Berimam Bemakmum Pula Mereka Iye!
Oleh Dr Nologareng
Semenjak pengumuman Najib sebagai TPM, media dan jentera yang dikuasai Umno telah menjaja setiap hari betapa PakLah dan Najib adalah pasangan serasi macam kuku dengan isi. Apa yang dilakukan mereka kini adalah asap perabun kepada pertelingkahan yang terbit sejak PakLah enggan dahulunya memperakukan pilihan TKT Mahathir itu. PakLah sedar betapa selagi ia bukan Presiden Umno, jawatan PM itu hanyalah seperti nasib abu di atas tunggul kayu sahaja, datang angin beralihlah ia. Pada dasarnya seorang Presiden Umno adalah juga merupakan seorang Perdana Menteri dalam negara kita. Di sinilah kunci kuasa yang sebenarnya. PakLah tahu bahawa ia belum lagi menjadi Presiden Umno. TKT Mahathir pada jasadnya sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri, akan tetapi cengkamannya terus berakar serta menjadi penentu apa sahaja perubahan yang mahu dibuat Abdullah. Bedebah itu cuma tidak berjawatan rasmi seperti Lee Kuan Yew sahaja.

Rombakan kabinet yang tidak pun melibatkan pengguguran beberapa tunggul buruk serta memasukkan pula seorang loyalis TKT Mahathir sebagai penjaga Khazanah negara, tidak menjanjikan apa-apa kepada rakyat yang amat berharap agar PakLah membawa perubahan. Janji manis bersari oleh PakLah untuk membuat perubahan serta menghapuskan rasuah hanyalah umpan tawar seperti mana penternak menawar kambing seranting daun semata-mata untuk dibawa ke tempat sembelihan. Itu sahaja.

Perang antara PakLah dan Mahathir dalam melantik calon TPM tidak lagi menjadi rahsia dahulunya. Namun akhirnya PakLah tewas juga kepada Presiden seumur hidup parti UMNO tajaan TKT itu. Mungkinkah ada ugutan dan kilasan tangan sehingga PakLah terpaksa menggadaikan kabinetnya kepada kehendak Mahathir adalah satu persoalan yang menarik. Apakah helah ekonomi dan sabotaj kewangan menjadi modal ugutan TKT Mahathir? Satu hari nanti kisah ini akan terdedah juga.

Pelantikan Najib yang pernah tercemar dengan beberapa skandal moral itu memang mengocak trankuiliti dalam Umno. Keheningan dan ketenangan yang cuba dirasai dengan berambusnya Mahathir kini bergelora semula. Ini memang amat dirasai oleh ahli bawahan, malah turut diketahui oleh pemimpin atasannya. Belum pun reda dan hilang kesan gegaran oleh penyingkiran dan pengaiban yang dikenakan ke atas Anwar Ibrahim, Umno bergolak lagi. Apa yang dibuat oleh media dan juga lawatan PakLah dan Najib ke seluruh negara adalah untuk memperbaiki kerosakan yang timbul.

Manakala media pula memainkan peranan betapa tiada perpecahan di kalangan pemimpin atasan terutamanya tiga Naib Presidennya. Masing-masing menunjukkan kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi. Yang berjawatan menteri akan memuji, apatah lagi yang menggigit jari seperti TS Muhammad Mohd Taib. Lebih menarik apabila beliau yang terkenal dengan kisah menyeludup wang 17 kilogram ke Australia itu turut menggunakan analog imam dan makmum dalam sembahyang sebagai alasan ketaatan. Lalu peranan masing-masing cuba ditekankan demi memperkukuh dan memperkuatkan parti. Matlamat mereka hanya satu- yakni bagi menghadapi pilihan raya. Mereka tidak sanggup menghadapinya dalam keadaan yang berkecamuk seperti sekarang.

Analog imam dan makmum ini memanglah satu modal Umno yang terkini. Kita masih ingat pada hari-hari pertama PakLah menjadi PM, gambar beliau mengimamkan sembahyang sudah menjadi bahan jajaan. Cuma belum ada yang membingkaikan untuk dibuat pelaris perniagaan seperti golongan peniaga Melayu yang menggunakan gambar Almarhum Sultan Badlisah di Kedah. Mike Tyson begitu ghairah menekankan konsep perpaduan dan ketaatan itu sehingga telah menjadikan Selangor sebagai contoh yang kini diimamkan oleh Perasuah Terkemuka Dr Khir Toyol. Maka analog itu sudah menjadi seperti satu lelucon pula. Apakah rakyat perlu taat dan mengikut sahaja pemimpin yang memang sah bergelumang dengan rasuah?

Semenjak menjawat jawatan PM, PakLah secara berkala telah menimbulkan soal rasuah dan usaha kerajaan pimpinannya untuk menangani gejala itu. Berselang-seli ia timbul di celahan tragedi jalan raya, kebakaran mahupun kes pembunuhan yang berleluasa. Dengan pengaruh akhbar, cakapnya itu digembar-gemburkan seolah-olah sehingga hari ini belum ada rasuah dalam negara atau sekurang-kurangnya ia dalam bentuk kecil yang dilakukan oleh pegawai kerajaan dan penguatkuasa sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Malangnya bagi rejim yang baru mendapat TPM baru, kerana tajuk rasuah dan seumpamanya hanya akan membidas untuk kena atas batang hidung sendiri. Siapa yang tidak tahu kes rasuah Mahathir, Rafidah Aziz, Rahim TC dan lain-lain bapa menteri? Media alternatif telah menyiarkan siap dengan bahan bukti. Malah telah diberitahu dalam ceramah, kaset, VCD dan sebagainya. Rakyat masih menunggu apa agaknya yang akan dibuat PakLah selain daripada bercakap saja? Rakyat sudah meluat dengan retorika ala Tun Kepala Taik. Rakyat dan Orang Melayu tidak pernah lupa.

Bersamaan dengan bersaranya TKT Mahathir, pemimpin muda Barisan Alternatif telah sekali lagi membuat laporan polis akan isu rasuah PM dan kroninya. Apakah yang sudah dibuat PakLah selain daripada menghayunkan kerandutnya sahaja? Retorika adalah kesinambungan TKT Mahathir juga.

Orang Melayu wajar bertanya ke manakah mereka mahu dibawa? Kita nampaknya bukan berada di persimpangan akan tetapi berada dalam bulatan sebuah jalan. 22 tahun TKT berkuasa, orang Melayu sudah menjadi bercempera dalam segala perkara. Memang sedih dan malang kerana bangsa lain mentertawakan orang Melayu dek kerana sikap dan gelagat seorang petualang. Orang Melayu masih diajak untuk memuji sedangkan bangsa lain sudah memindahkan wang ke luar negeri. Mereka juga digalakkan bersyukur kepada seorang bedebah bertaraf pisau cukur.

Selain daripada Najib, melonjaknya seorang lagi keturunan mamak TS Mohamad Yakcop memang suatu yang patut diawasi. Mereka yang berada di bidang ekonomi dan kewangan harus memantau musibat yang seorang ini. Jika PakLah begitu berazam sangat mahu menghancurkan institusi rasuah dalam negara, sepatutnya loyalis TKT ini tidak diambil-kira semasa ia mengarap kabinetnya. Kenapa perlu PakLah membawa masuk seorang lagi bedebah yang pernah menyebabkan negara kerugian RM30 Billion sedikit masa dahulu. Kerana kerja kotornya yang tidak diberitahu kepada Gabenor BNM ketika itu, Datuk Jaafar Hussein, Gabenor telah mengambil tanggungjawab untuk bersara. Manakala TS Mohd Nor telah diberi surat berhenti sambil arahan supaya tidak lagi terlibat dengan institusi kewangan semasa Anwar berada di situ. Apabila sahaja beliau dinaikkan semula oleh TKT Mahathir, kita patut menyedari betapa mereka berdua adalah rakan akomplis dalam menjahanamkan ekonomi negara.

Jika sudah begitu buruk dan kotor latar belakangnya, kenapa pula media massa dan PakLah sanggup berbohong di khalayak betapa pilihannya itu tepat bagi menjungkit kembali ekonomi negara yang tenat? Kenapa ia digilap sebagai seorang tokoh ekonomi yang hebat dan super tanpa menyebut langsung jumlah wang negara yang lebur? Lebih melucukan apabila akhbar kongkongan mereka telah bermantera yang Najib seorang yang berkebolehan dalam ekonomi, malah dikatanya sebagai tokoh! Tidakkah haru cerita sebegitu?

Apa yang cuba ditenun oleh Muhd Taib adalah seumpama seekor lelabah yang bersusah-payah membaiki sarangnya yang telah hancur dibolos angin badai. Jika pun ia berjaya menenun sarang itu, ia tidak lagi kuat seperti mana asalnya. Lebih mengerikan sekiranya sarang itu sendiri menjadi kuburan bagi si penenunnya. Apa tidaknya, jika kita mengambil tahu dan memahami dengan tepat apa yang berlaku kini dalam negara kini. Kita seharusnya jangan lupa akan catatan sejarah kerana daripada situ banyak yang boleh dipelajari dan boleh memandu kita untuk melakar masa hadapan.

Apabila memperkatakan tentang sejarah, kita dengan segera dapat mengingati kisah seorang pembesar negara yang ditahan Imigresen Australia kerana cubaan menyeludup sejumlah mata wang yang hanya diukur dengan penimbang sahaja. 17 kilo wang asing memang besar nilainya. Akhirnya beliau terlepas setelah berlakon sebagai seorang yang tidak fasih berbahasa Inggeris! Kemudiannya negeri yang diketuainya dahulu, kini sudah pula mempunyai seorang ketua baru yang amat terkenal dalam pengamalan rasuah sehingga digelar penulis Marhaen sebagai Pengamal Rasuah Terkemuka. Dan orang ini yang Muhd Taib seru supaya dianggap sebagai imam. Mungkin elok untuk mereka berdua berimam dan bermakmum sesama sendiri kerana cita rasa dan jatidiri yang sama. Akan tetapi janganlah pula diajak rakyat bersama-sama menjadi bodoh dan jahil seperti mereka.

Jika kita melihat kembali ke belakang selama 22 tahun lalu, kita pasti dapat meneka siapakah Imam Besar mereka. Tanpa diragui lagi. Anda tentu dapat mengagak siapa gerangannya.

Dr. Nologareng - 26.01.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN