Keputusan Haramkan Konsert Bukan Kerana Emosi, 
Kata Mufti Perak

Petikan daripada BERNAMA - Siaran: 02 Ogos, 2004 19:29 PM

IPOH, 2 Ogos (Bernama) -- Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria berkata keputusan Majlis Mufti-mufti Malaysia mengharamkan konsert Sure Heboh TV3 bukannya didorong oleh emosi tetapi kerana kehormatan agama dan maruah bangsa.

Katanya pengharaman itu tidak perlu menunggu fatwa jika ia merupakan suatu yang jelas bertentangan dengan kehendak syarak.

"Misalnya mengabaikan waktu sembahyang, pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram, pendedahan aurat, berpeluk lelaki dan perempuan adalah haram sekalipun ia tidak difatwakan," katanya dalam satu kenyataan di sini ekoran kontroversi yang timbul selepas beliau mengumumkan keputusan majlis itu yang berpendapat konsert itu melalaikan dan wajar dihentikan.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Dr Ismail Ibrahim dilaporkan sebagai berkata keputusan itu belum boleh dianggap satu fatwa kerana ia belum dibincangkan oleh majlis itu.

Harussani berkata sejak Karnival Sure Heboh diadakan, program itu lebih banyak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat khususnya golongan remaja yang masih bersekolah.

-- BERNAMA

Hantar artikel ini kpd sahabat: