BAHASA ASING MEMBESARKAN JURANG BANDAR-DESA

Bahasa Asing Membesarkan Jurang Bandar-Desa
Oleh Ainon Mohd

PENDAHULUAN

Siapakah yang dapat menafikan bahawa bahasa-bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Rusia, Jepun, dan Sepanyol itu adalah bahasa-bahasa dunia yang penting dalam bidang ilmu dan urusan antarabangsa?

Walaupun bahasa-bahasa itu sudah terbukti berjaya membangunkan bangsa-bangsanya sendiri di tanah asalnya, namun terbukti pula di luar tanah asalnya, iaitu di negara-negara dunia ketiga, bahasa-bahasa itu gagal sama sekali. Ternyata bahawa di tanah asing bahasa-bahasa itu tidak berdaya upaya untuk membangunkan bangsa-bangsa yang meminjamnya.

Belum ada satu pun negara peminjam yang dapat membangun dengan bahasa asing sebagai alatnya. Berdasarkan statistik UNESCO, tidak ada satu pun antara negara-negara peminjam itu yang dapat menembusi indeks, ukuran, dan definisi kemiskinan yang dibuat oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Mengapakah tragedi ini harus berlaku dan mengapa kaum elit kita tidak menginsafi hal ini?

Pemilihan bahasa asing sebagai bahasa rasmi, justeru sebagai alat pembangunan, mengundang berbagai-bagai masalah kepada negara peminjam. Antara alasan yang utama terdapat pada sifat-sifat sosiolinguistik bahasa itu sendiri. Sebagai bahasa asing pusatnya di bandar dan bersifat elitis sekali. Disebabkan oleh berbagai-bagai faktor, bahasa itu tidak dapat tersebar di luar batas kota-kota besar. Ini bererti bahawa, meskipun dalam bahasa itu terdapat banyak ilmu pengetahuan, penerimaan ilmu-ilmu moden itu akan terhad hanya kepada kalangan elit ekonomi dan sosial bandar sahaja. Oleh yang demikian hanya golongan itu sahajalah yang dapat ikut serta dan mengambil kesempatan daripada segala program dan projek pembangunan negara yang dilaksanakan oleh pemerintah.

Sebaliknya sektor luar bandar (desa) akan cicir dan tidak dapat memainkan peranan dalam usaha pembangunan itu, semata-mata kerana mereka tidak mengusai ilmu-ilmu moden yang terdapat hanya dalam bahasa-bahasa Barat itu. Oleh sebab itu, justeru sektor luar bandar tinggal mundur kerana rakyatnya tidak dibolehkan untuk membangunkan taraf pengetahuan mereka oleh dasar bahasa pinjaman.

Di mana pun kita pergi di dunia ketiga, keadaan yang sangat mencolok ialah perbezaan yang sangat ekstrem antara sektor bandar dengan sektor luar bandar. Ada masanya perbezaan itu sudah tampak sebelum lima minit kita berjalan meninggalkan bandar. Keadaan sosiolinguistik seperti ini menghasilkan ciri dualistik dalam bidang ekonomi, sosial, dan politik negara. Di bandar-bandar, masyarakatnya maju dengan bahasa asing, manakala di luar bandar masyarakatnya mundur dengan bahasa-bahasa setempat.

LINGKARAN-LINGKARAN SETAN

Selanjutnya, keadaan sebegini melahirkan lingkaran-lingkaran setan yang dahsyat, iaitu kerana orang bandar menguasai bahasa asing maka mereka mampu mendapatkan pendidikan tinggi, oleh itu mereka mengetahui ilmu-ilmu moden, lalu dapat merebut peluang-peluang pembangunan, oleh itu mereka menjadi bertambah makmur dan seterusnya berupaya memberikan pendidikan bahasa asing kepada anak-anak mereka, dan begitulah seterusnya putaran itu berjalan.

Sebaliknya, masyarakat luar bandar tidak berpeluang mempelajari bahasa asing (yang pusatnya di bandar itu), maka tidaklah mereka berpeluang menerima pendidikan tinggi, tidaklah mereka menguasai ilmu-ilmu moden, justeru tidaklah dapat mereka merebut peluang-peluang pembangunan, lalu kekallah mereka dalam kemunduran dan kemiskinannya dan oleh itu tidak mampu mereka memberikan pendidikan bahasa asing kepada anak-anak mereka, dan begitulah seterusnya putaran itu memerangkap dan membelenggu mereka dalam kejahilan dan kepapaan.

Dalam situasi dualistik seperti ini, tidak ada sesiapa yang selamat pada jangka masa panjang; sama ada yang kaya di bandar maju, tetapi kemiskinan di desa akan mendorong penghijrahan rakyat desa ke kota dalam usaha melarikan diri daripada kemiskinan desa.

Penghijrahan rakyat desa yang tiada berpendidikan moden dan tanpa kemahiran itu menghasilkan tekanan ekonomi dan sosial yang rumit kepada bandar. Kedatangan mereka membebani bandar dan akibatnya kemakmuran bandar-bandar itu sendiri akan terjejas. Inilah bukti bahawa bandar tidak mungkin kaya raya jika kawasan luar bandarnya papa kedana.

Hukum ini dapat dilihat dengan lebih jelas di negara-negara maju. Sudah terbukti bahawa tidak terdapat negara maju yang sektor desanya miskin dan mundur. Malah yang menentukan kemajuan negara itu bukan sekitar bandar tetapi sektor luar bandarnya.

Hakikat ini jarang sekali diinsafi oleh kaum elit pemerintahan negara-negara dunia ketiga. Seluruh program pembangunan selalu sahaja ditentukan oleh cita rasa dan kepentingan masyarakat bandar. Nisbah perbelanjaan (biaya) negara dicurahkan lebih banyak ke atas masyarakat bandar daripada masyarakat luar bandar.

Sikap ini berdasarkan anggapan dan mitos bahawa bandar adalah pusat politik. Sebenarnya, negara-negara dunia ketiga mempunyai bukan satu pusat politik, tetapi dua, selaras dengan sifat dualistik masyarakatnya .

Di negara-negara dunia ketiga, sektor desa yang miskin menjadi pusat berkembangnya gerakan-gerakan menentang rejim elit di bandar. Memang bandar-bandar dunia ketiga, selain menjadi pusat bahasa asing, juga menjadi pusat kapitalisme, iaitu bahagian daripada budaya bahasa-bahasa tersebut.

Gerakan-gerakan antipemerintah pula sentiasa bersifat rakyat (popular), berbahasa setempat, berbentuk sosialis-komunis, dan berpusat di desa.

Dualisme inilah yang menimbulkan keadaan politik yang sangat tidak stabil di negara-negara dunia ketiga. Kalau negara maju sentiasa berperang dengan negara lain, negara-negara dunia ketiga pula sentiasa memerangi rakyatnya sendiri.

IMPERIALISME BAHASA

Dasar peminjaman bahasa asing melahirkan linguistic imperialism atau imperialisme bahasa yang menimbulkan masalah-masalah lain yang juga sangat penting; pertama kemerdekaan negara-negara dunia ketiga tidak dapat mencapai erti kemerdekaan yang diidam-idamkan .

Walaupun pada lahirnya penjajah telah keluar, namun bahasa yang ditinggalkannya akan menjadi tali yang menjamin berterusannya ketergantungan ekonomi, ketenteraan, kebudayaan, dan psikologi rakyat bekas tanah jajahan. Kebergantungan seperti itu menimbulkan masalah kelangsungan penindasan kuasa penjajah ke atas negara-negara dunia ketiga.

Keengganan dunia ketiga membina bahasa setempat sebagai bahasa rasmi tidak boleh tidak akan terus mengekalkan masalah-masalah yang dihadapi sejak mereka dijajah, atau tambah memburuk masalah-masalah itu.

Walaupun negara-negara dunia ketiga mengekalkan bahasa penjajah (asing), kononnya demi kemajuan ilmu, tetapi ternyata bahawa mereka tidak memperoleh ilmu-ilmu itu, daripada bukti-bukti yang ada, ternyata bahawa semua negara yang buku-buku teksnya masih dibaca dalam bahasa asing, tidak ada satu pun di antara mereka yang dapat menyelesaikan masalah kemunduran taraf pendidikan dan kemahiran di kalangan rakyat mereka, padahal pendidikan dan kemahiran adalah aspek “software” yang dengannya saja kita dapat membangun.

Penggunaan bahasa asing untuk melatih para cerdik pandai di dunia ketiga menghasilkan golongan terpelajar mereka yang otaknya terbelenggu oleh pandangan-pandangan Barat secara mentah-mentah dan menjadi agen kepada Barat. Hal ini demikian kerana pendidikan melalui bahasa asing melahirkan individu yang “terasing” daripada bumi dan masyarakatnya sendiri.

Orang-orang seperti inilah yang akhirnya menyumbang kepada masalah “brain–drain”. Pendidikan melalui bahasa asing adalah sangat mahal dan rakyat negara-negara dunia ketiga berkorban untuk membiayai pendidikan para profesionalnya, tetapi akhirnya mereka lari ke Barat semata-mata untuk mendapat gaji yang lebih banyak.

Demikianlah kita lihat bagaimana sistem pendidikan melalui bahasa asing akhirnya cuma menambahkan kemakmuran tanah asal bahasa itu kerana mereka mendapat para profesional kita secara percuma.

Pendidikan melalui bahasa asing tidak juga memungkinkan negara dunia ketiga mencapai “scientific independence”. Maka itulah sebabnya kita tidak hairan kalau saban hari kita hanya mendengar konsep “pemindahan teknologi” dan bukan “pemindahan ilmu” sebagaimana yang dilaung-laungkan oleh golongan elit pendidikan Barat di kalangan kita.

Ditinjau daripada sudut ini, kekreatifan dan kelainan mental bangsa Jepun dan Korea itu pasti ada kaitannya dengan soal “keterpenjaraan bahasa “ (linguistic imprisonment) yang tidak berlaku ke atas mereka, berbanding dengan hal yang berlaku kepada bangsa-bangsa dunia ketiga.

Kegagalan kita mencapai kemerdekaan ilmu menjadikan kita selama lamanya berperanan sebagai negara pengguna dan tidak mungkin menjadi negara pengeluar.

Gejala seperti itu terbukti pula dalam pola monopoli teknologi dunia kita. Negara-negara yang menggunakan bahasa setempat ternyata mempunyai kemampuan mencipta teknologi tinggi, sedangkan negara-negara peminjam bahasa asing mati akal.

Dengan bahasa asing, jangankan hendak menghasilkan teknologi sendiri, hendak menguasai teknologi yang tercatat dalam bahasa itu pun mereka tidak berdaya. Sudah diketahui bahawa kekuasaan teknologi, sama ada kekuasaan itu dalam bentuk ekonomi, militer, atau kebudayaan.

Dasar bahasa asing mengekalkan kejahilan dan malah kemiskinan di kalangan negara-negara dunia ketiga, mematikan kekreatifan para profesional kita untuk mencari penyelesaian-penyelesaian lain yang sesuai bagi masalah-masalah tipikal di dunia ketiga dan akhirnya kita akan terus menjadi mangsa kepentingan-kepentingan negara maju.

(Makalah ini terbit dalam akhbar Utusan Malaysia, Januari 1985. Dipetik daripada buku Manifesto Budaya, oleh ASRAF, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia d/a DBP, m.s. 224-229)

- Ainon Mohd
Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 13.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN