Kerajaan Malaysia tidak senang layanan Saudi kepada Anwar
  - Dipetik drp HarakahDaily
 

JEDDAH, 18 Okt (Hrkh) - Kerajaan Malaysia dikatakan tidak senang dengan layanan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Sebuah laman web, Laman Marhaen menyebut kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra mengemukakan bantahan tidak rasmi kepada kerajaan Arab Saudi terhadap layanan yang diterima Anwar. (Mahakuda: Kerajaan Bantah Layanan Saudi Terhadap Anwar)

Apabila dihubungi melalui telefon, seorang ahli keluarga Anwar yang bersama rombongan beliau di Jeddah mengesahkan wujudnya isu bantahan tersebut.

"Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan setakat ini, sama ada bantahan itu dikemukakan secara rasmi atau tidak, " kata beliau yang tidak mahu namanya disiarkan.

Anwar tiba di Jeddah dari Munich untuk menunaikan Umrah dengan pesawat khas kerajaan Arab Saudi 11 Oktober lepas.

Sebaik tiba, beliau disambut mengikut protokol diraja negara itu dan menunaikan ibadah itu keesokan malamnya dengan diiringi pengawal istana.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia dikatakan tidak senang dengan layanan yang biasanya hanya diberikan kepada ketua kerajaan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar yang kini berada di Madinah diberi penghormatan untuk menunaikan solat waktu dan Tarawih di sebelah makam Baginda Rasulullah SAW, di Masjid Nabawi, kata pembantu peribadi beliau, Azmin Ali.

Menurut Azmin, pada sebelah malam, Anwar ditempatkan di Raudah, taman yang dikatakan paling baik untuk berdoa.

Anwar dan rombongannya tiba di Madinah selepas selesai menunaikan umrah di Mekah untuk tujuan ziarah, jam 8.30 malam waktu Malaysia, 16 Oktober lepas.

Sebelum itu, Anwar baru sembuh dari menjalani rawatan tulang belakang mengadakan solat Jumaat pertama beliau selepas pembedahan di Masjidil Haram, Mekah, 14 Oktober lepas.

Anwar juga menunaikan solat Tarawih dan Witir sebanyak 23 rakaat di masjid yang sama.

Anwar akan bertemu pemimpin dan ahli perniagaan Arab Saudi sebelum pulang ke tanahair yang dijangkakan pada 31 Oktober nanti. --ER/zs

http://www.harakahdaily.net/article.php?sid=10181&mode=thread&order=0

 - 18.10.2004 (M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)


Hantar artikel ini kpd sahabat: