Farewell Dinner Yang Songsang
Untuk menghukum Pak Lah totally lembik mungkin agak keterlaluan tetapi tetap ada kebenarannya.

Farewell dinner (jamuan perpisahan) yang sepatutnya dianjurkan oleh Parlimen Malaysia untuk menobatkan bekas PM Tun Mahathir sebagai Wira Negara sempena persaraan mengejutnya itu telah dua kali dibatalkan oleh Pak Lah.

Kali pertama bulan lepas kerana alasannya Pak Lah terlibat dengan program di Melaka. Kali kedua tiga hari sebelum 6 Januari lalu.

Mungkin pembatalan tersebut disengajakan oleh Pak Lah sebagai tanda awal beliau sedang bersiap untuk melepaskan diri daripada kongkongan Mahathir.

Kelantangan suara Pak Lah untuk membanteras rasuah, penangguhan projek mega Landasan Keretapi Berkembar dan penyenaraian FELDA di BSKL serta kenakalan Pak Lah mengusik beberapa orang `denak` Mahathir, boleh diandaikan Pak Lah sedang mengasah parang untuk memancung kroni bekas PM keempat itu.

Lihat sahaja bagaimana beraninya menimbulkan semula isu lama kes pembunuhan Mustakizah untuk mengertak Megat Joned Ketua Penerangan Umno Malaysia. Siapa dia Megat Joned kalau bukan sebagai `tangan kanan` Mahathir.

TS Nazeri Aziz juga cuba diusik oleh Pak Lah, manakala Dolah Kok Lanas pula di antara yang terawal KO hasil tumbukan padu Pak Lah.

Mahathir kelihatan membenarkan Pak Lah mengasah taringnya setajam yang boleh buat seketika, kerana orang tua itu sudah berkirar tidak akan menganggui penggantinya sebaik-baik saja dia bersara.

Itu ikrar seorang yang bernama Mahathir tetapi siapa yang boleh mempercayainya kerana sejarah telah merakamkan bahawa segala cakap-cakap Mahathir itu,haruslah ditafsir dengan maksud yang berlawanan. Jika dia kata tidak maksudnya `ya` jika dia kata `ya` maksudnya tidak.

Lihat saja betapa pada 31 Ogos 1998, Mahathir bagai nak gila meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Anwar Ibrahim adalah satu-satu pengganti. Selang beberapa hari sahaja selepas itu Anwar disingkir dan dihina semahu-mahunya. Sampai sekarang Anwar disiksa seakan-akan mantan TPM penjarah paling berbahaya.

Nampaknya Pak Lah terlepas pandang siapa Mahathir sebenar. Kelembapannya melewat-lewatkan perlantikan Muhyiddin sebagai TPM memberi ruang yang cukup luas untuk Mahathir menabalkan Najib Tun Razak sebagai TPM, meskipun itu bukan kehendak zahir dan batin Pak Lah.

Farewell Dinner pada malam 6 Januari 2003 yang sudah dibatalkan oleh Pak Lah tiga hari sebelumnya, tidak dipedulikan langsung oleh Mahathir.

Sebaliknya orang tua itu sendiri telah mengarahkan supaya semua Menteri Kanan dan Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan pada malam berkenaan hadir ke Seri Perdana Putrajaya yang belum dikosongkannya walau sudah lebih dua bulan hilang kelayakan menjadi penghuninya.

Akhirnya terbukti sudah Farewell Dinner yang sepatutnya dianjurkan oleh Parlimen Malaysia itu bertukar menjadi majlis anjuran Mahathir sendiri. Pak Lah dan para pengikutnya terbongkang habis apabila Mahathir mengisytiharkan Najib Tun Razak sebagai TPM baru.

Menurut sumber yang sahih, Mahathir telah memanggil Pak Lah dan Najib berbincang selama 20 minit dibilik bacaan Seri Perdana sebelum majlis bermula.

Ertinya orang tua yang hampir mencecah usia 80 tahun itu,hanya memerlukan dua puluh minit untuk meleburkan hasrat terpendam Pak Lah yang mahukan Muhyiddin sebagai TPM sejak 19 bulan lalu .

Insiden yang amat menghancurkan hati kebanyakkan penyokong Umno terutamanya yang mahu melihat `reform` berlaku didalam parti itu jelas memperlihatkan betapa Mahathir masih belum mahu berhenti didalam ertikata sebenarnya.

Pak Lah yang telah diprojek dengan imej Pak Imam telah dimalukan oleh Mahathir di hadapan rakyat dan dipentas global.

Kesian…. Pak Lah hanya baru mau mengacah memerangi rasuah serta mengusik sedikit ini dan itu apa yang ditinggalkan oleh bekas bossnya, tetapi Mahathir lebih laju bertindak.

Farewell Dinner yang lazimnya diadakan bagi meraikan kepergian seseorang yang sudah lama berkhidmat, tiba-tiba ditukar bentuk kepada majlis mengalu-alukan kepergian orang yang baru datang. Tentunya orang yang baru datang itu Pak Lah sendiri, bukan orang lain!

Kalau ada orang yang mengatakan Pak Lah adalah topeng Mahathir, rasanya tiada apa halangan untuk saya menyetujuinya kerana kesongsangan Mahathir mungkin tidak dapat diperbetulkan lagi sehingga akhir hayatnya.

Terserah kepada rakyat untuk memberhentikan kesongsangan itu sebelum ia menjadi `agama dan budaya` bangsa pada masa hadapan. Bertindaklah sekarang atau orang Melayu Islam akan menyesal buat selama-lamanya.

- Dolah Dagang  - 15.01.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN