100 Hari Kedua PM PakLah Kita
Oleh Dr Nologareng
Biar pun apa kata Najib dan juga para pembodek media, 100 hari PakLah yang lalu, tidak pun menampakkan satu anjakan paradigma yang mungkin menarik rakyat menyokong mereka. Cakap-cakap angkuh dan mereka lebih kepada untuk menyedapkan dan menggula-gulakan hati dan gegendang telinga sendiri. Itu sahaja.

Banyak petanda menunjukkan yang Pak Lah kita bukan lah seorang PM yang bebas. Ia jelas terpaksa mendapat restu dalam setiap tindak tanduknya dari PM lalu. Pelantikan TPM Najib, TS Mohd Nor serta terjatuhnya Muhiyuddin rakan yang disukainya sebagai Menteri Pertanian membuktikan ada dalang yang menggerakkan tali di belakang PM Abdullah Badawi.

Apabila mereka tahu dari pelbagai sumber betapa ramai rakyat terutamanya orang Melayu tidak termakan dengan sandiwara 100 hari pertama, Plan B disogokkan pula. Kali ini beberapa kes rasuah profil tinggi yang diperam lama akan disauk untuk dibicarakan. Barisan Pembangkang kata itu gimik pilihan raya, begitu juga rakyat kecil di jalan raya. Keadaan menjadi serba tak kena. Apakah menteri2 seperti Rafidah, Samy Vellu, Nazri akan juga diketuk polis pintu rumah mereka? Ini yang sedang diperhatikan rakyat. Manakala kes Eric Chia hanyalah opera wayang China sahaja kalau saksi utamanya Anwar Ibrahim tidak dipanggil ke kamar mahkamah!!! (Jangan lupa- Anwar adalah orang pertama mendedahkan di Parlimen akan kes rasuah itu yang kemudiannya diperam Tun!!)

18 lagi pelaku rasuah berprofil tinggi kini berdebak-debuk jantung mereka. Adrenalin memancut keluar tanpa mengikut jadual waktu dan ketika perlunya. Dua orang Menteri tetiba bersikap angkuh dan celupar di dada akhbar. Kak Pidah Gincu Tebal dan juga Abang Nazri Permit Teksi. RTC berdiam diri dengan mulut yang terkunci. Dato’ Rais Yatim telah pun menyatakan betapa akan ada lagi yang terseret, namun yang lainnya mungkin tidak kerana tiada bukti kukuh yang diperlukan. Apakah helah itu sebagai melepaskan individu tertentu ? Kita tidak tahu. Juga sudah ada petanda betapa brek sudah pun dikenakan apabila si Pembakar Jambatan tetiba muncul.

PM PakLah pada satu ketika kelihatan sudah terluka oleh strategi membasmi rasuahnya. Kalau mengikut skrip sedia ada, mahu ranap kabinet yang dipimpinnya. Mahu berundur, tentu sahaja rakyat kecil menjelirkan lidah. Mahu lajak ke depan, rakan kabinet pula berdehem sambil merenung tajam. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Kini Pak Lah sudah pun yatim piatu setelah kematian ibunya Datuk Kailan. PakLah menyedari yang ia tidak punya sokongan padu dari ahli kabinetnya yang merupakan segerombolan khadam setia Tun PM yang lalu. Di sini masalahnya bermula, malah telah pun terbukti dengan kemelut penentuan calon pilihan raya beberapa hari lalu. Masalah untuk menguis beberapa muka haprak telah terbantut. Senario baru yang menimbulkan tanda-tanya ialah penglibatan beberapa Sultan dan Raja yang telah campur tangan pula.

Kita berdoa agar PakLah tidak cepat melatah dan tersalah langkah. Kita juga mendoakan ia supaya selamat dan tidak terperangkap ke dalam konspirasi khianat seperti yang pernah dilalui Anwar Ibrahim. Kita bimbang jika PakLah menjadi habuan sekumpulan serigala ganas lapar yang diketuai dalang ghaib yang hampir semua kita tahu siapa. Perlu untuk mengingat semula betapa Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang jelas cuba membendung rasuah dan memperkasa BPR dengan bacaan Pindaan Undang-undang di Parlimen. Kini beliau sedang meringkuk di Sungai Buloh atas kesalahan yang tidak pun dilakukannya.

Rejim PakLah yang dilihat hanya sebagai penerus dasar-dasar haprak PM yang sudah belah, kini terhimpit pula oleh cerita makar syarikat Scope/Scomi milik anaknya Kamaluddin si biliana muda. Pihak berkuasa AS telah mendakwa syarikat itu terlibat dalam penyebaran peralatan pembinaan senjata nuklear yang tidak direstui mereka. Amerika meniup serunai dan Saintis Pakistan Dr Khan terus menari sambil menunjuk ke sana- sini sebagai pelanggan nuklearnya. Memang benar John (Joshua) Bolton telah mencadangkan di Singapura betapa Malaysia tidak terlibat, akan tetapi pihak tertinggi di Amerika sana tidak pun bersuara menafikannya. Maknanya secara rasmi Malaysia masih dilihat sebagai elemen dalam penyebaran penciptaan senjata nuklear.

Betul seperti kata setengah penulis rakyat yang berwibawa betapa Malaysia telah tersalah langkah seolah-olah tuduhan Amerika itu dituju kepada batang hidungnya. Apa yang berlaku adalah kesalahan dituju kepada Syarikat Scope milik anak Perdana Menteri. Itu sahaja. Semakin lama mereka memberi alasan demi alasan, semakin ketara seolah-olah ada sesuatu atau agenda yang mahu disembunyikan. Liputan akhbar dua muka surat baru-baru ini hanya berjaya menipu setengah orang yang mahu ditipu. Akan tetapi bagi mereka yang menganalisis dan suka membaca, cerita itu memang ada kekeliruannya. Ia hanya menceritakan apa yang rejim mahu rakyat tahu. Cerita bagaimana pengurusan syarikat itu berjalan dan penuh kerahsiaan tidak pula dihuraikan.

Memang benar apabila kes Scope terpampang di dada akhbar, sekali gus juga kisah mangsa KMM ciptaan PRdM dan Tun KT muncul kembali. Puluhan orang Melayu Islam telah ditahan hanya kerana berjihad di rantau orang yang tidak pun membahayakan keselamatan negara telah dianyam sedemikian rupa sehingga terperosok mereka di Kamunting. Keadaan menjadi sebaliknya apabila skandal penglibatan anak PM dalam penyebaran bahan loji nuklear terdedah. Kerajaan PakLah, PRdM dan media massa telah berganding bahu membersihkan nama syarikat bermodal RM100 juta itu. Kenapa agaknya? Sepatutnya Kamaluddin atau Pegawai tinggi syarikat terbabit sudah terperosok dalam lokap atau pun ISA dah menyerkap. Kenapa ada dua cara penyelesaian? Satu untuk rakyat kecil dan satu lagi Kanun Orang-orang Kaya dan Berkuasa??

Kata pepatah China- ‘Untuk menutup satu pembohongan, sembilan lagi kelentungan akan tercipta’. Ini lah yang disogok kepada media. Kenapa rakyat cuba dipesongkan dengan cerita mengarut syarikat tersebut? Kenapa media tidak memperbesarkan penyelewengan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat? Kita baru diberitahu bagaimana Kementerian Chua Jui Meng telah mengarah akhbar mengunci dan menutup berita penderitaan pesakit kronik seperti Biliary Atresia. Pertelingkahan beliau dengan penulis ruangan pojok di akhbar telah mendedahkan sikap sebenar Kementerian yang juga mewakili kerajaan PakLah. Kenapa agaknya? Untuk menjatuhkan kredibiliti PakLah mungkin?

Apalah gunanya membesar-besarkan cerita bagaimana ada Tabung Kebajikan dengan nilai RM100 juta, sedang rakyat yang malang terus menderita!? Lebih baik ada RM10 juta sahaja tetapi bantuan sampai kepada pesakit dengan kadar segera! Isu ini memang baik untuk dihebahkan kepada rakyat jelata untuk mereka melihat antara kaca dan permata. Supaya mereka tidak tersilap memilih dan tersalah pilih. Mungkin juga bantuan yang disalurkan itu tidak akan masuk ke kantung MenKes Chua Jui Meng. Bedebah ini memang terkenal sebagai seorang yang pentingkan diri sendiri.

Sepanjang hari mulai hari ini sehingga lah ke hari pengundian, kita akan dijual dengan berbagai janji yang mulus-mulus di gegendang telinga. Anehnya, apa yang dijual itu masih lagi berupa janji. Ada pula yang sudah basi sebagai janji juga dahulunya. Begitu lah selama ini rakyat telah ditipu oleh pemimpin kerajaan BN lalu secara berpasukan. Umno menipu orang Melayu, MIC pula menipu keturunan India manakala MCA pula jual kelentong kepada orang Cina. Itu lah hakikat yang berlaku untuk 47 tahun yang lalu.

Kini, majoriti rakyat semakin mengubah haluan politik dan persepsi mereka. Walau pun ianya dilihat perlahan, akan tetapi mungkin itu juga adalah model yang baik untuk negara. Siapa tahu perubahan yang terjadi dan secara senyap begitu akan meruntuhkan kerajaan zalim dan khianat spesis BN? Seperti mana juga anai-anai yang lemah gemalai dan lembut itu bisa meruntuhkan sebuah bangunan!

Ayuh……kita manfaatkan 100 hari kedua PakLah untuk terus menafikan 2/3 kerusi Parlimen dan merebahkan beberapa negeri lagi ke pangkuan BA!

Dr. Nologareng - 13.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN