‘ANCAMAN’ GELOMBANG GLOBAL FUNDAMENTALIS ISLAM (4)
Oleh: HC (Honda Civic)
Ambo lahir dan dibesarkan dalam suasana bandar, berpindah dari satu bandar ke satu bandar sejak berusia 1 tahun, dibawa berpindah-randah oleh ibubapa yang berlatarbelakangkan pendidikan barat yang lebih gemar berbahasa Inggeris ketika bertikam lidah. Disekolahkan juga dalam sekolah kebangsaan yang ketika itu diduduki oleh pelbagai bangsa.

Tahun 70-an menyaksikan generasi pelajar sekolah rendah dan menengah pelbagai bangsa dan agama. Belum ada sekolah cina yang banyak dan mempunyai impak besar kepada masyakat cina. Belum ada rasa bimbang masyarakat cina terhadap kemungkinan pupusnya budaya dan bahasa mereka ketika itu. Anak jiran berbangsa cina bebas keluar masuk rumah ambo dan sebaliknya, untuk bermain dan kami pergi ke sekolah juga dengan berkejaran bas yang sama. Pendek kata, ketika itu ambo dapat merasakan 'ukhuwwah' yang tidak sedikit dengan jiran cina tersebut.

Tetapi bangsa cina merasa budaya mereka mula diancam lebih awal daripada bangsa Melayu dan Islam, mungkin hasil daripada polisi kerajaan ketika itu yang terlalu Malay-centric. Akibat daripada rasa 'threatened' ini maka mereka mula beransur-ansur keluar daripada proses asimilasi ini dengan membuka sekolah cina mereka sendiri. Tidak boleh juga kalau mahu disalahkan mereka sahaja kerana memulakan sikap pengasingan diri ini.

Mereka perlu mencari jati-diri sendiri, dan jati-diri mereka ialah budaya dan bahasa Cina itu sendiri. Dari situlah mereka memperoleh kekuatan, yakni apabila mereka kembali kepada jati-diri mereka sendiri. Apa yang berlaku kepada mereka kini sedang berlaku kepada umat Islam itu sendiri, yakni setelah timbul rasa 'threatened' tersebut ke dalam jiwa umat Islam terhadap agama dan budaya mereka. Umat Islam tidak pernah menyangka bahawa satu hari nanti mereka juga perlu membuat adjustment terhadap cara fikir mereka, samada dengan atau tanpa bantuan pemerintah yang kononnya menjadi benteng budaya bangsa Melayu Islam ini.

Sebagaimana orang Melayu dahulu tidak mengerti mengapa orang cina dahulu mahu mencari jati-diri dengan sikap mendiri dan anti-asimilasi, orang cina sekarang sudah mula merasakannya pula. Mengapa umat Melayu yang Muslim ini mahu kembali ke zaman unta dengan tudungnya, dengan kopiahnya, dengan sekolah agamanya, dengan nasyidnya, dengan, dengannya... dengan Hududnya.

Perhubungan antara-bangsa di negara ini sedang melalui satu fasa yang anih; satu pihak mahu kembali kepada agamanya secara syumul secara perlahan-lahan tetapi pasti. Satu pihak lagi, yakni cina, terus-terusan hidup dalam budaya materialisme tidak terkawalnya. Dua ekstrim yang sukar untuk ditemukan.

Sebab itu pernah beberapa penulis non-Muslim di malaysiakini.com menyuarakan betapa pada zaman dahulu beliau bebas makan dan minum bersama rakan Melayunya, rakan Melayunya pula bebas makan di rumahnya memakan makanan yang dimasak cina itu sendiri. Tetapi itu semua kini hanya tinggal kenangan baginya. Ambo juga pernah merasakannya, cuma sebagai seorang kanak-kanak sahaja ketika itu.

Salah siapa, kalau mahu dikatakan sebagai satu kesalahan?  (bersambung...)

Salam,
- HC (Honda Civic)
honciv@yahoo.com - 01.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Click Here!

Tangguhkan dahulu