![]()
RM38 juta:
Dakwaan Abdullah Badawi Tidak Berasas
Oleh Meng Chan Han
Ramai berpendapat bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat kesilapan besar apabila beliau dengan mudah mempercayai lalu mendedahkan sesuatu dakwaan atau tuduhan yang belum pasti kepada media. Menurut mereka, beliau seharusnya peka untuk mengenalpasti lebih awal apakah dakwaan itu berasas atau sebaliknya sebelum mengambil keputusan untuk menyebutnya kepada media. Beliau sewajarnya lebih berhati-hati di dalam segala tindakan dan tingkahlaku kerana rakyat negara ini sedang memerhatinya setelah ditinggalkan Dr. Mahathir yang bercuti selama sebulan di luar negara.Pada 17 Februari, Agendadaily.com melaporkan bahawa Abdullah berkata masih banyak maklumat yang perlu diperincikan terlebih dahulu sebelum tuduhan yang berasas boleh dibuat.
"Saya kena tunggu dulu kerana banyak information (maklumat) yang perlu kita verified (sahkan) dahulu," beliau dipetik sebagai berkata.
Sebelum ini, dalam kebanyakan laporan media, Abdullah mendakwa “seorang bekas anggota kabinet” telah menderma sebanyak RM38 juta kepada pertubuhan pelampau Islam di Amerika Syarikat. Dakwaan ini dibuat merujuk kepada pendedahan yang dibuat oleh Shaykh Muhammed Hisham Kabbani dalam media tempatan sehari sebelum itu. Tanpa memberikan alasan, kedua-dua pendedahan dan dakwaan itu tidak pula menyebut siapa bekas anggota kabinet tersebut. Mereka juga tidak memberitahu nama pertubuhan yang menerima derma itu.
Sebahagian besar mengakui bahawa pendedahan dan dakwaan ini sengaja direka dan dirancang sebegitu rupa bagi menimbulkan persoalan dan spekulasi. Mereka juga percaya dan menjangkakan bahawa pendedahan lanjut mengenai siapa anggota kabinet tersebut tidak akan dibuat, sekurang-kurangnya untuk masa terdekat ini. Spekulasi tentang siapa penderma itu ternyata amat menguntungkan pemerintah.
Tanpa mendedahkan nama bekas anggota kabinet itu, sekurang-kurangnya pemerintah dapat melalaikan rakyat daripada isu-isu yang lebih besar dan memainkan isu dakwaan ini untuk seberapa lama yang mungkin. Dalam masa yang sama, di kalangan orang ramai spekulasi seperti sengaja disebarkan bahawa bekas anggota kabinet yang dimaksudkan adalah Anwar Ibrahim. Orang ramai juga dapat mengagak dengan cara dakwaan tersebut dibuat seolah-olah ianya sengaja ditujukan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Kelmarin, ketika berkunjung di rumah seorang sahabat sempena sambutan Tahun Baru Cina, penulis mendapati persoalan yang sama turut menjadi tajuk perbualan. Apabila ditanya siapakah bekas anggota kabinet yang dimaksudkan oleh dakwaan itu,
"Anwar Ibrahim", jawab mereka.
Bagaimanapun, ramai yang membayangkan kesangsian mereka terhadap kejujuran Abdullah dengan dakwaannya itu jika beliau menamakan Anwar sebagai bekas ahli kabinet yang dimaksudkan.
"Susah juga nak cakap. Dulu, kata Anwar agen Amerika dan sekarang tuduh dia terrorist (pengganas) pula?".
Hakikatnya, siapa juga yang dimaksudkan sebagai bekas anggota kabinet itu tidak akan mendatangkan imej buruk terhadap pembangkang di Malaysia berbanding kesan buruk yang diterima oleh pihak pemerintah yang membuat dakwaan itu. Tentunya masih ramai yang boleh mengesahkan bahawa suatu masa dahulu kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Dr. Mahathir juga pernah membantu pejuang Islam Moro di Filipina yang kini dianggap sebagai militan itu.
- Meng Chan Han - 21.02. 2002
![]()
FREE - An online program to make a huge income. more info![]()