Ilusi, Demokrasi Dan Silap Mata Pilihan Raya
Oleh Arif Abdull
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya

Pengerusi SUHAKAM

Tuan,

BANTAHAN RASMI AWAL KEPADA SPR TERHADAP PROSES PERJALANAN PILIHANRAYA DAN PENGUNDIAN PADA 21 MAC 2004

Dengan hormatnya kami merujuk kepada perkara di atas.

Adalah dengan ini satu bantahan rasmi awal diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) terhadap keseluruhan proses pilihanraya dan proses pembuangan undi dibuat berdasarkan premis dan justifiasi berikut:

1.Kami mempunyai bukti dan atas bantahan yang kukuh bahawa SPR dengan sengaja mengeluarkan dua (2) Senarai Nama Pemilih berdaftar yang mengelirukan pemilih dan parti politik yang bertanding;

2.Kami mempunyai bukti dan asas bantahan yang kukuh bahawa SPR dengan sengaja mengeluarkan Senarai Pemilih yang tidak diwartakan sebelum tarikh penamaan calon;

3.Kami mempunyai bukti dan asas bantahan yang kukuh bahawa SPR dengan sengaja memasukkan nama-nama pengundi yang boleh membuat pembuangan undi dua (2) tempat Pusat Pembuangan Undi yang lain dan berasingan (dual entries);

4.Kami mempunyai bukti dan asas bantahan yang kukuh bahawa SPR dengan sengaja mengeluarkan nama-nama pengundi yang berdaftar tanpa autoriti dan tatacara yang sah dari Senarai Daftar Pemilih. Pengundi-pengundi ini telah secara sah mengundi pada pilihanraya 1999;

5.Kami mempunyai bukti dan asas bantahan yang kukuh bahawa SPR dengan sengaja melambat-lambatkan penyerahan Senarai Daftar Pemilih kepada parti yang bertanding kepada kesemua negeri-negeri Tanah Melayu bagi membolehkan parti-parti yang bertanding menyemak dan melakukan bantahan terhadap senarai pemilih tersebut;

6.Kami mempunyai bukti dan asas bantahan yang kukuh bahawa SPR dengan sengaja tanpa autoriti dan tatacara yang sah melanjutkan tempoh pembuangan undi dari jam 5 petang sehingga jam 7 petang tanpa memaklumkan kepada parti yang bertanding. Arahan pelanjutan masa pembuangan undi di negeri Selangor jelas menyalahgunakan kuasa, meragukan dan bersifat ‘mala fide’;

7.Kami mempunyai bukti dan asas bantahan yang kukuh bahawa SPR dengan sengaja membenarkan ahli-ahli Puteri UMNO menjadi petugas SPR ditempat pembuangan undi;

8.Kami mempunyai bukti dan asas bantahan yang kukuh bahawa ahli-ahli Puteri UMNO dengan sengaja memangkah kertas undi yang diserahkan kepada pengundi dan dengan sengaja merosakkan kertas undi;

9.Kami mempunyai bukti dan asas bantahan yang kukuh bahawa wujudnya konspirasi jahat di antara parti Barisan Nasional dan Jabatan Pendaftaran Negara. Ini jelas apabila Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Dato’ Seri Aseh Che Mat (seorang penjawat kerajaan kategori A) yang juga bertanggungjawab kepada Jabatan Pendaftaran Negara turut hadir di bilik Gerakan Barisan Nasional bersama-sama Pemangku Presiden UMNO yang berpusat di PWTC pada tarikh dan masa pengumuman keputusan pilihanraya dibuat. Perkara ini disiar secara langsung di televisyen tempatan. Ini dengan sendirinya menjawab mengapa berlakunya kehilangan nama-nama pengundi di tempat pengundian tersebut berdaftar berlaku perpindahan alamat puluhan ribuan pengundi-pengundi berdaftar ke beberapa buah negeri-negeri tertentu;

KAMI DENGAN INI MENUNTUT;

1. Pewartaan keputusan pilihanraya dan pembentukan kabinet digantung buat sementara waktu hinggalah siasatan dibuat terhadap perkara-perkara yang menimbulkan keraguan di atas;

2. Memohon dengan penuh takzim ke bawah DYMM Yang Dipertuan Agong dan juga DYMM Raja-Raja Melayu menangguhkan untuk memberi perkenan terhadap pembentukan kabinet dan majis mesyuarat kerajaan negeri hinggalah suatu suruhanjaya bebas dibentuk bagi membuat siasatan menyeluruh terhadap ketelusan perjalanan pilihanraya umum ke 11.

3. Memohon khususnya kepada DYMM Tuanku Sultan Terengganu untuk tidak menerima mengadap pemimpin UMNO Terengganu untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu dan kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kekal sebagai caretaker government sehingga suatu pilihanraya adil, bebas dan telus diadakan segera;

4. Mendesak pilihanraya diadakan semula dibawah kendalian satu organisasi SPR yang baru dibentuk daripada perkenan oleh Yang Dipertuan Agong dan dianggotai oleh jawatankuasa pilihanraya bebas dari negara-negara Komanwel khususnya bagi negeri-negeri yang dibuktikan berlakunya kepincangan, salahaturan dan penipuan dalam perjalanan pilihanrayanya.

Sekian, terima kasih

NASHARUDIN MAT ISA
Setiausaha Agung PAS

s.k Pengerusi SUHAKAM
dipetik dari Xtreme Thinking
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN