Melayu Tertipu Lagi - Melayu Mudah Lupa
Oleh Insan Berguna


Sekilas pandang teringat akan peristiwa 22 tahun yang lalu. Suasana yang hampir serupa seolah-olah menonton tayangan semula sesuatu cerita atau seperti deja vu.

Melayu memang mudah lupa. Mahathir amat tepat dalam menyatakan perwatakan bangsa Melayu yang beliau kaji sepanjang beraktif di dalam UMNO. Mahathir adalah orang yang luar dari bangsa Melayu tulin dengan itu dia lebih mudah mempelajari dan meneliti perwatakan orang-orang Melayu dan membuat perbandingan (Abdullah Munshi pun lakukan kajian yang sama di zamannya).

Semasa mengambil tampuk pemerintahan negara di awal dekad 80-an, dua tema utama yang dijaja. Ke arah pemerintahan Bersih, Cekap dan Amanah (BCA) dan membawa angin perubahan ke arah Islam sesuai dengan fenomena dan arus Islamisasi di zaman 70an. (Harus diingat arus ini telah beliau cuba kekang melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti ketika menjadi Menteri Pelajaran sebelum itu)

Agenda Islamisasi yang ingin dibawa Mahathir adalah bertujuan untuk menentang kebangkitan semula PAS yang baru disuntik dengan 3 tokoh ABIM hasil cadangan 'blood transfusion' yang diutarakan Pak Natsir sebelum itu.

Dengan kehadiran 3 tokoh tersebut (Us. Fadhil, Sdr. Syed Ibrahim dan Us. Nakhaie) dan juga penyertaan sepenuhnya Us. Hadi ke dalam PAS (dari seorang pegawai Mubaligh Yayasan Islam Terengganu ketika itu) serta beberapa tokoh lain, maka bermulalah dengan kemas program tarbiyyah dan usrah yang teratur.

Dalam masa yang singkat, dengan sokongan padu dari pelbagai program dakwah ABIM, PAS telah berjaya menjadi suatu parti politik yang mampu menggugat kepopularan UMNO di kalangan masyarakat Melayu. Proses Islamisasi secara keseluruhannya telah menampakkan suatu impak dalam masyarakat.

Mahathir nampak bahawa satu-satunya ancaman utama untuk mengekalkan pemerintahannya dalam negara mahupun UMNO ialah timbulnya perubahan minda masyarakat umum serta penerimaan secara beransur ke arah Islamisasi hasil dari agenda yang dibawa oleh ABIM dan PAS itu tadi.

Dan satu-satunya cara untuk memenangkan hati sebahagian besar golongan yang bakal menjadi tentangan terhadap agenda pemerintahan beliau di masa akan datang ialah untuk membawa pemimpin ABIM (terutama Anwar Ibrahim) ke dalam UMNO. Kerja memujuk tersebut terhasil dengan usaha melalui orang yang Anwar percayai.

Kejayaan memujuk Anwar menyertai UMNO merupakan kejayaan yang terbesar Mahathir dalam mengukir langkah-langkah strategi pemerintahannya yang berikut dan juga merupakan serampang dua mata.

Dengan kemasukkan Anwar ke dalam UMNO (bersama ramai dari barisan pimpinannya), ABIM telah berpecah dua. Suatu krisis yang amat perit menimpa ABIM di tahun-tahun berikutnya sambil ianya juga telah mengurangkan impak program Islam yang PAS perjuangkan dengan cuba menonjolkan UMNO juga mempunyai program Islam.

Secara halus Mahathir telah berjaya menghilangkan taring ABIM sebagai jurubicara ummah ketika itu. Kini ABIM hanya menjadi satu badan NGO yang tidak mempunyai program serta sambutan seperti di zaman Anwar dulu lagi.

Pelbagai tuntutan yang pernah diperjuangkan ABIM dan beberapa pertubuhan Islam lain sebelum itu telah disambut oleh Mahathir dengan penubuhan Bank Islam, Universiti Islam dsbnya.

Satu lagi tema yang Mahathir kemukakan di awal pemerintahannya, BCA, telah memberi seolah-olah suatu janji bahawa Mahathir adalah orang yang bersih dan pemerintahannya bakal bersih, cekap serta amanah.

Perlaksanaan beberapa langkah ke arah menjayakan program BCA telah memberi impak illusi bahawa Mahathir bersungguh dalam kata-kata dan janji-janjinya. Walaupun sesetengah langkah itu kecil, seperti perakam waktu, tag nama serta menyatukan waktu Malaysia Barat dan Malaysia Timur, ia mengambarkan Mahathir tegas dan bersungguh.

Maka orang-orang Melayu (dan masyarakat Malaysia amnya) menerima perubahan ini dengan hati terbuka dan meletakkan sepenuh harapannya. Maka orang Melayu terbeli dengan janji itu dan percaya dengan program Islamisasi yang bakal dibawa bersama dengan kemasukan Anwar dan bakal membawa pemerintahan yang bersih, cekap dan amanah.

(Program-program lain seperti Buy British Last, Look East Policy dan Malaysia Incorporated tidak akan diulas di sini.)

Keputusan pilihanraya 1982, iaitu yang pertama dipimpin oleh Mahathir, adalah lebih baik dari yang sebelum itu (1978). Malah pencapaian itu adalah terbaik untuk Mahathir dan beliau tidak lagi dapat mencapai peratusan kemenangan kerusi sedemikian rupa dalam 4 lagi pilihanraya seterusnya.

Begitulah halnya dengan pilihanraya pertama yang dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang baru, Pak Lah, kali ini. Memang jelas Melayu khasnya menaruh harapan lagi kepada seorang lagi pemimpin Melayu untuk membawa mereka melalui janji-janji yang telah ditaburkan.

Pak Lah mulai seawal pemerintahannya telah menunjukkan kesungguhannya untuk membersih dari label rasuah dengan mendakwa dua orang tokoh utama selain dari beberapa ikan bilis yang lain atas tuduhan rasuah. Yang anehnya kesemua kes-kes yang didakwa adalah terpilih yang mana sememangnya telah dia ketahui lama sebelum itu. Malangnyai Pak Lah tetap mengelak dari menyentuh banyak lagi kes-kes high profile lain.

Pak Lah juga nampak membawa imej agar jentera kerajaan lebih efisien / cekap. Dilakukan beberapa lawatan mengejut di beberapa agensi kerajaan seolah-olah mahukan suatu perubahan yang bersungguh. Kemudian disambut pula dengan media yang telah diaturkan barisan orang-orangnya untuk memainkan peranan sebagai burung kakak tua.

Kemudian Pak Lah turut melaungkan ketelusan pentadbirannya bagi menonjolkan prinsip amamah. Maka lengkaplah slogan Bersih, Cekap, Amanah versi Pak Lah.

Pak Lah terpaksa juga menangani pengaruh PAS dan umat Melayu keseluruhannya yang telah menyaksikan kezaliman dan keruntuhan moral akibat pemerinitahan Mahathir. Maka Pak mesti juga menonjolkan imej Islam dalam pemerintahannya dengan pelbagai program yang boleh dijaja.

Mungkin dalam hal ini, Pak Lah lebih advantage dari Mahathir kerana datuknya memang seorang ulama' dan dia sendiri berkelulusan Pengajian Islam. Maka bolehlah dia bercakap serba sedikit tanpa memerlukan seorang lagi Anwar Ibrahim.

Namun, demi menghadapi pilihan raya baru-baru ini, mahu atau tidak, UMNO terpaksa memainkan sentimen Islam lagi dengan memperagakan beberapa ulamanya yang tersendiri. Maka ditariklah beberapa orang tokoh ke dalam senarai calon mereka. Walaupun demikian, jika dilihat daripada angka, kemasukkan muka baru yang mempunyai imej agama dalam barisan UMNO kali ini adalah kurang dari senarai yang bersama menjadi calon muka baru dalam PAS/Keadilan pada tahun 1999.

(Tahun 1999, kita dapat saksikan seolah-olah terdapat satu kesepakatan yang menyeluruh serta padu dalam penentangan terhadap UMNO dan program-programnya.)

Maka pada kali ini, Melayu tertipu lagi dengan strategi yang dimainkan balik oleh pimpinan UMNO. Mereka terpaksa mengharungi suasana yang sama dengan di peringkat awal pemerintahan Mahathir. Melayu memang mudah lupa.

Melayu mudah lupa Mahathir mulakan dengan rentak yang sama dan kita merana akhirnya.

Melayu mudah lupa bahawa UMNO tidak dapat membawa agenda Islam kerana itu bukan asas ianya ditubuhkan.

Jika kita telah dapat melihat bagaimana pemerintahan Mahathir telah berubah dari BCA menjadi KNK (Kronisme, Nepotisme dan Korupsi) akhirnya.
Maka, apakah boleh kita harapkan sesuatu yang berbeza apabila sesuatu itu datang dari acuan yang sama dengan permulaannya pun sudah menampakkan keserupaannya?

Sekian
Ibrahim Baba
24 Mac 2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:

Pemandangan di hadapan rumah Sulaiman Brandy

Poster dipatah dan ditumbangkan


Sertai Maillist M@RHAEN