Pembebasan Ezam: Adakah Sesuatu Di Sebaliknya?
Oleh Insan Berguna


Berita pembebasan Ezam dari pertuduhan OSA baru-baru ini seharusnya disambut dengan penuh kegembiraan di kalangan reformis sekalian. Apa tidaknya, Ezam adalah di antara penggerak yang meniup semangat dalam jatuh bangun gerakan reformasi di tanah air.

Namun, malam tadi IB digemparkan dengan suatu maklumat yang menimbulkan seribu macam persoalan. Betul atau tidak? Apa akan jadi jika ianya benar?

Apa yang IB akan sebut di sini adalah maklumat yang IB terima dari golongan yang agak boleh dipercayai. Namun kita harus sentiasa berwaspada apakah mungkin maklumat ini suatu yang sengaja disebarkan untuk melemahkan kita. Diharap sesama reformis, jika ini benar-benar berlaku kita harus fikir akan prinsip perjuangan kita. Apakah ianya begitu mudah luntur? Jika ini tidak akan berlaku. Alhamdulillah.

Menurut sumber ini, pembebasan Ezam adalah rentetan dari beberapa peristiwa yang telah pun berlaku sebelum ini. Pembebasan ini juga adalah untuk memudahkan laluan bila sesuatu itu nanti akan berlaku.

Memang benar bahawa telah berlaku beberapa perjumpaan Ezam dengan beberapa orang wakil dari pihak-pihak tertentu untuk Ezam meninggalkan Anwar dan reformasinya. Malah desas-desus yang pernah satu ketika berlaku hampir 99% kebenarannya (kata sumber itu).

Namun ada sesuatu yang tidak kena dan ada beberapa tangan yang telah masuk campur yang menyebabkan peristiwa itu tidak berlaku. Sumber itu menyebut beberapa nama yang terlibat dalam campur tangan itu.

Pembebasan Ezam adalah di antara usaha untuk memberi laluan mudah bagi Ezam untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang jika Ezam jadi masuk UMNO. Kalau Ezam tetap dihukum bersalah, maka pemergian Ezam ke dalam UMNO tidak membawa erti kerana Ezam sudah tidak mempunyai taringnya untuk bergelut dalam UMNO dan pilihan raya nanti kerana telah disabit dan dipenjarakan.

Menurut sumber ini lagi, mahkamah kita kan kita punya. Walau apa pun bukti dan sanggahan yang diberikan oleh peguam Anwar, dia tetap ke Sungai Buloh. Apa-apa usaha pembebasan melalui proses rayuan sengaja dilambatkan untuk tujuan tertentu. Kes Ezam lagi mudah.

IB yakin akan terdapat beberapa pihak yang kurang senang dengan apa yang IB sampaikan ini. Namun, IB rasa ianya perlu diumumkan dengan harapan dikuatkan semangat Ezam untuk tidak meninggalkan gurunya DSAI yang menderita. Tidak seperti beberapa kerat yang sebelum ini. Tetapi jika ini tidak dapat dihalang lagi, maka terbuktilah perancangan jahat sesetengah pihak amatlah rapi dan menyeluruh. Kita harus mengambil iktibar dan memperkuatkan lagi semangat dan perencanaan kita.

Sebelum kami habis perbualan malam tadi, sumber ini memberi suatu lagi nama yang mungkin sedang dirancang sama seperti Ezam dan juga mempunyai kedudukan yang penting dalam parti Keadilan dan juga mempunyai masalah dan situasi yang hampir serupa dengan Ezam.

Sekian
Ibrahim Baba
20 April 2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com



Sertai Maillist M@RHAEN