Sepintas Lalu... (2)
Oleh Dr Nologareng
Memang terlalu banyak jika mahu ditulis kesemuanya akan apa yang berlaku dari tempoh selesai pilihan raya yang telah diatur keputusannya oleh SPR sehingga lah kepada ulasan pembesar mangkuk hayun dalam negara tentang keganasan yang berlaku dalam penjara Iraq. Suasana menjadi lebih meriah tetapi memualkan sebaik sahaja PM bayangan Tun Kepala Taik turut menyumbangkan pendapat hanyirnya berkaitan isu di Baghdad itu. Apa katanya….? Bush dan Ronald Dumsfeld patut meletakkan jawatan! Alahai Tun Kepala Taik. Memang seekor ketam kalau Tun dijadikan seekor haiwan.

Sekiranya kita melayari internet dengan teliti dan tekun untuk melihat laporan terperinci akan penderaan yang dikenakan ke atas tahanan penjara Iraq, ia memang satu yang menjijik dan mengerikan. Sekali gus ia telah menyingkap topeng tentera penceroboh betapa kemerdekaan dan kesejahteraan rakyat Iraq bukanlah matlamat mereka. Apa yang menjadi tujuan sebenar menceroboh Iraq ialah untuk menguasai telaga minyak Iraq demi memastikan keuntungan kepada Zionis Israel dan juga hegemoni tentera Amerika di Timur Tengah. Secara terancang Amerika cuba mendominasi dunia dalam membentuk Empayar konsep baru.

Tuduhan Senjata Pemusnah Besar-besaran serta kekejaman Saddam hanyalah alasan untuk mewajarkan serangan sahaja. Laman-laman bebas luar negara seperti Antiwar.com, Rense.com serta pelbagai link yang ada, memudahkan kita memahami dan mengerti pergerakan halatuju politik dunia.

Sekali gus juga kita boleh menilai dan memerhati gelagat dan tabiat ahli politik pemerintah dalam negara kita. Mutaakhirin ini, isu di Iraq dan Selatan Thailand sudah menjadi topik untuk menteri tertentu muncul di kaca TV. Pak Lah mula mengulas, kemudiannya Najib pula mencurahkan pendapatnya sehingga berbuih mulut. Syed Hamid Albar tentu sahaja watak penting apabila menyentuh soal luar negara. Kemudiannya diikuti segala para hulubalang cilik dan politikus yang tidak sabar menonjolkan ‘ketokohan’ untuk memberi buah fikiran. Pemuda Umno pula siap dengan menghantar memorandum lagi. Maklumlah……. Persidangan dan pemilihan parti Umno akan dibuat September ini! Lainlah kalau PakLah pandai mencari helah.

Jika kita kita rajin memantau dan membaca setiap artikel dan cerita dari luar negara, kita akan mudah memahami corak (pattern) bagi pemimpin negara menjadi ‘pelakon’ di kaca TV. Kita katakan sedemikian kerana mereka juga seolah-olah menanti arahan dari sang pengarah, barulah mereka mengulas dan terus mengulas walau pun ianya itu satu isu yang sudah pun basi.

Sepatutnya bahagian perisikan tentera, Bukit Aman dan juga Wisma Putra sudah ke hadapan mendahului melaporkan perkara yang berlaku kepada PM Pak Lah. Ia sama ada tidak dilakukan atau terhenti pada tahap tertentu atau pun PM sendiri tidak mempunyai masa menelaah kerana terlalu sibuk dengan kemelut politik dalam negara. Apatah lagi apabila menyedari yang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum lalu dibuat secara tipu. Pengakuan Bush dan Rumah Putih betapa kerajaan BN menang secara ‘landslide’ dalam satu pilihan raya yang aman dan adil tidak boleh mengubah tanggapan rakyat sendiri yang melihat segala penyelewengan berlaku depan mata.

Apa agaknya mahu diulas tentang kekalahan puluhan undi Wan Azizah kepada Imam Firduit tetiba berubah menjadi satu kemenangan pula dengan majoriti sebanyak 550 undi apabila dikira semula? Tentu sahaja pendekatan onar dan tidak demokratik itu dilakukan dengan meluas dan sistematik (SPR tak boleh dicabar di mahkamah) untuk memberi kemenangan peribadi kepada PakLah untuk membolehkan ia merenggangkan dirinya dari payung Tun Kepala Taik. Jangan lupa bagaimana majoriti kakitangan SPR pada hari pengundi adalah anggota parti UmnoBn sendiri.

Pendedahan akan kekejaman, penyeksaan dan penderaan ke atas tahanan rakyat Iraq berlaku sudah begitu lama dan ceritanya hanya berlegar di kalangan kelompok tertentu. Kita berasa amat malu apabila Ketua negara yang juga adalah Pengerusi NAM hanya diam dengan mulut dikepam. Hanya setelah ia bocor dalam media arus perdana seluruh dunia, apabila Kongres AS serta Parlimen British membuat bising baru lah PakLah sebagai Pengerusi NAM bersuara.

Adalah mendatangkan keanehan apabila media yang dahulunya begitu menyokong Perang Iraq tetiba kini beralih angin menyakat rejim Bush pula atas sedikit penderaan yang terbocor di khalayak terutamanya dalam dunia internet. Sepatutnya mereka ini sejak awal lagi menentang  keserakahan rejim Bush yang mahu menyerang Iraq tanpa alasan yang kukuh. Jika kita alpa, kita juga akan terkena. Apa yang berlaku sebenarnya adalah selaras dengan hayunan sokongan perebutan jawatan Presiden AS yang kini dicondongkan kepada John Kerry dari Demokrat dengan bantuan media dokongan Zionis Yahudi. Hentakan dan henyakan ke atas rejim Bush lebih kepada percaturan minda untuk memberi Kerry kemenangan yang selesa. Apa pun yang terjadi, khabarnya tidak akan mengubah dasar luar Amerika. Perhatikan baru-baru ini di tapak Web penyokong Kerry telah mengatakan yang beliau menyokong tambahan peruntukan bagi Perang Iraq yang diminta oleh Bush. Semakin banyak peluru telah ditempah dan semakin banyak terak Humvee dibina untuk keperluan itu.

Memang benar, apabila sesetengah pemerhati politik dunia mengatakan yang peperangan adalah helah yang amat berkesan, menguntungkan serta kaedah mudah untuk membuat wang. Ia juga adalah cara bagi menggerakkan ekonomi serta peluang pekerjaan di kalangan rakyatnya. Malah Richard Nixon sendiri mengaku betapa ia menghangatkan lagi Perang Vietnam pada penghujungnya semata-mata atas alasan menggerakkan ekonomi.

Apa jua yang dibidas oleh rejim dalam negara kita berkaitan soal kekejaman terhadap rakyat Iraq oleh AS adalah umpama kata pepatah- kuman di seberang laut nampak, gajah lalu depan mata boleh ter‘missed’. Apatah lagi tatkala Tun KT juga menunjukkan ketokohannya mengulas. Ia tetap bagai menepuk dulang berisi najis sahaja.

Pada masa yang sama, beberapa laman bebas termasuk M@rhaen telah mengitar semula dan memain kembali cerita sejarah bagaimana tahanan rakyat tempatan yang difitnah sebagai ‘militan’ telah didera, dibogel dan diaibkan. Yang termasyhur sekali ialah kisah ‘lebam mata’ DS Anwar Ibrahim yang dipukul teruk, dibogelkan serta didera berjalan tanpa seurat benang di dalam bangunan di Bukit Aman sendiri. Dalam kes Anwar Ibrahim lebih dahsyat apabila samsengnya ialah KPN sendiri. Kita juga tidak melupakan apa yang dilalui Dr Munawar Anees dan Sukma Dharmawan. Pendek kata, apa yang dilalui mereka tidak kurang hebatnya berbanding apa yang dideritai tahanan rakyat Iraq. Kalau di Iraq, bedebahnya adalah tentera AS, dalam Kem Abu Ghraib Malaysia bedebah itu adalah anggota PRdM sendiri yang juga merupakan anak bangsa.

Kalau secara perbandingannya, kezaliman yang dibuat oleh anggota penyiasat PRdM jauh lebih zalim dan keji kerana ia melibatkan anak bangsa serta penganut Agama yang sama. Jauh lebih ganas dan keji apabila mereka mempersenda dan menjatuhkan maruah seorang Islam lain hanya semata-mata untuk menjatuhkan ketahanan dirinya untuk mengaku sesuatu yang tidak mereka lakukan. Bukankah itu namanya penganiayaan?

Malah laman akhbar luar negara juga sudah menyiarkan akan laporan Suhakam tentang penderaan yang didakwa telah dilakukan ke atas tahanan ISA. Memanglah ianya tidak sekuat apa yang menimpa rejim Bush apabila gambar digital menjadi bahan bukti yang jelas. Akan tetapi dari himpunan cerita dan derita yang dilalui Mantan TPM, kita tentu sahaja dapat mengagak dan menerima betapa dakwaan itu sebagai benar belaka.

Nah! Kenapa perlu pemimpin negara dan politik UmnoBn bersikap telunjuk lurus kelingking berkait? Apakah kemaluan mereka sudah tiada sehingga berlagak umpama seorang wali untuk menghentam orang lain? Kalau mengikut kayu ukur Tun Kepala Taik, PM yang ada dan pembantunya harus meletakkan jawatan. Kenapa agaknya Mahathir tak ‘resign’ semasa skandal mata lebam Anwar dulu?

Apakah akhbar arus perdana dan pencetus pemikiran rakyat menyiarkan berita penting ini? Kita katakan penting kerana ia bersangkutan terus dengan kehidupan dan jati diri bangsa. Tidak, mereka bukan pencetus pemikiran melainkan sebagai pencatur minda rakyat sahaja, untuk menurut kemahuan elitis rejim pemerintah. Mereka lebih gemar untuk menceritakan kejayaan dua orang mahasiswa UiTM memanjat Gunung Everest  sedangkan masa depan mereka masih kabur kerana peluang pekerjaan yang mengecut! Mereka gemar membesarkan cerita hobi manusia seperti Malik Mydin dan Azhar Mansor. Apakah mereka membesarkan cerita anak bangsa yang berjaya dalam professionnya seperti Prof Khaled Kadir dalam bidang Perubatan Endokrinologi, Prof Embong juga dalam bidang yang sama. Anak Melayu yang berjaya dalam bidang teknologi multimedia sehingga menjadi rebutan di Hollywood tidak pun dianugerah gelaran Datuk! Mungkin anak muda itu tak mahu membayar ‘harga’ puluhan ribu RM yang diminta.

Kita tidak hairan segala jenis keturunan Tionghua bergelar Datuk dan sebagainya sedangkan mereka tidak pun berjasa kepada rakyat dan negara. Duit adalah jawabannya. Dinero! Rahsia ini dipegang oleh pemimpin Umno dan Pegawai tertentu istana termasuklah di penganugerahnya- Sultan lah, siapa lagi!

Di Mahkamah Rayuan, kes fitnah sodomi Anwar sedang berjalan, namun kita melihat peluang Anwar yang tidak bersalah itu akan terus diperam dalam penjara. Apabila salah seorang Hakim yang bersidang adalah manusia gampang yang sudah membuat keputusan sebelum kes dibentang, apa lagi harapan yang boleh diletakkan di tangannya? Apatah lagi apabila ia dengan tanpa rasa halus serta tawadhuk telah mempermainkan Tuhan sebagai seorang saksi. Mungkin niat Hakim bedebah itu untuk mempersenda atau meringankan ketegangan dalam mahkamah, tetapi itu jelas bukanlah caranya. Apatah lagi jika anda mengaku Islam. Ianya terlalu suci untuk dipersendakan. Tetapi mereka peduli apa.

Isu alih tumpuan adalah merupakan kaedah yang sering diguna seluruh dunia oleh politikus berhati syaitan.

Mereka sanggup mencemar dan merosakkan demokrasi dan segala cirinya, asal sahaja mereka boleh tersu bercendawan di atas sana. Perhatikan apa yang berlaku di Iraq kini. AS memang tertekan apabila penderaan dan penyeksaan ke atas tahanan rakyat Iraq terbongkar dan dipersoalkan dunia. Semakin terdedah betapa demokrasi dan kebebasan rakyat Iraq bukanlah matlamat mereka. Pengunduran sebahagian tentera sekutu seperti Sepanyol memang memberi tamparan hebat kepada Bush yang pernah mungkir misi di Vietnam dahulu.

Dalam kehangatan itu, tetiba video Nick Berg yang dipenggal lehernya disiarkan media seluruh dunia. Malah ia diulang-ulang oleh media di Amerika sana. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua jatuhnya. Pelbagai laman bebas pelbagai negara telah menganalisis dan menyelidik video itu sehinggakan kini sudah terbocor betapa pita video itu adalah dibuat mungkin CIA sendiri. Terdapat hampir 50 persoalan kenapa pihak berkuasa AS sebenarnya yang membunuh Nick Berg. Anda boleh mencarinya di laman Rense.com dan pelbagai linknya. Ini tentu sahaja bakal memberi kesan yang amat buruk kepada imej rejim Bush dan juga CIA. Lalu dalam sehari dua ini keluar pula cerita bagaimana bom-bom yang meletup di sekitar Baghdad baru-baru ini mengandungi surihan gas saraf SARIN. Lihat, satu lagi alih tumpuan diketengahkan bagi menampung kesilapan di Penjara Abu Ghraib dan juga pendedahan pita video Nick Berg.

Selepas media luar negara menyiarkan laporan tentang kem Abu Ghraib di Malaysia yang bertempat di Kamunting, KPN Mohd Bakri katanya akan melakukan penyiasatan segera berkaitan tuduhan itu. Dalam masa yang sama PM yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri PakLah Hadhari telah menafikan sekeras-kerasnya akan tuduhan serta rungutan itu. Ini diperkuat lagi oleh Timbalannya Datok Noh yang mendakwa tidak pun ada rungutan dan dakwaan dari para tahanan semasa ia melawat ke sana. Datok Hamid Albar juga membantah akan tuduhan itu seraya menempelak para wartawan yang suasana di Iraq dan Abu Ghraib Kamunting jauh bezanya. Memang jauh bezanya, kerana ia lebih zalim dan sadis.

Sudah menjadi trenda dan budaya betapa reaksi pertama adalah menafikan dengan pantas dan penuh yakin. Itu lah yang dibuat oleh PakLah. Kita masih tidak melupakan akan reaksi PakLah apabila ditanya akan beberapa pemimpin muda Keadilan ditahan bawah ISA, PakLah telah menafikan di Parlimen!! Parlimen beb. Bukannya di celah ketiak Endon. Reaksi Datok Noh itu pula memang menggelikan hati. Menteri ini jenis cakapnya sahaja yang gah. Apakah semasa ia melawat ke Kem Abu Ghraib Kamunting, ia berjumpa setiap tahanan dan bertanya kepada mereka secara peribadi? Tak mungkin! Saya lebih mempercayai sekiranya Noh Badut ini hanya pergi melawat setakat Bilik Mesyuarat Kem tersebut dan meninjau di sebalik cermin tingkap nako atau sekadar melihat rakaman pita video sahaja akan kehidupan selesa yang dilalui para tahanan yang menunjukkan mereka sedang makan nasi beriyani dengan dua ketul peha ayam serta ditemani anak isteri mereka. Malah mungkin ditunjukkan juga bagaimana para tahanan itu dibenarkan menunaikan Fardhu Jumaat secara berjemaah di situ. Perghh!

Kalau diberitakan yang tentera AS mengasari kanak-kanak bawah umur, ia tidak berbeza juga dengan Kem Abu Ghraib Malaysia di Kamunting sana. Bukankah ada 13 orang yang ditahan ISA sedangkan mereka itu semua didapati tiada kesalahan oleh pihak berkuasa di Pakistan atas kes yang bersangkutan dengan adiknya Hambali? Kalau Pakistan membebaskan adik lelaki Hambali dan dibersihkan juga oleh pehak berkuasa Indonesia dari sebarang tuduhan, atas alasan apa pula remaja pelajar Agama negara kita itu ditahan? Untuk dianyam satu cerita besar yang boleh memberi pukulan maut kepada PAS dan BA? Serba mungkin kan? Malaysia Boleeeee…….

Rejim dalam negara tiada bezanya dengan rejim di Republik Macedonia yang sanggup membunuh 7 pelarian ekonomi dari Pakistan dan India sedikit masa dahulu. Ia berlaku ketika kempen ‘Perang menentang Keganasan’ mula dilancarkan. Pihak Polis negara itu telah bersekongkol dengan bekas Menteri Dalam Negeri ketika itu Lubje Boskovzki mencipta peristiwa dan insiden agar terpahat mereka dalam Perang Salib Bush itu seraya mendapat perhatian Negara Polis Dunia. (sekaligus ada lah habuannya!!). perkara yang serupa juga telah dibuat oleh rejim semasa Tun Kepala Taik menerajui negara. KMM, Almaunah dan pelbagai lagi dengan segala peristiwa yang menggemparkan itu hanyalah untuk rejim ini mendapat pengiktirafan dan sanjungan sahaja. Noktakh.

Dan Mahathir akhirnya bertemu juga dengan Bush dan mendapat pujiannya. Namun kita tahu beberapa juta RM telah berpindah tangan.

Memang negara kita akan rosak angkara sekongkolan Polis Rahsia @ SB dengan politikus pengkhianat bangsa. Jerman, Iran, Vietnam dan juga Iraq musnah angkara mereka. Mereka digunakan oleh elitis pemerintah untuk menakut-nakutkan rakyat. Namun apabila tiba masanya, mereka akan dibalas juga. Anggota SAVAK dibicarakan dan kemudian dihukum tembak di padang bola sahaja.

Di sini kita tidak boleh tidak akan menyoal, apa sudah jadi dengan polis dalam negara? Apa lagi yang tinggal sebagai maruah mereka apabila seorang Inspektor ditembak hingga berkecai muka kerana merompak di Johor tahun lalu? Nak bercakap tentang moral bagaimana jika dadah yang dirampas dikitar semula ke jalan raya? Kisah terbaru adalah tentang pertukaran OCPD Balai Polis SeaPark kerana skandal kedai judi haram di depan matanya yang dibiar begitu sahaja. Kalau itulah alasan untuk memindahkan Ketua Polis, alamatnya ia menjadi seperti permainan kerusi dengan muziklah jawabnya.

Ketahuilah kita betapa industri judi haram sudah sinonim serta amat berkait rapat dengan PRdM. Di mana-mana sahaja. Namakan sahaja tempatnya. Kuantan, Taiping, Semenyih, Batu Kurau, Kulim bahkan di mana-mana juga. Begitu juga dengan cerita operasi ekonomi haram yang tidak dicukaikan. Khabarnya di satu kawasan bernama Kampong Selamat Seberang Perai yang bersempadan dengan Padang Serai, pelbagai jenis kegiatan ekonomi, kilang belakang rumah yang menggunakan tenaga kerja rakyat asing yang tanpa permit. Industri itu sesekali disakat sama ada oleh PRdM atau Kastam Di Raja. Akan tetapi operasi mereka sering terbantut pada peringkat awalan sahaja. Kita akan bicarakan hal ini lebih lanjut dalam artikel akan datang.

Pendek kata memang dahsyat apa yang berlaku dalam negara kita. Bukan setakat penguatkuasa Undang-undang tidak melakukan sesuatu untuk menghentikan gejala itu bahkan mereka sendiri adalah sebahagian dari sistem itu sendiri yang memastikan ia terus subur tanpa diganggu gugat. Hubungan simbiosis katanya.

Nampaknya Parlimen haram telah pun mengangkat sumpah sebagai kerajaan baru. Hadiah pertama berupa kenaikan harga minyak juga sudah pun menampakkan kesannya. Manakala isu penyakit kronik seperti Biliary atresia terus menyiksa keluarga yang ditimpa musibah itu. Walau sudah berganti Chua, masalah tetap berlarutan.

Setakat ini dahulu, jumpa lagi.

Dr. Nologareng- 20.05.2004 (suntingan M@RHAEN)
Sepintas lalu (1)

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN