimewa dan apa lagi untuk mengakui bersih suci tanpa sebarang salah, silap dan dosa. Terlalu ramai tokoh pemimpin terbaik yang saling bermunculan dan silih berganti seperti Saidina Abu Bakar, Umar al-Khattab, Othman bin 'Affan, Ali Abu Talib, Abdul Rahman Bin 'Auf, Khalid Al-Walid, 'Ubaidah, Umar Abdul Aziz, Harun Al-Rasyid dan sebagainya. Dan tidak kurang pula pemimpin zalim, jahat dan buruk perangai bersilih ganti bermunculan di atas muka bumi seperti Fir'aun, Namrud, Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain.

Rakyat boleh membezakan tentang ciri, watak dan kehidupan antara pemimpin yang terbaik, sederhana, berakhlak mulia, beriman dan bertaqwa dengan pemimpin yang zalim, boros, bermewah-mewah, gila pangkat, nama dan mereka yang berwatak terburuk.

Jadi, apakah Pak Lah bakal dinobatkan sebagai PM ke-5 akan mengaplikasikan watak dan ciri pemimpin terbaik itu atau meniru 100% watak dan perangai pemimpin terzalim, jahat, boros, terburuk dan lain-lain sifat atau watak buruk yang ada di atas muka bumi ini. Terpulang kepada Pak Lah. Sebab sebagai pemimpin dan ketua negara segala percaturan ada dalam tangannya. Dia tentu mempunyai sahabat dan penasihat yang terbaik, lebih baik dari sahabat dan penasihat Dr Mahathir yang telah menguasai pengurusan negara ini lebih 20 tahun lalu.

Pak Lah Ibarat Rebung Mencanak Dicelah Bumi

Rebung, semua orang tahu ia merupakan keturunan buluh. Rebung atau buluh selalunya hidup berumpun. Ia jarang tumbuh tanpa rumpun buluhnya. Jadi, penulis menggambarkan Pak Lah ibarat rebung yang muncul jauh dari rumpun buluhnya. Bila ia sudah menjadi buluh yang besar, rebung itu akan membuat rumpun baru. Pak Lah tak berumpun bila team B yang dimasukinya dulu menubuhkan Semangat 46..... Tetapi, hari ini Pak Lah bukan lagi rebung, malah sudah menjadi buluh yang berumpun sana-sini.

Bakal menjadi ketua eksekutif Malaysia bermula 1 November 2003. Kita doakan Pak Lah akan menjadi PM lebih baik dari PM yang sudah-sudah. Mentadbir negara, bukan mentadbir kampung. Dan bukan pula seperti formula one yang menjadi kebanggaan Mahathir dan kroni-kroninya. Sekadar membina bangunan tinggi bangsa dan pemimpin dunia dulu-dulu lagi hebat zaman Firaun, Qarun, kaum Tsamud, zaman Nabi Sulaiman  dan lain-lain lagi. Sebagai rakyat marhaen umpama semut kecil merayap ke seluruh pelusuk bumi. Tidak mungkin boleh bercakap tentang bagaimana mahu tadbir negara. Sedang kampung tempat kita bermastautin pun tidak pernah kita jadi ketuanya (Ketua Kampung) atau ketua cawangan atau ketua pejabat. Mungkin sekadar pengalaman menjadi ketua rumah tangga atau ketua kelas semasa bersekolah di sekolah rendah dulu.

Tiba-tiba mahu mengajar seorang bakal PM yang akan dinobatkan sebagai PM ke 5 negara ini. Inilah satu-satunya orang kepercayaan Mahathir yang akan menggantikan Mahathir pada 31 Oktober ini. Walaupun Mahathir sudah mempunyai 3 TPM sebelum Pak Lah ditunjuknya dan diendoskan sebagai TPM, tanpa terlebih dulu beradu di gelanggang politik sebenar.

Itulah keistimewaan Pak Lah yang tak ada pada Tan Sri Musa, Tun Ghafar, Tengku Razaleigh dan DS Anwar Ibrahim sendiri. Tidak siapa menduga Pak Lah boleh tiba-tiba mencanak ke kerusi PM dalam sekelip mata, setelah sahabat senegerinya dilebamkan mata oleh orang yang menunjuknya jalan ke Putrajaya sekarang. Apakah Pak Lah masih ada simpati terhadap DS Anwar Ibrahim bila dia sudah berada di kerusi empuk sebagai PM orang yang paling berkuasa dalam negara. Walaupun, hakikatnya kuasa tertinggi negara ialah Yang Dipertuan Agong dengan Majlis Raja-raja Melayu dan juga Parlimen Malaysia. Pak Lah tidak mungkin jadi PM kalau sekadar tunjukkan Mahathir, bila mana Yang Dipertuan Agong tidak merestui Pak Lah menjadi PM selepas Mahathir berambus dari Putrajaya.

Sebagai PM, Pak Lah bukan orang baru dalam politik negara dan dunia pentadbiran negara. Pak Lah punyai pelbagai pengalaman. Lagipun Pak Lah pernah menjadi penjawat awam. Pernah menjadi menteri dalam pelbagai portfolio.

Formula Mudah Mentadbir Negara

Susah apa untuk mentadbir negara. Lebih sedikit payah mentadbir sebuah rumah tangga atau besar sikit serupa mentadbir sebuah kampung. Para ulama dan pemikir Islam sejak dulu telah menggaris secara terperinci sifat pemimpin yang baik, antara sifat atau ciri pemimpin yang baik itu ialah ADIL, AMANAH, BERILMU, TAQWA, SIHAT TUBUH BADAN, BERAKHLAK MULIA, TIDAK GILA/CACAT dan sebagainya.

Pada penulis formula mudah mentadbir negara Malaysia tidak perlu banyak lenggok dan tarinya, tetapi cukup dengan melakukan perkara berikut: Satu: Daulatkan Perlembagaan Negara, Hormati Majlis Raja-raja Melayu dan Parlimen. Kedua: Menyuburkan Amalan Demokrasi dan kebebasan bersuara di kalangan rakyat dengan sebaik-baiknya. Ketiga: Laksanakan keadilan tanpa memilih siapa, dengan menghormati dan kembalikan kuasa legislatif dan badan kehakiman. Keempat: Tidak mencampuri urusan pegawai kerajaan sehingga peraturan dibelakangi oleh penjawat awam dalam negara ini secara melampau batas, seperti dalam kes RTM, Kementerian Penerangan, Kementerian pendidikan, Polis dan lain-lain. Kelima: Mengutamakan kepentingan rakyat lebih utama dari kepentingan diri. Keenam: Menghapus segala bentuk penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku dalam kebanyakan institusi di negara ini.

Inilah gambaran yang sewajarnya dilakukan oleh Pak Lah, sekiranya Pak Lah inginkan yang terbaik dalam kepimpinannya. Bukan sekadar budaya pimpinan stereo-type atau watak pemimpin klon Mahathir. Imej kepimpinan Pak Lah bukan terletak pada sesiapa. Justeru, Pak Lah mesti keluarkan dirinya dari bayangan Mahathir. Pak Lah adalah seorang Pak Lah, bukan Mahathir, dan bukan juga klon dari Mahathir. Bukan juga Musa Hitam, Tun Ghafar, bukan Anwar dan bukan Tengku Razaleigh.

Kita tunggu dan lihat, sejauh mana kepimpinan Pak Lah dalam masa terdekat ini tempoh 100 hari kepimpinannya stereo-type atau imej tersendiri.

Apakah sikap dan tindakan Pak Lah terhadap kes DS Anwar Ibrahim yang dihumban ke dalam penjara dengan kes yang direkacipta dalam satu konspirasi paling jahat itu. Kita lihat kebijaksanaan dan kekuatan peribadi Pak Lah sebagai orang nombor satu negara pada 1 November ini.

Dan, jangan lupa Pak Lah adalah PM ke 5 sementara sebelum PRU ke 11 diadakan pada 2004. Insya-Allah, bila diizinkan Allah selepas PRU ke 11 akan berlaku perubahan besar dalam landskap politik negara bila BA/PAS/KeADILan/PRM, DAP dan parti-parti pembangkang dapat menguasai simple majoriti dalam Parlimen Malaysia, calon PM ke 6 tentu akan bertukar tangan kepada pimpinan BA, kita masih tidak lupa manifesto BA 1999 bahawa jika BA/PAS/KeADILan/PRM dan DAP menguasai Parlimen Malaysia PM kita ialah DS Anwar Ibrahim, sebagaimana kisah di Turki ketika Parti Keadilan Turki pimpinan Erdogan menghadapi kes mahkamah Turki, Abdullah Gol telah menjawat kerusi PM Turki sehingga Erdogan layak menjadi MP Turki.

Gambaran itu sudah ada kepada rakyat Malaysia, bahawa kita tidak sukar untuk mencari calon PM dari kem pembangkang parti-parti BA/PAS/KeADILan/PRM dan DAP. Namun, yang pasti DS Anwar Ibrahim adalah calon PM ke-6. Sementara Anwar berhadapan dengan kesnya di mahkamah, BA tidak kekurangan pimpinan berkaliber seperti DS Haji Abdul Hadi Presiden PAS, DS Wan Azizah, Dr Syed Husin Ali, Dato Dr Hassan Ali, Dato Hassan Syukri, Timbalan Presiden PAS dan ramai lagi boleh diketengahkan. Harus diingat barisan pimpinan BA bukanlah kalangan pemimpin berwatakkan gila pangkat. Mereka pasti tidak berebut pangkat. Pemilihan pemimpin dalam BA cukup bersopan dan tersusun rapi. Yang layak akan diutamakan sebagai pemimpin berbeza dengan budaya UMNO/BN siapa kaya, kroni orang besar, walaupun tidak layak bila bosnya mahu orang yang tidak layak itulah bakal dinobatkan sebagai ketua atau pak sanggup. Bukan Pak Lah.

Ibn Sabah,
29.10.2003M. (suntingan M@RHAEN)

Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!