Komponen BN Mudah Lerai Tanpa Ikatan Kuasa – Husam
  - Dipetik drp HarakahDaily
 

KOTA BHARU, 19 Okt (Hrkh) – Ikatan di antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) pastinya akan lerai pada bila-bila masa sahaja apabila dominan kuasa yang dimiliki berjaya diambil alih pakatan parti lain.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Husam Musa berkata, ramai berpandangan hanya kepentingan kuasa sahaja yang berupaya menjadi ikatan kepada parti-parti BN sekarang.

Katanya, tanpa adanya ikatan itu sudah tentu pakatan rapuh yang ada pada BN sekarang boleh terlerai pada bila-bila masa sahaja.

“Ini kerana sudah lama kelihatan Umno mengugut MCA, MCA pula menuntut tuntutan tertentu dan sebagainya. Ini menguatkan dakwaan kita bahawa politik perkauman amat berbahaya kepada perpaduan Malaysia dalam jangka panjang.
“Tiap-tiap kaum mempunyai rasa tidak puas hati terhadap kaum yang lain. Sebab itu timbul tuntutan oleh Umno bahawa ekonomi orang Melayu adalah tertinggal. Dan MCA pula merasakan orang-orang Cina dinafikan hak-hak mereka dalam keadaan tertentu,” katanya ketika membicarakan konteks ‘PAS dan Perpaduan Nasional’ dalam satu wawancara di sini.

Transkrip penuh wawancara tersebut akan disiarkan dalam Harakah edisi cetak yang bakal berada di pasaran mulai 21 Oktober ini.

Beliau menggaris resepi terbaik bagi menyelesaikan isu perpaduan di negara berbilang kaum.

Husam adalah di antara pemimpin pelapis yang berpotensi diketengahkan sekarang dan paparan ideanya begitu menyerlah ketika membicarakan isu berkenaan pada Debat Perdana yang disiarkan secara langsung RTM1 sebelum ini.

Beliau yang juga anggota Exco Kerajaan Kelantan bagaimanapun tidak menafikan perpaduan masih wujud di Malaysia. Tetapi katanya, dalam masa yang sama asas perpecahan juga wujud.

“Dan perpaduan tersebut pula hanya diikat pada waktu ini dengan kepentingan kuasa. Orang pun nampak parti-parti dalam BN begitu rapat dan bekerjasama, tetapi pada asasnya mereka memperjuangkan agenda kaum masing-masing.
“Mereka menyimpan perasaan permusuhan kaum di dalam dada mereka masing-masing. Kadang-kadang perkara ini keluar dalam bentuk ucapan dan tuntutan yang melampau, ugutan yang menyakitkan hati di antara kesemua parti-parti dalam BN,” katanya.

Beliau juga berkata, isu perpaduan nasional diketengahkan sekarang adalah agenda politik Umno bagi memaksa parti-parti lain bersetuju dan menerima konsep yang dibawanya.

“Bila kita tahu itulah agenda yang dirancang oleh Umno, maka kita dengan sendirinya boleh faham, bahawa Umno sendiri tidak yakin bahawa konsep mereka adalah konsep benar-benar kukuh,” ujarnya.

Kiriman Alex
 - 20.10.2004 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: