PENDIDIKAN DAN PATRIOTISME MALAYSIA (Bahagian 2)

Pendidikan Dan Patriotisme Malaysia (Bahagian 2)
Oleh Abdullah Hasan

(Bahagian 1)

KEAJAIBAN EKONOMI ASIA-PASIFIK

Pada abad ke-19 pusat kuasa ekonomi dunia ialah Eropah. Pada abad ke-20 Eropah dan Amerika Utara menjadi pusat kuasa ekonomi dunia. Pada abad ke-21, rantau Asia-Pasifik muncul sebagai pusat kuasa ekonomi dunia, menyaingi kedudukan Eropah dan Amerika Utara.

Menurut laporan Bank Dunia pada tahun 1993, perkembangan ekonomi negara-negara Asia-Pasifik melebihi 8% setiap tahun bagi tujuh tahun berturut turut. Perkembangan ekonomi itu membawa pendapatan yang bertambah kepada rakyatnya.

Pada tahun 1960 Amerika Utara mewakili 37% KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dunia, sedangkan Jepun dan Asia Timur mewakili 4% saja. Pada tahun 1994 Amerika Utara dan Asia-Pasifik masing-masing mewakili 24% KDNK dunia. Dalam tahun-tahun 1990-an lebih 50% pertumbuhan ekonomi dunia berlaku di Asia-Pasifik. Ini menyebabkan ekonomi Eropah dan Amerika Utara semakin mengecil, manakala ekonomi Asia Pasifik semakin membesar. Rantau Asia Pasifik yang terdiri daripada negara-negara Cina, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Thailand, Malaysia, Singapura, dan Indo-Cina adalah kawasan yang paling dinamik di dunia. Pertambahan pendapatan penduduknya meningkat dengan cepat. Manakala Britain memerlukan 58 tahun (sejak 1870) untuk menggandakan pengeluaran ekonomi setiap orang, dan Amerika Utara memerlukan 47 tahun (sejak 1839), Jepun mengambil masa 33 tahun (sejak 1880), Indonesia 17 tahun, Korea Selatan 11 tahun, dan Cina hanya 10 tahun (K. Mahbubani). Ahli-ahli ekonomi meramalkan bahawa setiap rakyat Asia Pasifik akan menikmati pertambahan pendapatan dua atau tiga kali ganda dalam jangka hayat mereka, kecuali Filipina.

Dalam hal ini kita sering diberi gambaran bahawa kita memerlukan bahasa Inggeris untuk menghadapi globalisasi perdagangan. Kenyataan ini memang tepat. Kita perlu menguasai bahasa-bahasa asing untuk berhubungan dengan negara-negara lain dalam perdagangan. Tetapi hal ini tidak ada kaitannya dengan bahasa penghantar untuk menyampaikan ilmu. Pelajarilah bahasa asing, tetapi gunakanlah bahasa indigenus sebagai bahasa penghantar untuk menyampaikan ilmu. Dalam majalah Fortune bulan Ogos 1995, terdapat pemeringkatan korporat multinasional. Daripada 500 buah korporat demikian, 289 terdiri daripada korporat yang tidak menggunakan bahasa indigenus mereka sendiri sebagai bahasa penghantar, tetapi bukannya bahasa Inggeris. 149 daripadanya adalah dari Jepun.

Korporat yang terbesar ialah Mitsubishi. Syarikat ini mempunyai ladang lembu di Australia, kilang tembaga dan kayu di Kanada, kilang kereta di Afrika dan lain-lain. Tetapi, Jepun tidak pula mengubah bahasa penghantarnya kepada mana-mana bahasa pinjaman untuk memudahkan mereka membawa ilmu masuk ke Jepun.

Rantau Asia Pasifik ini mengalami perkembangan ekonomi yang sungguh ajaib. Apakah ciri yang dikongsi oleh semua negara ini? Semua negara ini menggunakan bahasa indigenus sebagai bahasa penghantar pendidikan. Melalui bahasa indigenus mereka dapat menyampaikan ilmu kepada rakyatnya. Rakyat yang berilmu ini pula memajukan ekonomi negaranya.

EKOLOGI BAHASA

Apakah yang dimaksudkan dengan ekologi bahasa? Kita tidak memerlukan definisi. Kita hanya memerlukan analogi atau kiasan. Mari kita lihat suatu contoh, katakanlah ekologi ikan. Ikan ada ekologinya: kitaran hayatnya, sekitarannya, makanannya, binatang lain yang menjadi sokongan dan pemangsanya, dan udaranya. Apabila kita merosakkan ekologinya, katakanlah kita mencemarkan air yang didiaminya, ikan itu akan mati.

Bahasa pun mempunyai ekologi. Bahasa ada penuturnya, ada fungsinya, ada sekitaran hidupnya, ada nilainya, dan lain-lain. Apabila kita menggugat mana-mana unsur ekologinya, kita turut menggugat kedinamikan bahasa itu.

Fungsi bahasa sebagai penghantar sains dan teknologi adalah sebahagian daripada ekologi bahasa Melayu. Apabila fungsi ini dihapuskan, tindakan tersebut merupakan undi tidak percaya kepada bahasa Melayu. Inilah satu satunya fungsi yang memberikan maruah kepada bahasa Melayu. Apabila fungsi ini ditiadakan, maruah bahasa Melayu pun akan jatuh. Martabat bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak bermakna lagi.

Hal ini turut melibatkan maruah bahasa Melayu. Apabila sudah mampu mengungkapkan ilmu dan teknologi tinggi, mampu menggerakkan pentadbiran negara, menguruskan perdagangan, dan menjadi alat pengucapan diplomasi, maka dewasalah bahasa itu. Sekiranya mana-mana fungsi ini ditiadakan, bahasa Melayu tidak akan dewasa. Apabila ekologinya tergugat, bahasa itu tidak akan menjadi dewasa, tidak akan mantap.

Dalam kitaran hidup bahasa, pengungkapan ilmu dan pemikiran tinggi itu adalah maruah bahasa itu. Bahasa yang baru saja memegang fungsi menyampaikan ilmu itu terpaksa mengimport ilmu daripada bahasa lain. Strategi yang berkesan ialah terjemahan. Itulah yang berlaku apabila Farsi mengimport dari India, Arab Islam dari Farsi dan Yunani, Eropah dari Arab, dan Jepun dari Barat. Tetapi proses membina ilmu melalui terjemahan itu tidaklah alamiah. Setelah maju, bangsa itu perlu menjana ilmunya sendiri dan mengungkapkannya dalam bahasanya sendiri. Inilah yang berlaku kepada Jepun dan Eropah yang memungkinkannya mengekalkan kemajuannya. Proses meningkatkan martabat bahasa itu berlaku serentak dengan pembangunan bangsa. Sejarah membuktikan bahawa bangsa dan bahasa membangun serentak, dan bukannya satu mendahului yang lain. “Teori memajukan bangsa dulu dan kemudian bahasanya pun akan turut maju” tidak berlaku dalam kenyataan sejarah pembangunan tamadun manusia. Apabila maruahnya kita jatuhkan, bahasa itu tidak akan perkasa lagi.

CABARAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN SEKARANG

Pada saat sistem pendidikan ini menunjukkan kejayaannya, datang pula cabaran-cabaran dari kalangan kepemimpinan orang Melayu sendiri. Cabaran pertama ialah ada pemimpin yang tidak meyakini kemampuan bahasa Melayu untuk menyampaikan ilmu sains dan teknologi. Oleh itu bahasa Melayu hendak diganti dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sains dan teknologi di pusat pengajian tinggi (Laporan mengenai tindakan Menteri Pendidikan, Sunday Times, 9 Julai 1995). Berikutan dengan itu, ada kecenderungan untuk meluaskan arahan itu ke peringkat sekolah menengah pula.

Kedua, timbul keghairahan untuk mengizinkan penubuhan universiti swasta. Bilangan universiti ini semakin banyak sehingga melebihi bilangan universiti setempat. Universiti-universiti swasta menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Perkembangan ini mencairkan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu.

Ketiga, wujud persepsi bahawa bahasa Melayu itu hanya melambatkan pembangunan. Jawapan kepada masalah ini dikatakan berada pada bahasa Inggeris.

Ketiga-tiga isu ini mencabar sistem pendidikan kebangsaan sekarang. Ketiga-tiga isu ini adalah perjuangan bukan-Melayu dulunya dan pasti mencetuskan reaksi politik orang Melayu pada masa lalu.

Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Penghantar: Implikasinya

Apabila bahasa Inggeris digunakan semula sebagai bahasa penghantar sains dan teknologi di peringkat universiti, diikuti pula oleh penubuhan universiti swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar, bahasa Inggeris akan menguasai bidang ilmu sekali lagi. Hal ini mewujudkan kepungan ilmu semula. Oleh sebab universiti berbahasa Inggeris nanti lebih banyak jumlahnya maka universiti kerajaan akan ditenggelami oleh bilangan universiti swasta.

Universiti kerajaan pula akan dikorporatkan. Pengkorporatan ini tidak jauh bezanya daripada penswastaan. Kemungkinan bahasa Inggeris dikembalikan juga adalah lebih tinggi. Akhirnya semua pendidikan tinggi akan kembali menggunakan bahasa Inggeris. Pengajian tinggi yang menggunakan bahasa Inggeris akan memaksa pendidikan menengah dan rendah berbahasa Inggeris juga untuk memudahkan pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Ilmu tidak akan sampai kepada rakyat yang tidak dapat mempelajari bahasa Inggeris. Rakyat yang dapat menerima ilmu ialah rakyat yang menguasai bahasa Inggeris saja. Jumlah mereka tidak banyak kerana golongan yang mampu mempelajari bahasa Inggeris itu tidak banyak, hanya terhad kepada golongan atasan saja.

Kajian-kajian sosiolinguistik menunjukkan bahawa pelajar yang menguasai bahasa Inggeris ialah pelajar kelas menengah atasan yang ibu bapanya menuturkan bahasa itu di rumah. Oleh itu, mereka dapat mengikuti kemajuan ilmu. Sebaliknya, pelajar-pelajar dari kelas bawahan tidak akan menerima ilmu kerana tidak menguasai bahasa Inggeris. Sebagai akibatnya, jurang ekonomi antara masyarakat kelas menengah atasan dengan kelas bawahan akan bertambah lebar.

Pelajar-pelajar luar bandar tidak akan dapat menguasai bahasa Inggeris. Persekitaran dan ibu bapa mereka yang tidak menuturkan bahasa Inggeris akan menyebabkan mereka tidak dapat mempelajari bahasa Inggeris. Mereka akan gagal mendapat ilmu. Akibatnya, mereka akan hanya menjadi pembekal buruh murah kepada pembangunan ekonomi yang dikuasai oleh golongan menengah dan atasan di pusat-pusat bandar.

Oleh sebab wujud perbezaan ekonomi dan politik antara golongan bawahan dengan menengah atasan maka timbul ketidakpuasan golongan. Perbezaan antara golongan ini diburukkan lagi oleh pertindihan dengan garis perkauman. Yang tergolong dalam lapisan bawahan ialah kaum Melayu dan menengah atasan ialah Cina, maka perbalahan kaum akan tercetus kembali. Segala kemajuan dalam perpaduan kaum yang di capai melalui pendidikan kebangsaan sekarang akan dirosakkan oleh perbalahan kaum yang akan berulang.

Maruah bahasa Melayu akan hilang. Teori yang mengatakan bahawa bahasa kita akan turut maju setelah bangsanya maju tidak mempunyai bukti. Kemajuan bahasa dan bangsa berlaku serentak. Maruah bahasa Jepun meningkat apabila Jepun berhenti menggunakan bahasa Cina. Bahasa Jerman, Inggeris, dan Perancis menjadi bermaruah apabila bangsanya berhenti menggunakan bahasa Latin.

Bahasa adalah sesuatu yang sangat rapat dengan hati dan sanubari orang Melayu. Bahasa Melayu adalah maruah orang Melayu. Menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sesuatu bidang ilmu di pusat pengajian tinggi mempunyai implikasi yang amat serius terhadap ekonomi, politik, dan perpaduan rakyat.

- Abdullah Hasan
(Petikan daripada kertas kerja yang dibentangkan pada Simposium Patriotisme Malaysia yang diadakan di Melaka pada 28-29 Oktober 1995)
Dipetik daripada buku Manifesto Budaya, oleh ASRAF, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia d/a DBP, m.s. 270-284)

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 15.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN