Wisma Anwar Ibrahim di N.Sembilan Telah Dilancarkan

Oleh Cikgu Bard

Wisma Anwar Ibrahim di No 4 & 5, Taman Sri Puteh, Jalan Tok Ungku, Seremban, Negri Sembilan telah dilancarkan pada 14 April 2004 yang lalu oleh Anwar Ibrahim di mana tandatangan beliau telah dibawa oleh isterinya (Dr. Wan Azizah Wan Ismail) untuk diletakkan pada papan asas pelancaran bangunan tersebut.

Peristiwa itu merupakan satu sejarah kerana inilah pertama kali dalam sejarah negara mungkin dunia apabila sebuah bangunan diberikan nama dan dirasmikan oleh seorang yang bergelar banduan. Dan apa yang lebih bermakna apabila perasmian tersebut bersempena dengan tarikh di mana beliau telah dijatuhkan hukuman 6 tahun lalu.

Ini telah membuktikan bahawa rakyat sama sekali tidak pernah menerima hukuman zalim yang dikenakan ke atas beliau. Perbagai usaha telah dilakukan oleh pemerintah untuk membuat rakyat lupakan Anwar tetapi ia satu yang mustahil.

Wisma Anwar ialah dua buah bangunan kedai 2 tingkat yang menempatkan Pusat Aktivis Gerakan Reformasi Malaysia (PAGER). Pusat ini bakal menjadi tempat aktivis reformasi dan penyokong menjalankan aktiviti dan membuat rujukan. Ini merupakan satu usaha untuk memartabatkan dan mempergiatkan usaha mendidik rakyat mengenai keperluan reformasi di negara ini.

Wisma ini belum siap sepenuhnya. Tingkat bawah bangunan ini menempatkan dua dewan kecil yang setiap satunya boleh memuatkan kira-kira 250 satu–satu masa namun menjadi perancangan kami 3 bulan dari sekarang jika mempunyai dana yang secukupnya dewan ini akan dipecahkan menjadi satu dewan dengan diberi nama dewan pejuang (Fighters Hall) yang mampu memuatkan 550 orang dalam satu–satu masa.

Tingkat atasnya pula akan menempatkan bilik mesyuarat, bilik kuliah, ruang pejabat yang menempatkan Sekreteriat PAGER, PAGER BUSINESS CENTER (PBS), PUSAT AKTIVITI ANAK MUDA dan sebuah perpustakaan yang dikenali sebagai PUSAT SUMBER REFORMASI.

PBS merupakan ruang – ruang pejabat yang boleh disewa dengan harga berpatutan oleh aktivis yang tiada pejabat dan tidak berkemampuan menyewa pejabat sendiri untuk aktiviti perniagaan mereka. Kami akan menyediakan bilik pejabat dan centralise secretary untuk mereka yang menyewa di PBS. Pusat aktiviti anak muda pula merupakan ruang untuk anak muda bersantai sambil  bertukar pendapat dengan cara sihat. Ia juga akan menyediakan indoor games seperti billiard, karom dan pingpong. Aktiviti diskusi serius ke arah melahirkan remaja berfikiran kritis juga akan diadakan dari masa ke semasa.

Pusat Sumber Reformasi pula merupakan sebuah perpustakaan yang menyimpan bahan– bahan rujukan yang berkenaan gerakan rakyat di negara ini khususnya mengenai gerakan reformasi yang bermula dari 1998 hingga kini.. Ia terbuka kepada semua penyokong dan pendokong setiap hari bekerja. Orang ramai ataupun pertubuhan pro reformasi dirayu untuk sama menyumbang bahan terdiri dari buku, gambar, VCD, poster dan perbagai bahan-bahan lain yang difikirkan sesuai.

Wisma Anwar Ibrahim yang menempatkan Pusat Aktivis Gerakan Reformasi Malaysia ini masih belum sempurna sepenuhnya. Orang ramai dirayu untuk turut sama membantu menyediakan pusat ini dengan menyumbang perbagai barangan yang masih diperlukan seperti rak buku, kerusi/meja pejabat, mesin fax, komputer, karpet pejabat dan perbagai barangan lagi tidak kira ia masih baru atau terpakai. Semua dijemput untuk melawat pusat ini yang terletak di Wisma Anwar Ibrahim, No 4 & 5, Taman Sri Puteh, Jalan Tok Ungku, 70100 Seremban, N. Sembilan atau boleh terus menghubungi Sdr. Marvin (012-6657329) atau Badrul Hisham Shaharin (016-3242564).

Untuk tujuan jangka panjang, aktivis reformasi telah menubuhkan PAGER Management & Sevices untuk tujuan mengendalikan dan menghidupkan pusat ini. PAGER Management & Sevices merupakan sebuah syarikat yang didaftarkan di Malaysia ditubuhkan dengan tujuan menjalankan aktiviti perniagaan untuk menguruskan Wisma  ini dan sebagai pemangkin gerakan reformasi dalam jangka masa panjang.

Setakat ini perniagaan utamanya ialah menguruskan insurans am dan mengendalikan urusan cukai jalan. Bagi semua penyokong diharapkan dapat bersama dengan mendapatkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan dan insurans melalui PAGER Management & Sevices.

Wisma Anwar Ibrahim di negeri sembilan ini sebagai permulaan usaha membuka Pusat Aktivis Gerakan Reformasi di seluruh negara. Kami aktivis reformasi merasakan ia memang satu usaha yang bukan mudah tetapi tidak mustahil dengan sokongan dan dokongan semua penyokong.

BADRUL HISHAM SHAHARIN
Jurucakap
Pusat Aktivis Gerakan Reformasi Malaysia (PAGER)
016-3242564
chegubard@freeanwar.com -24.04.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

Sertai Maillist M@RHAEN