Malaysia Negaraku, Perak Negeriku... PMnya Ehsan MBnya Perasan... 
Hari ini saya hendak berlabun dengan MB saya, YAB Dato’ Seri Mohd Tajol Rosli b. Mohd Ghazali, MB Perak Darul Ridzuan..

Sejarah moden Negeri Perak mengatakan bahawa Perak adalah sebuah negeri yang terkaya di tanah Melayu. Hasil bijih timah dan getahnya cukup menggambarkan betapa kayanya negeri Perak suatu waktu dahulu. Hampir semua ciri-ciri ekonomi moden bermula di Perak bukannya di Selangor atau di Kuala Lumpur. Keretapi berkuasa wap yang pertama di Tanah Melayu membawa bijih timah dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld). Kilang peleburan bijih timah yang pertama di Teluk Intan (Teluk Anson). Penggunaan tenaga elektrik yang pertama juga di Teluk Intan. Perlombongan bijih timah secara besar-besaran bermula di Perak. Pokok getah yang pertama ditanam di Kuala Kangsar. Pekebun kecil getah pertama berkebun di Kuala Kangsar (allahyarham). Hospital yang pertama di Taiping dan Batu Gajah. Kereta kabel yang pertama membawa arang batu di Gerik. Sepatutnya penggunaan lif yang pertama juga di Perak iaitu di Batu Gajah, tetapi pembinaan Kellies Castle terggendala menyebabkan lif pertama terlepas ke negeri lain. Semua itu tinggal kenangan dalam lipatan sejarah silam.

Hari ini Perak semakin sepi. Nasib baik kedudukan geografinya masih memungkinkan Perak terus bernafas. Perak yang dihimpit oleh Pulau Pinang di utara dan Selangor di selatan dapat juga menerima tempiasan ehsan ekonomi mereka. Perak menumpang tuah ekonomi jiran-jiran. Walhal suatu waktu dahulu Perak penyumbang utama kepada ekonomi jiran-jirannya.

Kemurungan ekonomi Perak semakin terasa apabila Perak diterajui oleh MB Wan Mohamed b. Wan Teh (allahyarham) seorang ADUN dari Hulu Perak. MB ini hanya meneruskan doa dan harapan agar harga bijih timah tidak mengalami kejatuhan harga. Doa dan harapan yang sama dengan MB sebelumnya iaitu bapa kepada MB sekarang. Tetapi harga bijih timah terus merudum dan Perak menerima bahananya. Sebelum kerusi MB dikosongkan, sempat juga MB Wan Mohamed membina kilang simennya di Bukit Berapit, Padang Rengas (Perak Hanjong). Difahamkan kilang itu mampu beroperasi selama 100 tahun kerana bahan mentahnya ialah batu-batu kapur yang ada di kiri kanan dan belakang kilang tersebut. Mewahlah hidup anak cucu cicitnya.

MB seterusnya ialah MB Ramli b. Ngah Talib dari Kampung Gajah. Hari ini telah diturunkan pangkat sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan. Itulah penghormatan terakhir yang diterimanya daripada bekas PM Paduka Tun. Beliau adalah MB pertama di Perak yang berkelulusan luar negeri .. Lulusan Undang-Undang. MB ini mendapat durian runtuh apabila ditabalkan menjadi MB dalam usia yang begitu muda. Segala ceruk rantau Perak yang strategik ekonomi geografinya habis disapu. Lihat sahaja banglo-banglo mewah di bukit-bukit di sepanjang laluan ke Lata Kinjang, Tapah. Begitu mudah orang Korea dan Taiwan memiliki harta di Perak. Dahulu pernah tersiar dalam akhbar perdana akan ajaran sesat korea yang diamalkan di sini, tetapi isu itu terus sunyi hingga ke hari ini. Negeri yang telah miskin semakin miskin mendapat MB jenis ini. Bahkan kawasan jagaannya Kampung Gajah tidak membangun seperti yang diharapkan. Sekadar indah khabar dari rupa. Segelintir penduduknya dilayan dengan begitu istimewa, seumpama ayam daging ternak yang diberi makan sepanjang hari .. gemuk .. tidur. Cukup untuk memastikan mereka terus memberi undi dalam pilihanraya. Tetapi semua itu belum cukup untuk memenangkan lagi BN di Kampung Gajah. Majoriti lebih 10,000 tahun 1995 hanya tinggal dalam lingkungan 2,000 sahaja tahun 1999. Ternyata ayam daging yang diternak ini belum cukup untuk memenangkan lagi bekas MB ini. Banyak lagi keraguan ekonomi yang ditimbulkan oleh bekas MB ini. Mungkin penduduk Kampung Gajah terasa hati … sila beri respons untuk membuktikan bahawa saya silap.

Selepas MB Ramli diangkut dengan lori untuk diturunkan pangkatnya ke Kuala Lumpur, Perak diterajui pula oleh MB yang tidak banyak kerenah. Kepopularan bapanya Haji Ghazali merintis keyakinan baru kepada penduduk Perak. MB Mohd Tajol Rosli begitu diyakini mampu menceriakan ekonomi Perak berdasarkan pengalaman lamanya dalam kabinet bekas PM Paduka Tun. Beliau meniti dari satu tangga ke satu tangga sebelum menjadi menteri penuh. Kepulangannya ke Perak diumpamakan seperti sireh pulang ke gagang. Maklumlah negeri Perak tidak mempunyai tokoh politik yang benar-benar berkaliber. Kalau adapun hanya seperti Megat Joned peliharaan Ziela. Dan MB Tajol Roslilah satu-satunya tokoh yang ada pada masa itu .. jadilah…

Hampir empat tahun MB Tajol Rosli jadi MB Perak. Semakin bertambah hari semakin bertambahlah kebenakkannya mengurustadbir negeri. Perak tetap seperti zaman MB-MB sebelumnya. Terus miskin dan hampir papa kedana. Dengar cerita Perak akan memohon bantuan pusat untuk membayar gaji pegawai-pegawai negeri sepertimana yang dilakukan oleh Sabah dan Pahang sebelum ini. Sebab itulah Pak Marhain Tua ada menulis beberapa hari lalu tentang betapa kesengajaan kerosakan sistem komputer di Pejabat Pendaftar Syarikat di Ipoh dilakukan bagi memudahkan kerajaan mengutip hasil daripada bayaran denda lewat rakyat. Satu langkah yang "teramat bijaksana" untuk menambahkan kantung perbendaharaan negeri dan ilham ini mesti telah mendapat restu daripada MB Perak sendiri.

MB .. MB.. Tidak malukah menjadi seorang MB jikalau sekadar mahukan jawatan itu sahaja. Mungkin MB Perak tidak serakus MB Selangor, tetapi apa guna menjadi MB jikalau tidak mampu mengkreatifkan sumber-sumber ekonomi yang sedia ada dalam negeri ini. Kreatifkan ekonomi bagi menambahkan kelangsungan hidup rakyat yang masih ramai berada di PPRT UMNO. Mustahil UMNO mahu meningkatkan taraf hidup PPRT ini kerana mereka adalah sumber undi UMNO. Mempertingkatkan pendapatan PPRT bermakna mendedahkan mereka kepada maklumat-maklumat sebenar akan korupsi UMNO. Biarkan mereka kekal sebagai PPRT.

MB, MB datang dari Gerik. Gerik adalah laluan utama ke Kelantan. Dipisahkan oleh Tasek Banding. Tasik buatan manusia untuk menjanakan elektrik hidro di Empangan Temenggor. Tidak pernah terfikirkah kepada MB untuk menjadikan Tasek Banding itu sumber pendapatan utama penduduk setempat. Majukan lagi Tasek Banding sebagai kawasan ternakan ikan dalam sangkar terbesar di Malaysia atau di Asia. Sediakan lot-lot sangkar ikan, nasihat tunjuk ajar dan bantuan pemasaran kepada penduduk tempatan. Jikalau penduduk tempatan tidak bersedia menjadi nelayan sangkar, tawarkan kepada PPRT yang begitu ramai dan daif kehidupan mereka di negeri Perak ini. Rugikah kalau MB berbuat baik kepada yang miskin .. MB lagi tahukan .. bahawa berbuat baik adalah satu sedekah terutama menjelang hari raya ini.

MB mungkin tidak lagi berkesempatan melakukan semua ini, kerana tempoh MB hampir berakhir. Harapan untuk BA menguasai Perak sentiasa terbuka. Kalau ada cacat celanya BA di Perak, cuma tokohnya yang kurang .. tetapi ketokohan itu kekadang hanya mampu dizahirkan apabila diberi peluang menjadi MB baru .. bukan seperti MB sekarang yang hanya layak digelar MB Perasan … Perasan kerana menganggap negeri maju di bawah pentadbirannya .. perasan …

Cukuplah MB, lain kali kita berlabun lagi. Banyak lagi yang boleh kita labunkan.

Nasib baik bila main bola .. Perak masih di tempat pertama .. kejor yob kejor ..

Cacilut - 16.11.2003
Sila berikan respons/komen kepada artikel ini.

Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/
Dapatkan maklumat terkini di Forum M@RHAEN.



Tapak Utama: http://marhaen.internations.net
Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN.

Click Here!
Hantar artikel ini kpd sahabat: