Isu Konsert Sure Heboh: Abdul Kadir Nafi Cabar Mufti
Petikan daripada BERNAMA - Siaran: 02 Ogos, 2004 17:14 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Menteri Penerangan Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir menafikan yang beliau telah mengeluarkan kenyataan mencabar Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria berhubung isu pengharaman konsert Sure Heboh TV3.

Katanya sebuah akhbar bahasa Inggeris hari Isnin telah membuat kesilapan dengan melaporkan beliau telah mencabar Harussani.

"Saya tidak mencabar mufti tersebut ataupun menggunakan perkataan tersebut. Ianya bahasa kasar yang tidak sepatutnya digunakan dalam isu seperti ini," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Kadir berkata laporan itu tidak tepat kerana beliau tidak pernah berkata demikian ketika diwawancara oleh wartawan di tapak Karnival Sure Heboh TV3 di Stadium Nasional Bukit Jalil Ahad.

Katanya apa yang beliau sebut ialah menjatuhkan hukuman haram terhadap sesuatu perkara itu perlu dikaji secara mendalam dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum keputusan muktamad dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan.

-- BERNAMA

Hantar artikel ini kpd sahabat: