Kebakaran Kuala Perlis- Apakah satu Sabotaj?
Oleh Dr Nologareng
Sudah lebih seminggu berlalu kejadian kebakaran perkampongan penduduk di Kuala Perlis yang menyebabkan kerugian harta benda sekitar RM14 juta dengan seribu orang kehilangan tempat kediaman. Kebakaran yang berlaku seawal jam 6 petang itu telah memenghanguskan lebih seratus buah rumah. Berbagai punca kebakaran telah disogok kepada rakyat Malaysia dan juga Seri Paduka YDP Agong yang menziarahi perkampongan malang itu.. Seketika dikatakan litar pintas, sesekali penggunaan dapur kayu dikatakan sebagai punca. Manakala yang terbaru dari sumber bomba mengatakan kebakaran berpunca dari sebuah kipas angin yang memercikkan api. Alasan sedemikian yang bersumber pula dari pehak berkuasa memang mampu memuaskan hati mereka yang menerima (mandom) sahaja. Apatah lagi mereka yang mempunyai kepentingan. Ini tentu menjadi modal untuk menahan dan menghentikan keberangan serta kemarahan orang ramai terutamanya penduduk di situ. Sekurang-kurangnya ada 300 pengundi di situ jika kita mengambil purata 3 orang sebuah rumah.

Kebanyakan mangsa kebakaran di tempatkan di sekolah berhampiran, dewan dan juga menumpang sanak saudara kampong berdekatan. Keinginan mereka yang mahu menggelidah tapak rumah untuk mencari saki-baki barangan berharga telah dikekang oleh pehak berkuasa yang sering memperkudakan anggota polis sebagai khadamnya. Tapak kebakaran yang begitu luas telah dihadang oleh kenderaan polis yang dihiasi tali pita yang mengatakan tanah itu hak kerajaan. Bersama itu juga terdapat ugutan untuk mendakwa mereka sebagai penceroboh jika melanggar arahan.

Jika ada pun bantuan yang diberi ia lebih kepada bertaraf melepaskan kentut Menteri Besar sahaja. Banyak derma dan bantuan orang ramai dihulurkan kepada mangsa melalui satu jawatankuasa yang sebenar nya adalah jentera politik juga. Para ketua dari berbagai lapisan samada YB, JKKK mahu pun para ular air nya berkeliaran menampakkan muka. Sumbangan orang-orang tertentu akan pula dijadikan modal memperkasa kedudukan mereka sebagai penguasa menjelang pilihanraya yang bakal tiba. Itu lah yang dibuat oleh MB Shahidan Kassim apabila bermegah dengan sumbangan RM50,000 oleh seorang teman kenalannya.

Yang lebih penting sebenarnya bagi mangsa di situ ialah rumah kediaman yang selesa bersesuaian dengan jumlah ahli keluarganya. Apakah mereka menumpukan perhatian kepada masalah itu sebagai satu penyelesaian? Memang malang sebenarnya bagi mangsa kebakaran itu yang selama ini dijadikan suruhan dan khadam sahaja oleh kerajaan negeri itu.
Bagi pemimpin negeri, mereka hanyalah sekumpulan manusia yang boleh dipecacai dan disogok dengan murah bagi mencengkam kuasa. Mereka tidak pun memikirkan satu penyelesaian yang berpatutan dan menguntungkan bagi penduduk di situ yang bukannya pendatang haram. Kebanyakan penduduk di situ dan kampong tradisi persekitarannya adalah peneroka dan penduduk asal yang sudah 4 hingga 7 keturunan bertapak. Nenek moyang mereka telah lebih dahulu berada di situ berbanding Umno/Bn.

Secara tradisinya juga ramai penduduk di situ adalah penyokong tegar UmnoBn walau pun sudah ada angin perubahan dengan ramai ahli Agama, cerdik pandai serta golongan muda yang mencanggahi arus kebodohan itu. Kematangan sudah bertapak di situ sebagai bara api untuk perubahan. Kemarahan dan ketidak puasan hati mereka memang berasas sekali. Ia bertitik tolak juga dari fakta betapa selama ini kerajaan Umno/Bn telah memerintah negeri, kenapa nasib mereka dibiar hanyut sehingga digelar penempatan haram apabila kampong mereka terbakar?? Apakah agaknya perasaan dan naluri mereka rasai apabila dengan celuparnya MB Shahidan Kassim telah menggelari kampong tradisi kebanggaan mereka selama ini sebagai penempatan haram? Apakah pernah Shahidan Kassim mengeluarkan perkataan itu ketika datang mengendeng merayu undi semasa pilihanraya dahulu??

Angin perubahan dan pembangunan bertiup kencang selari dengan perubahan geo-ekonomi dunia dan negara. Itu jugalah yang telah menimpa Pekan kecil di Perlis itu. Kuala Perlis selama ini adalah merupakan laluan utama untuk ke Pulau Langkawi sehinggalah Kuala Kedah membuka laluan baru. Namun ramai pengguna bot ekspress ke Pulau Lagenda itu lebih suka menggunakan laluan Kuala Perlis kerana laluannya kurang berangin dan gelora yang mampu memuntahkan isi perut. Ia juga terkenal dengan laksa Kuala Perlis dan ikan bakar pada malam harinya. Menurut seorang teman yang sering ke sana atas urusan perniagaannya, Kuala Perlis memang sebuah destinasi yang mengasyikkan untuk kaki makan. Makanan dan kuih –muih yang dijual memang menepati cita-rasa tunas perasa pada lidah serta murah pula. Menurut teman itu lagi, ianya hanya boleh dinikmati di perkampongan seberang Sungai Perlis di situ. Manakala di seberang pekan sini, perniagaan lebih banyak dikendalikan pendatang.

Jika pembinaan bangunan baru serta kewujudan taman perumahan mahu dijadikan alasan pembangunan, memang Kuala Perlis jauh berubah. Pertamanya deretan gerai makanan di tepi sungai yang dikenali sebagai Gerai Mara sudah pun tiada. Dahulunya terkenal dengan Restoran Yusoff Bee, Haji Mohd Nor serta Restoran PakLong. Sejak berpindah ke tapak Pasar Lama, ianya tidak lagi semeriah dulu. Jeti untuk memunggah hasil tangkapan telah dibina Jeti LKIM setelah berlaku satu kebakaran sedikit masa dahulu (ini pun ada ceritanya). Manakala laluan ke Kompleks Kastam di tepi sungai telah dibina satu mercu tanda yang digelar Konkos yang kini sunyi dipenuhi kambing serta ketulan taiknya yang menjadi lambang kebodohan pemimpin negeri tersebut. Sebuah Jeti baru untuk laluan bot ekspres ke Langkawi telah dibina yang mana sering menjadi bahan ketawa masyarakat setempat oleh kerana masalah tambor atau selut yang sering termendap sehingga menjadikan pergerakan bot ekspres tercungap-cungap. Menurut sumber di sana, ia disebabkan oleh pembinaan jeti LKIM yang ditambak terus tanpa menggunakan pembinaan bertiang yang akhirnya menyebabkan mendapan berlaku. Pertimbangan sebegitu tidak pernah diambilkira kerana pehak berkuasa tidak perlu diberi nasihat atau menerima pandangan dari rakyat kecil.

Taman-taman perumahan juga berkembang dengan mengorbankan sawah dan bendang. Beberapa penempatan agensi kerajaan dibina. Pendek kata pembangunan yang dibuat telah menenggelamkan identity dan jati diri masyarakat setempat. Tapak Nat (pasar minggu) sudah menjadi medan selera. Sekolah Kebangsaan di situ telah menukar padang kecil yang ada untuk riadah sebagai sumber tabung PIBG dengan membina garaj parking bas untuk sewaan semasa cuti sekolah. Dengan tanah yang terhad, penempatan penduduk kini menjadi sasaran untuk pembangunan. Dari sini lah masalah bermula.

Pasca kebakaran yang melanda, cakap-cakap di kedai kopi dan perbualan harian telah menimbulkan satu macam kesedaran betapa wujud elemen hitam yang memulakan kebakaran. Apatah lagi apabila melihat bagaimana reaksi dan cara kerja bomba dalam menangani kebakaran itu. Sumber maklumat kita ketawa berdekah apabila membaca laporan akhbar yang mengatakan kipas elektrik sebagai punca. Beliau menarik perhatian kita kepada kejadian kebakaran di jeti lama dahulu yang memberi laluan kepada pembinaan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia yang sungguh pelik dan anih pengurusannya. Sebahagian besar penduduk setempat sudah mula meragui kerajaan yang ada.

Cara kerja anggota bomba dan kelewatan mereka tiba menyebabkan ramai orang mengangkat kening menanda curiga. Semasa kebakaran terjadi, angin bertiup kencang dari arah Timur. Apa yang mendatangkan kehairanan ialah, anggota bomba bertumpu di kawasan atas angin iaitu berada di arah angin bertiup. Seolah-olahnya mereka menghimbau angin supaya meratah apa sahaja yang menghadang laluannya. Ini dikira satu pendekatan yang salah, lain lah jika mereka mempunyai arahan tertentu supaya perkampongan itu menjadi padang jarak padang tekukur!  Sepatutnya mereka cuba meminimakan kawasan kebakaran dengan membentuk satu zon buffer sebagai hadangan bagi api merebak. Seperti membakar kawasan jerami padi, biasanya kawasan sempadan di bakar dahulu supaya pembakaran tidak merebak selepas itu. Itulah kaedah yang sepatutnya anggota bomba lakukan.

Namun realitinya, kebakaran itu seolah-olah satu rezeki yang tidak terduga kepada pemaju dan akomplisnya untuk membangunkannya sambil mengaut untung. Bukan lagi menjadi rahsia tanah itu menjadi idaman pemaju dan kerajaan untuk dibangunkan. Beberapa rundingan dan perbincangan telah menemui jalan buntu apabila tuntutan penduduk dirasa keterlaluan dan tidak menguntungkan pemaju. Kini bola sudah di kaki mereka dengan penduduk dalam keadaan tempang dan tidak ada kuasa tawar- menawar lagi.

Apakah benar seperti dakwaan setengah pehak yang mengatakan kebakaran itu akibat sabotaj? Apakah kesannya dalam pilihanraya akan datang? Bagaimana pula sikap penduduk di lain-lain perkampongan tradisi di situ? Kenapa selama ini wakil rakyat Umno tidak pernah mengusahakan agar penempatan kampong tradisi di situ diberi geran melalui pindaan undang-undang tanah?

Banyak sebenarnya Shahidan Kassim dan gerombolannya perlu jawab kepada rakyat.

Dr. Nologareng - 29.01.2004 (tanpa suntingan)

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN