Parti Keadilan Bahagian Paya Besar, Pahang DM Akan Di Bubar?

Assalammualaikum WBT dan Salam Perjuangan,

Spekulasi menyatakan Parti Keadilan Bahagian Paya Besar akan dibubarkan heboh diperkatakan di kalangan orang ramai di sini sejak kebelakangan. Hujah ini diperkuatkan lagi dengan pelantikan Sdr. Shaari Sungip sebagai calon kerusi Parlimen Paya Besar.

Shaari, yang juga bekas Tahanan ISA dan Ahli MPT Keadilan dikatakan mendapat mandat pucuk pimpinan Keadilan untuk bertanding di Parlimen Paya Besar bagi menentang Menteri Pembangunan negara Dan Pembangunan Masyarakat iaitu Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

Kerusi Parlimen Paya Besar telah dimenangi oleh Siti Zaharah dalam pilihan raya umum 1999 apabila menewaskan Sdr. Wan Jusoh Wan Kolok dari Keadilan ketika itu. Menurut maklumat yang Cucu terima keputusan meletakkan Sdr. Shaari Sungip sebagai calon parlimen di Paya Besar, amat mengecewakan sebahagian besar Ahli Jawatankuasa Keadilan Bahagian Paya Besar. Ini kerana keputusan meletakkan Sdr. Shaari, dibuat tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Sdr. Wan Jusoh selaku Ketua Bahagian Keadilan Paya Besar.

Lebih mengecewakan lagi, Cucu mendapat maklumat sebelum ini Sdr. Wan Jusoh telah diwar-warkan sebagai calon Keadilan Paya Besar. SB Cucu di Kuantan melaporkan, pelantikan Sdr Wan Jusoh yang lebih dikenali sebagai Ayah Wan di kalangan ahli Keadilan telah mendapat restu dari MPT , dan perkara ini disampaikan sendiri oleh Sdr. Ezam Mohd Noor ketika pertemuan dengan Ayah Wan di sebuah warung di hadapan Kem TUDM Batu 10 Kuantan pada 9 Mac 2004 (Kira-kira pukul 1.30 pagi). Pertemuan tersebut turut disertai oleh Sdr. Ariffin Ismail selaku Setiausaha dan Sdr. Mohd Shukri Mohd Ramli selaku Ketua Pemuda Keadilan Bahagian Paya Besar.

Menurut SB Cucu lagi... Ezam ketika itu dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur selepas mengadakan ceramah umumnya di Pekan. Dalam pertemuan selama lebih kuran satu jam itu, Ezam secara terang-terangan menyatakan Ayah Wan adalah Calon Parlimen Paya Besar dan Sdr. Shukri adalah Calon DUN Lepar bagi Keadilan. Beliau juga sempat meminta gambar poster Ayah Wan untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur pada malam tersebut.

Akibat daripada kenyataan Sdr. Ezam itulah , menguatkan lagi hujah yang mengatakan Ayah Wan adalah calon Parlimen Paya Besar. Bagi pihak Keadilan Paya Besar sendiri, mereka telah membentuk satu jentera khas pilihan raya untuk bertugas bagi membantu Keadilan Paya Besar merampas kerusi dari BN dalam pilihan raya umum nanti. Ayah Wan sendiri khabarnya telah mengeluarkan wang sendiri sebanyak RM15,000 untuk menanggung segala kos yang berkaitan seperti penyediaan bendera, pondok UPU serta lain-lain.

Justeru itu adalah tidak wajar secara tiba-tiba pucuk pimpinan Keadilan menyenaraikan Sdr. Shaari Sungip untuk bertanding di kerusi parlimen tersebut tanpa merujuk atau berunding terlebih dahulu dengan Ayah Wan. Pucuk pimpinan seolah-olah mencabar kewibawaan Ayah Wan yang telah sekian lama berjuang untuk menggerakkan Keadilan Bahagian Paya Besar khasnya dan negeri Pahang amnya. Untuk makluman semua, Ayah Wan adalah seorang pemimpin Keadilan yang amat disegani di Pahang, bukan sahaja di kalangan rakan-rakan MPT, ahli Keadilan, malahan juga puak-puak UMNO sendiri.

Beliau juga adalah merupakan perintis jalan sehingga terwujudnya Keadilan di Pahang. Semua orang di sini masih ingat, ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO dulu... rumah Ayah Wan lah yang menjadi persinggahan DSAI dalam siri ceramah REFORMASI nya di Pahang. Hingga ke hari ini, perbicaraan kes perhimpunan haram yang melibatkan DSAI di rumah masih belum selesai lagi. Ayah Wan juga adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan amat disenangi oleh masyarakat di kawasan Paya Besar dan sekitarnya. Beliau sanggup bersengkang mata semata-mata untuk menampal poster, menaikkan bendera, mengeluarkan belanja sendiri ketika diadakan siri ceramah umum yang melibatkan pemimpin Keadilan sama ada di Paya Besar atau Kuantan sebelum itu. Sikap seperti ini jarang Cucu lihat di kalangan pemimpin-pemimpin muda hari ini.

Langkah pucuk pimpinan Keadilan melantik "Orang Luar" untuk bertanding di kerusi Parlimen Paya Besar sebenarnya satu keputusan yang tidak rasional dan kurang profesional bagi sebuah parti yang berjuang kononnya untuk menegakkan keadilan. Walaupun ada sesetengah ahli MPT yang mempertikaikan kredibiliti Ayah Wan selama ini, terutamanya imej, latar belakang serta personaliti beliau. Namun pucuk pimpinan harus sedar, Ayah Wan mempunyai pengaruh dan kekuatan sendiri di kawasan Parlimen Paya Besar.

Ayah Wan juga khabarnya amat kecewa dengan sikap Pn. Pauziah Salleh, Ketua Wanita Keadilan yang juga Ketua Bahagian Kuantan yang khabarnya memainkan peranan hingga terlucutnya nama Ayah Wan dari senarai Calon Parlimen Paya Besar.

Cucu merasakan apa yang dilakukan oleh Biro Politik Keadilan serta pucuk pimpinan yang secara tiba-tiba meminggirkan Ayah Wan, serta meletakkan calon lain sebagai Calon Parlimen Paya Besar pasti akan mendapat tentangan yang hebat di kalangan para penyokong Keadilan Paya Besar sendiri. Desas-desus yang Cucu terima daripada SB Cucu di Kuantan, Keadilan Paya Besar akan dibubarkan bila-bila masa dari sekarang. Risikan yang Cucu peroleh, semua ahli Jawatankuasa telah bermesyuarat pada 11 Mac 2004 yang lalu di rumah Ayah Wan untuk membincangkan soal pembubaran Parti Keadilan Nasional Paya Besar.

Semua AJK Bahagian serta penyokong setia Keadilan juga khabarnya akan bertindak keluar dari parti Keadilan Nasional. Apakah berita ini benar atau sebaliknya sama-sama kita nantikan ?

Tamparan hebat menanti Parti Keadilan Nasional sekiranya benar Keadilan Bahagian Paya Besar akan dibubarkan. Ini ditambah lagi dengan isu Lokman vs Ezam yang masih menjadi tanda tanya dan tidak berkesudahan sehingga ke hari ini. Cucu difahamkan juga Pemuda Keadilan Paya Besar sedang dalam ura-ura untuk menyampaikan memorandum supaya mendesak MPT Keadilan mengkaji balik tindakan pemecatan Sdr. Lokman Nor Adam sebagai MPT dan ahli Keadilan.

Pemecatan Sdr. Lokman difahamkan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. Memorandum tersebut antara lain khabarnya mendesak supaya satu Suruhanjaya Bebas " Bukan Polis Siasat Polis " ditubuhkan bagi menyiasat segala dakwaan dan akuan bersumpah yang dibuat oleh Sdr. Lokman terhadap Ezam. Kiranya benar ada penyelewengan dana seperti yang dinyatakan maka Sdr. Ezam, Sdr. Azmin dan Sdr. Khalid Jaafar juga perlu menerima nasib yang sama seperti Lokman. Kita tunggu nanti laporan Cucu yang berikutnya tentang perkara ini.

Kepada semua pejuang Keadilan, Cucu ucapkan selamat berpilihan raya. Apalah guna Keadilan sekiranya Keadilan sendiri tidak berlaku ADIL terhadap anggota partinya sendiri. Salam perjuangan dari Cucu... "Kalau Takutkan Risiko Usah Bicara Soal Perjuangan...Perjuangan Itu Harus Diteruskan !!!! Lawan tetap Lawan"

CUCU MAT KILAU
Pahang Darul Makmur

Terkini:
Assalammualaikum WBT dan Salam Perjuangan,

Berita mengenai kekecohan yang melanda Keadilan Bahagian Paya Besar semakin heboh diperkatakan oleh penyokong BA di Kuantan. Rata-rata penyokong BA dari PAS dan Keadilan yang ditemui menyatakan perasaan sungguh terkejut dengan tindakan pucuk pimpinan Keadilan yang mengeluarkan nama Sdr. Wan Jusoh Wan Kolok dihari-hari terakhir pencalonan.

Langkah Biro Politik Keadilan menamakan Sdr. Saari Sungip sebagai calon Parlimen Paya Besar sebenarnyer jelas mendapat tentangan hebat dikalangan Ahli Jawatankuasa Keadilan Bahagian Paya Besar, hingga timbul desas-desus mengatakan Parti Keadilan Paya Besar akan dibubarkan sedikit masa lagi. Apakah benar perkara ini ?

Namun bagi Cucu, langkah meletakkan Sdr. Saari Sungip sebagai calon Parlimen Paya Besar adalah satu langkah bijak yang diambil oleh Keadilan, memandangkan Saari adalah seorang tokoh politik yang lebih Islamik dari Wan Jusoh. Seperti apa yang terjadi kepada Syed Hussin di Kota Bharu, dimana TN Guru Nik Aziz mahukan tokoh yang islamik sebagai calom parlimen di situ untuk mendapat sokongan padu dari kalangan jentera dan penyokong PAS . Maka apa yang berlaku di Paya Besar juga adalah hampir sama.

Sdr. Wan Jusoh kabarnya tidak menunjukkan imej yang dapat menarik sokongan jentera pilihanraya dan penyokong PAS berbeza dengan Sdr. Saari Sungip yang lebih berperwatakan menarik serta lebih Islamik. Saari juga adalah bekas orang kuat Jemaah Islam Malaysia (JIM). Maka tidak hairanlah kewibaan beliau dapat diterima oleh para pengundi di Parlimen Paya Besar.

Cucu juga amat terkejut dengan berita kekecohan yang berlaku di Paya Besar. Keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan Keadilan seharusnya patut diterima dengan hati terbuka oleh AJK Keadilan Paya Besar terutamanya Ketua Bahagiannya Sdr. Wan Jusoh Wan Kolok. Cucu juga mendapat maklumat kabarnyer salah satu punca Wan Jusoh tidak terpilih sebagai calon Keadilan Paya Besar pada saat-saat akhir kerana MPT mendapati hubungan rapat Wan Jusoh dengan Sdr. Ruslan Kassin masih terjalin hingga saat ini. Ini menyebabkan pucuk pimpinan meragui status perjuangan Wan Jusoh.

Apa pun Cucu berharap agar para penyokong dan jentera pilihanraya Keadilan serta PAS di kawasan Parlimen Paya Besar terus berusaha untuk merampas kerusi tersebut dari BN yang sebelum ini diwakili oleh Menteri Perpaduan Negara Dan Pembangunan Masyarakat , Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman.

CUCU MAT KILAU
Pahang DM
13.03.2004
cmk_pahang@yahoo.com - 13.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN