Majlis Mufti Putuskan Konsert Sure Heboh Haram
Petikan daripada BERNAMA - Siaran: 30 Julai, 2004 19:07 PM

IPOH, 30 Julai (Bernama) -- Majlis Mufti-mufti Malaysia memutuskan bahawa konsert TV3 Sure Heboh adalah haram di sisi Islam kerana ia melalaikan umat dan menggalakkan maksiat di kalangan generasi muda negara ini.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata Majlis Mufti telah membincangkannya baru-baru ini dan berpendapat konsert TV3 Sure Heboh merupakan sesuatu yang melalaikan dan oleh itu ia wajar dihentikan.

Beliau berkata mereka yang menganjur, menghadiri serta menonton juga haram dan oleh itu majlis seperti itu hendaklah dihentikan kerana Majlis Mufti melihat ia membawa kesan buruk kepada umat Melayu.

"Konsert Sure Heboh ini lebih banyak membawa kepada kelalaian dan ia boleh membawa akibat buruk terhadap bangsa kita sendiri di samping mendatangkan lemah daya fikir," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Muzakarah Ulama 2004 di sini hari Jumaat.

Harussani berkata jika dikaji konsert seperti itu sebenarnya membawa banyak kelalaian terutama kepada anak-anak muda bangsa Melayu daripada kalangan orang Islam itu sendiri.

"Sekarang ini di setiap televisyen sudah ada hiburan disiarkan. Apa perlunya lagi hiburan yang berbentuk konsert seperti itu diadakan. Hiburan dibenarkan dalam Islam tetapi kenalah berpada-pada.

"Islam tidak melarang keseronokan dalam hidup dan kita perlu serius dalam hidup ini. Janganlah menyebabkan generasi muda tanpa tujuan hingga lahir gejala-gejala yang cukup hebat disebabkan pendidikan dan pendedahan yang dilakukan ini," katanya.

Harussani berkata apa yang berlaku sekarang terlalu banyak hiburan seperti itu dan lebih 90 peratus yang menontonnya adalah remaja Islam yang masih bersekolah.

"Disebabkan terlampau banyak maka mereka tiada masa hendak belajar...ini bertentangan dengan ajaran Islam. Di dalam Islam apa yang melalaikan adalah haram," kata Harussani.

-- BERNAMA

Hantar artikel ini kpd sahabat: