Setuju Dengan Saranan Dr Mariah Mahmud
Agar PAS dan BA Memboikot Pilihan Raya Umum

Oleh: HC (Honda Civic)
Dalam artikel Dr Mariah (Boikot pilihan raya selagi….) dalam Harakahdaily beberapa hari lalu beliau menyarankan agar PAS dan BA memboikot PRU akan datang jikalau BN tidak menunaikan permohonan kita untuk meletakkan beberapa syarat ke arah menjadikan PRU itu nanti telus dan adil.

Ada pihak tidak bersetuju kerana katanya pihak BN boleh melakonkan peranan beberapa parti pembangkang menggantikan BA untuk menunjukkan bahawa PRU tersebut tidak diboikot pembangkang dan seterusnya PRU itu memberi mandat kepada BN untuk terus memerintah.

Kedua-dua pendapat ini ada benarnya, tetapi pendapat Dr Mariah lebih disokong ambo. Walaupun BN boleh melakonkan watak pembangkang, tetapi semua pihak di dunia ini telah maklum siapa pembangkang hardcore dan paling ramai penyokongnya di Malaysia sejak 50 tahun yang lalu. Maknanya jikalau BA khususnya PAS mengisytiharkan menarik diri dan boikot PRU tersebut, apa sahaja parti baru pembangkang yang muncul selepas itu pasti dipandang orang sebagai lakonan window-dressing sahaja.

Jikalau pun BN bercadang meneruskan politik pengundi hantunya, mereka memang boleh mengeluarkan wang ringgit yang banyak untuk mengupah pekerjanya membantu menggantungkan poster pembangkang di jalan raya ketika itu. Tetapi suasana PRU ketika itu pasti sugul dan tidak meriah langsung.

Para pemerhati politik antarabangsa pula pasti akan melaporkan keadaan sedemikian di dalam media mereka, dan mesej yang ingin kita sampaikan kepada dunia dan khalayak tempatan akan berjaya disampaikan.

Ada laporan tidak rasmi menyebut bahawa di dalam pilihan raya kecil yang diadakan di Sungai Lembing tempo hari, di mana PAS telah memboikotnya, undi yang diperolehi PAS sebanyak lebih kurang 500 itu telah diberi secara percuma oleh orang SPR yang bertugas di sana. Angka tersebut sebenarnya tidak merupakan angka sebenar tetapi hanya 'disebut' sahaja oleh petugasnya. Maknanya orang yang mengundi PAS itu mungkin tiada langsung.

Benar bahawa BN boleh sahaja menyebut angka yang diperolehi 'pembangkang', tetapi ia jelas tidak akan mencapai tahap yang logik yang boleh diterima orang berbanding jikalau pembangkang 'yang sebenar' bertanding. Dan agak sukar juga untuk BN menipu tentang jumlah pengundi yang keluar mengundi pada hari tersebut. Jikalau pada 2004 peratus keluar mengundi melebihi 80% dan setengah tempat mencapai 90%, tetapi pada ketika itu paling banyak yang BN boleh tipu hanyalah 50% sahaja. Itu pun setelah ditambah pengundi hantu 'pembangkang' dan penambahan angka secara 'sebutan'.

Tetapi BN tidak akan mampu mengadakan 'suasana meriah' di seluruh negara yang sememangnya tidak meriah mana pun selama pembangkang menyertai pilihan raya ini.

Suasana pesta demokrasi sememangnya tidak pernah dirasai dalam erti kata sebenarnya pun di negara ini berbanding negara jiran yang telah mencapai kematangan berpolitik. Ia akan bertambah sugul jikalau pembangkang memboikot PRU ini di seluruh negara.

Kita perlu melakukan perkara ini kerana kita tidak mahu lagi pembangkang membantu di dalam memberikan mandat percuma kepada BN untuk terus memerintah. Jikalau kita tahu selama ini bahawa BN penipu besar, mengapa kita mahu terus memberikan sumbangan mandat kepada mereka? Mandat yang mereka dapat itu ialah kerana kita yang bersetuju menyertai permainan yang tidak sama rata ini. Maknanya kita juga ada saham di dalam segala pekerjaan terkutuk mereka kepada agama dan bangsa setelah mereka menang besar.

Seyogia diingatkan bahawa boikot ini hanyalah sehingga BN bersetuju dengan segala syarat yang kita letakkan untuk bertanding yang tidak memihak kepada sesiapa, baik dari sudut SPR, media, mahupun suasana kempen. Penyertaan kita di dalam pilihan raya penuh penipuan ini adalah endorsement kita kepada penipuan itu sendiri. Orang beriman tidak masuk di dalam lubang yang sama sebanyak 2 kali, tetapi kita telah masuk sebanyak 10 kali.

Ambo harap lebih ramai lagi personaliti pemimpin seperti Dr Mariah akan tampil memberi idea yang berani seperti ini. Ini bukti PAS telah matang dalam berpolitik dan anggotanya berani memberi idea yang melawan arus. Syabas Dr Mariah.

Semoga berjaya.

Salam,
- HC (Honda Civic)
honciv@yahoo.com - 10.04.2004
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN