Anwar tiba di KLIA 10 pagi, 31 Oktober ini
  - Dipetik drp HarakahDaily
 

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan pulang dari Tanah Suci dan sampai ke tanah air pada 31 Oktober ini, pada jam 10 pagi dan bukan jam 3 petang seperti dilaporkan sebelum ini.

"Saya akan pulang dengan Saudi Airlines dan pesawat kami akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10 pagi," kata Anwar dalam perbualan telefon dengan Harakahdaily.

Anwar dan rombongannya kini berada di Jeddah setelah selesai mengerjakan umrah dan selamat menjalani pembedahan tulang belakang di Munich, Jerman awal September lalu.

Turut bersama beliau ialah isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail; anak-anak mereka Nurul Nuha dan Nurul Iman, bapa beliau; Dato' Ibrahim Abdul Rahman dan isteri; pembantu peribadi, Azmin Ali dan empat yang lain.

Ketika di Jeddah, kerajaan Arab Saudi memberi layanan baik kepada Anwar dengan menyediakan pesawat diraja, disambut mengikut protokol diraja dan menunaikan umrah dengan diiringi 25 orang pengawal istana.

Beliau juga diberi penghormatan untuk menunaikan solat waktu dan Tarawih di sebelah makam baginda Rasulullah s.a.w., di Masjid Nabawi, ketika melakukan ziarah di Madinah. Kerajaan Malaysia dilaporkan mengemukaan bantahan kepada Kerajaan Saudi mengenai layanan ini.

Dalam perkembangan sama, hasrat 'Jawatankuasa Sambutan Kepulangan Anwar¡' untuk mengadakan acara sambutan kepulangan beliau untuk orang ramai di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur terpaksa dilupakan, kata seorang ahli jawatankuasa itu.

Beliau yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, ini kerana setakat ini tiada sebarang jawapan diterima daripada pihak kerajaan mengenai permohonan penggunaan stadium itu.

Minggu lepas, jawatankuasa tersebut mengemukakan permohonan rasmi kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menggunakan stadium sukan tersebut bagi tujuan itu untuk mengelakkan kesesakan di KLIA.

"Mesyuarat khas jawatankuasa yang diadakan semalam mengambil pendirian bahawa sikap dingin kerajaan ini bererti permohonan kami ditolak dan dengan itu sambutan mungkin terpaksa diadakan terus di KLIA memandangkan tiada pilihan lain," kata beliau.

Kenyataan rasmi mengenainya dijangka akan dikeluarkan segera, katanya. - ER/lanh

http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=10289&mode=thread&order=0

 - 23.10.2004 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: