Masalah Bahasa Asing Sebagai Bahasa Pengantar

MASALAH BAHASA ASING SEBAGAI BAHASA PENGANTAR
Oleh Ainon Mohd

PENDAHULUAN

Sejak belakangan ini banyak terdengar pendapat mengenai pentingnya kita menguasai bahasa Inggeris. Alasan yang selalu dikemukakan ialah demi kepentingan ilmu pengetahuan dan kepentingan komunikasi antarabangsa.

Sebelum kita membuat keputusan sama ada negara harus berpatah balik kepada bahasa Inggeris sebagai pengantar ilmu pengetahuan, ada beberapa hal yang harus kita renungkan.

Peta dunia abad ke-20 ini diwarnai oleh dua cat. Cat yang pertama berwarna hijau. Negara yang memiliki warna ini dikenal sebagai Dunia Pertama, atau Negara-negara Utara atau Negara Maju. Negara itu menggunakan bahasa nasional masing-masing sebagai alat pembangunan bangsa dan penghantar pendidikan.

Cat yang kedua berwarna merah. Negara-negara yang memiliki warna ini dikenal sebagai Dunia Ketiga, atau Negara-negara Selatan, atau Negara-negara Membangun. Kebanyakan negara ini menggunakan bahasa asing sebagai bahasa nasional dan penghantar pendidikan.

Seluruh benua Amerika Latin. Afrika. India. Dan sebahagian daripada benua Asia menggunakan bahasa asing. Negara-negara kelompok ini miskin belaka.

MENGGERUNKAN

Kaitan antara dasar bahasa dengan aspek-aspek politik, ekonomi, dan ketenteraan ini menggerunkan sekali. Jika diteliti dari sudut politik, negara-negara yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa rasmi adalah negara-negara yang sangat rendah darjah demokrasinya; biasanya negara-negara itu di bawah pemerintahan diktatorial, kuku besi, feudal, pemerintahan tentera, sama ada secara terbuka ataupun terselindung.

Di kalangan negara-negara itulah juga ada segala masalah; perang saudara, rampasan tentera, pemberontakan, gerakan perpecahan, perang gerila-segala bentuk pertumpahan darah.

Gambaran yang menggerunkan ini tidak habis di situ, kerana kita sudah dan masih menyaksikan bahawa di kalangan negara-negara ini semakin hari semakin banyak anggotanya yang jatuh ke tangan sosialisme dan komunisme, satu demi satu. (Yang anehnya, ini berlaku pada saat negara-negara sosialis- komunis Eropah-Cina sedang mara ke arah dasar liberalisme).

Negara-negara ini pun di bawah pengaruh dan telunjuk kuasa politik dan militer negara asing (iaitu kumpulan negara-negara yang menggunakan bahasa setempat).

Ditinjau daripada sudut ekonomi, semua negara yang meminjam bahasa asing sebagai bahasa rasminya ialah negara-negara miskin yang menderita hutang negara yang tinggi, pengeluaran dan eksport negara yang rendah, kadar pertumbuhan ekonomi yang kalau tidak rendah, sama sekali statik, kadar kelahiran yang tinggi, tidak memiliki teknologi tinggi, semata-mata berharap pada pengeluaran bahan mentah, dan sektor desanya miskin.

Daripada sudut sosial pula, negara-negara ini menderita segala bentuk kezaliman sosial, mutu pendidikan yang rendah, buta huruf yang tinggi, perkhidmatan sosial yang menyedihkan, penuh rasuah serta segala macam penyakit berjangkit.

Sebaliknya negara-negara yang memilih bahasa setempat sebagai bahasa rasmi menikmati kebalikan daripada yang dideritai oleh negara-negara yang menerima bahasa asing sebagai bahasa rasmi. Negara-negara berbahasa setempat menikmati demokrasi yang sangat tinggi, walau apa pun bentuk demokrasi yang diamalkan. Politik mereka stabil, dan kehidupan mereka aman. Amerika, Inggeris, Jerman, Perancis, Rusia dan Jepun sentiasa berperang tetapi peperangan mereka tidak dalam negeri, melainkan di tempat lain – di Dunia Ketiga. Tidak ada perang saudara, rampasan kuasa; tiada undang-undang darurat atau militer.

Blok Komunis kini condong ke arah liberalisme dan kapitalisme. Negara-negara ini memonopoli maklumat dan teknologi tinggi. Mereka memiliki kuasa, pengaruh politik, dan ketenteraan antarabangsa. Kadar pertumbuhan ekonomi mereka adalah tinggi kerana mereka adalah negara–negara pengeksport barang buatan. Oleh itu mereka mengecap kemakmuran yang tinggi dan ada kalanya terlalu mewah. Kadar kelahiran mereka pula rendah, manakala mutu pendidikan dan kadar celik huruf mereka tinggi. Mereka mempunyai keadilan sosial, dan rasuah tersangat rendah serta terkawal. Mereka sudah bebas daripada ancaman penyakit-penyakit berjangkit.

PROGRAM PENTERJEMAHAN YANG TERANCANG

Di kalangan negara-negara yang menggunakan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa rasmi dan penghantar pendidikan, ada beberapa buah yang menyimpang daripada pola Dunia Pertama. Negara-negara itu ialah China, Indonesia, dan Thailand. Ternyata bahawa ketiga-tiga negara itu, walaupun telah membuat pilihan yang betul untuk bahasa nasional mereka, namun mereka tidak dapat menandingi kemajuan yang dicapai oleh negara-negara Dunia Pertama.

Faktor yang tidak disedari oleh negara-negara seperti China, Indonesia, dan Thailand ialah pentingnya tindakan pemilihan bahasa nasional segera disusul dengan tindakan melakukan proses lintas ilmu yang besar dan cepat daripada bahasa-bahasa lain ke dalam bahasa nasional itu. Ini dapat dilakukan hanya jika pemerintah mengadakan program penterjemahan yang terancang. Faktor inilah yang tidak dilakukan oleh China, Indonesia, dan Thailand.
 
Antara negara-negara yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa nasional dan penghantar pendidikan, hanya sebuah negara sahaja yang telah berjaya, iaitu Singapura. Kejayaan bahasa Inggeris di Singapura bukanlah bukti kemampuan bahasa Inggeris di tanah asing. Singapura adalah sebuah negara bandar. Mana-mana bandar pun memang dapat hidup dengan bahasa asing. Bagi Malaysia, umpamanya, Kuala Lumpur sahaja dapat hidup dengan bahasa Inggeris, tetapi kita mestilah menyedari bahawa Kuala Lumpur itu bukan Malaysia. Begitu juga halnya dengan semua negara Dunia Ketiga yang majoriti kawasan serta penduduknya adalah di kawasan desa.

Jika kegiatan terjemahan tidak dijadikan tugas negara dan dibuat secara berencana serta besar-besaran, maka negara-negara itu tidak dapat bertolak mencapai kemajuan.

Untuk membangun, sesuatu negara tidak cukup hanya mempunyai dasar bahasa nasional. Hal ini sudah terbukti pada negara-negara yang setelah mencuba bahasa nasional kemudian berpatah balik kepada bahasa penjajah (Burma, Filipina, dan banyak lagi). Hal itu berlaku apabila sistem pendidikan dalam bahasa nasional menghadapi ancaman kemunduran disebabkan oleh masalah-masalah teknikal, seperti peristilahan dan buku-buku rujukan. Dengan demikian, maka suatu pertimbangan teknikal telah dijadikan alasan membatalkan pertimbangan yang prinsip.

Oleh sebab soal peristilahan dan buku adalah soal teknikal, maka penyelesaiannya terletak di peringkat itu. Tidak seperti Eropah dan Jepun yang telah melakukan gerakan penterjemahan besar-besaran, tidak ada satu pun antara negara-negara Dunia Ketiga yang melakukan hal itu. Istilah–istilah adalah hasil sampingan daripada kegiatan intelektual seperti penulisan dan penterjemahan. Sebaliknya soal peristilahan ini selalu sahaja dijadikan dalih untuk tidak mahu melaksanakan dasar bahasa nasional.

SEJARAH EROPAH

Sejarah Eropah membuktikan suatu hal, iaitu Eropah baru dapat keluar daripada kegelapan Zaman Pertengahan hanya selepas berlakunya Perang Salib apabila Charlemagne mengalahkan tentera Islam Sallahuddin. Pertempuran ketenteraan itu telah memberi peluang kepada Eropah untuk menemukan pusat-pusat pengajian Islam dan langsung Eropah mengambil tindakan menterjemahkan seluruh ilmu yang ditulis dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Latin untuk dibaca di Eropah.

Kembali kepada sejarah, negara-negara Dunia Pertama yang menggunakan bahasa setempat sebagai bahasa rasmi pernah menggunakan bahasa pinjaman (bahasa penjajah) sebelumnya. Seluruh Eropah Barat pernah menggunakan bahasa bangsa Romawi, iaitu Latin, sebagai bahasa rasmi dalam bidang ilmu dan ketatanegaraan.

Sebelum zaman pembaharuan (renaissance) seluruh Eropah dalam kejahilan dan kegelapan selama 2000 tahun dengan selimut bahasa Latinnya. Sedangkan di bahagian dunia lain, iaitu di Timur Tengah, Baghdad sudah mempunyai rumah sakit dan jalan-jalan rayanya di terangi lampu. Waktu itu para penterjemah di Baghdad dibayar oleh pemerintahnya dengan emas yang ditimbang sama berat dengan bahan yang diterjemahkan ke bahasa Arab daripada bahasa-bahasa Yunani.

Kebangkitan semangat kebangsaan di Eropah yang telah berjaya menjatuhkan penjajahan Romawi diikuti oleh kemunculan negara-negara bangsa berdasarkan bahasa-bahasa setempat yang telah melenyapkan pengaruh Latin yang demikian penting sebelumnya. Semua ini berlaku dan menjadi unsur penting gerakan renaissance. Sayangnya hal ini selalu tidak diajarkan kepada cendekiawan dan ahli politik negara-negara Dunia Ketiga.
 
Sebelum zaman renaissance, bahasa-bahasa Inggeris, Sepanyol, Itali, Perancis, Jerman, dan Rusia seperti yang kita kenal hari ini adalah bahasa-bahasa “kasar” atau “kampungan” (seperti bahasa Melayu sebelum Melaka) dan dituturkan hanya oleh orang bawahan yang tidak berpelajaran.

Pada abad kesembilan belas, revolusi industri yang berlaku di Eropah pula dimungkinkan oleh penterjemahan buku-buku yang tertulis dalam bahasa Latin ke dalam bahasa-bahasa nasional setempat di seluruh Eropah.
Sebenarnya penterjemahanlah yang telah memodenkan apa saja yang sebelumnya adalah bahasa-bahasa “kampungan” hingga menjadi bahasa besar sekarang. Dan penterjemahan jugalah yang memungkinkan bangsa-bangsa itu menguasai pelbagai ilmu dan melakukan kemajuan selanjutnya pada ilmu-ilmu itu.

Nyatalah, kemajuan yang dicapai oleh bahasa-bahasa Eropah moden itu dapat berlaku hanya melalui penggantian dan perubahan pada tugas yang selama ini dimainkan oleh bahasa Latin sebagai bahasa ilmu dan pentadbiran. Pola ini dilalui juga oleh beberapa bahasa Asia moden, iaitu bahasa Jepun dan Korea.

Pada suatu masa dahulu Jepun dan Korea menggunakan bahasa Cina Kuno, iaitu bahasa penjajah mereka, sebagai bahasa ilmiah dan pentadbiran. Seratus tahun yang lalu, apabila Meiji berkuasa semula, Jepun telah mengganti bahasa Cina Kuno dengan bahasa setempat sebagai bahasa rasmi.

Demikianlah pula Korea selepas Perang Dunia Kedua, iaitu apabila negara itu mencapai kemerdekaannya daripada Jepun. Korea menjadikan bahasanya sendiri sebagai bahasa rasmi untuk mengambil tempat bahasa Cina. Peristiwa inilah yang memungkinkan Jepun dan Korea membangunkan bangsanya.

Bagaimanapun, pola yang dilalui oleh seluruh Eropah, Jepun, dan Korea itu tidak dicontoh oleh bekas tanah-tanah jajahan Inggeris, Sepanyol, dan Perancis oleh sebab seluruh negara benua Amerika Latin, Afrika, dan sebahagian Asia telah membuat keputusan untuk terus meminjam bahasa asing sebagai bahasa rasmi daripada menggantikannya dengan bahasa nasional setempat. Malah ada tanda-tanda bahawa di beberapa negara Dunia Ketiga yang sudah mempunyai bahasa nasional sendiri, ada golongan elit yang mahu supaya dasar itu diubah dan mencontohi negara-negara yang meminjam bahasa asing.

BAHASA NASIONAL UNTUK PEMBANGUNAN NEGARA

Jepun ialah negara contoh sezaman yang dengan jelasnya membuktikan kesan penggunaan bahasa nasional setempat sebagai alat pembangunan negara.
Sejarah Jepun moden bermula hanya 100 tahun yang lalu, iaitu apabila Meiji berkuasa. Sebelum itu Jepun ialah tanah jajahan China. Ketika dijajah, seluruh pentadbiran negara Jepun dan sistem pendidikannya dijalankan dalam bahasa Cina Kuno. Waktu itu Jepun adalah negara feudal dengan kasta-kasta ekonomi dan sosial yang jelas. Pada waktu itu, Jepun miskin dan mundur jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah yang telah menguasai hampir 80 peratus muka bumi ini. Pemerintahan Meiji menyedari hal itu dan bercita-cita untuk membangunkan suatu “negara maju” berdasarkan “alam pengetahuan baru”.
 
Untuk melaksanakan cita-cita membangun “negara maju“ berdasarkan “alam pengetahuan baru”, Meiji menyedari bahawa tiap-tiap rakyat Jepun mesti diberi ilmu-ilmu baru supaya tidak ada yang tidak dapat ikut serta dalam pembangunnan yang dirancang.

Dalam usaha ini Meiji sedar bahawa bahasa penjajah Cina adalah penghalang utama ke arah cita-cita itu dan untuk membina zaman baru, bahasa Cina mestilah “dibuang” dan diganti dengan bahasa Jepun sendiri. Tetapi waktu itu bahasa Jepun adalah bahasa rendah, belum ada tulisan, tiada sastera bertulis, perbendaharaan katanya terhad, dan terdiri daripada beberapa loghat. Begitulah keadaan bahasa Jepun yang akan menggantikan bahasa Cina dalam urusan tata negara dan di universiti-universiti Jepun 100 tahun dahulu.

Bagaimanapun Meiji telah membuat keputusan, dan loghat yang telah dipilih ialah loghat yang pada waktu itu dituturkan hanya oleh para petani dan kaum wanita, iaitu kumpulan kasta yang paling rendah dalam masyarakat Jepun zaman itu. Loghat inilah yang menjadi asal–usul bahasa Jepun moden hari ini. Pemilihan loghat petani dan wanita penting kerana alam pengetahuan baru hendak disampaikan kepada setiap rakyat Jepun dalam bahasa yang difahami oleh mereka.

Dengan keputusan itu maka langkah-langkah untuk memberikan tulisan pada bahasa itu dan menambah perbendaharaan katanya telah dibuat. Selanjutnya Meiji telah memilih pemuda-pemuda yang pintar untuk dilatih di negara–negara Eropah dan mempelajari bahasa–bahasa asing dengan tujuan khusus untuk menterjemah ilmu-ilmu Barat ke dalam bahasa Jepun. Pemuda-pemuda itu dihantar ke Rusia untuk menterjemahkan buku-buku militer, ke England untuk buku-buku perkapalan, ke Perancis untuk buku-buku falsafah, dan ke Jerman untuk buku-buku sains dan perubatan. Dalam usaha itu Meiji menubuhkan biro terjemahan yang menjadi asal–usul Universiti Imperial Tokyo hari ini.

Seandainya kita sedia menerima dan mengakui kebenaran sejarah lalu, maka kita di negara–negara Dunia Ketiga hendaklah bersedia melakukan pelaburan ke dalam kegiatan penterjemahan dan pembinaan bahasa nasional setempat. Jikalau tidak, negara-negara Dunia Ketiga akan mengalami nasib seperti yang sekarang ini sampai bila-bila. Kita lihat sendiri apa yang terjadi pada anggota Dunia Ketiga yang paling penting, iaitu India.

KEGAGALAN BAHASA INGGERIS DI INDIA

Sejarah kegemilangan bangsa India sangat tua usianya, sejak zaman tamadun di Lembah Indus. Bangsa ini ialah bangsa yang besar dan telah mengembangkan pengaruh kuasanya dengan luas ke negara–negara yang mengelilinginya. Dua agama besar yang lahir di sana, iaitu Hindu dan Buddha, telah tersebar luas hingga hari ini. Bangsa ini telah melahirkan beberapa banyak cendekiawan, sasterawan, ahli sains, dan tokoh-tokoh yang bertaraf internasional.

India telah mengalami nasib seperti berpuluh-puluh negara lain, iaitu jatuh ke tangan penjajah selama beratus-ratus tahun, dan dalam waktu itu bahasa Inggeris telah mengambil alih fungsi bahasa-bahasa India dalam urusan–urusan tata negara dan ilmiah.

Setelah merdeka, India mengekalkan penggunaan bahasa penjajah itu sebagai bahasa rasminya hingga hari ini. Bahasa Inggeris ialah bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan India. Semua pendidikan tinggi disampaikan dalam bahasa Inggeris di India. Ini bermakna bahawa India menyampaikan pengetahuan moden kepada rakyatnya melalui bahasa asing dan tidak melalui jalan pembinaan bahasa kebangsaannya sendiri. Begitu pula India tidak mengambil langkah untuk menterjemahkan kesusasteraan ilmu-ilmu moden secara besar-besaran dan dengan terancang.

Jelas kepada kita, sebagai orang luar, bahawa penggunaan bahasa Inggeris tidak berdaya upaya untuk menyelamatkan India daripada terus–menerus menghadapi ancaman masalah-masalah yang paling asas dalam hidup manusia, seperti makanan, pakaian, dan perumahan; belum lagi masalah yang lebih tinggi, seperti keadilan sosial (sistem kasta), perang saudara (pemisahan Pakistan, kemudian Bangladesh) dan kebebasan politik (pengaruh Rusia).

Tetapi inilah negara yang banyak melahirkan tokoh seperti Bose (beliau membetulkan kesalahan teori Einstein). Dan inilah juga negara yang paling banyak cerdik pandainya yang telah berhijrah ke negara-negara Barat atas desakan ekonomi semata-mata. Indialah juga negara miskin terbesar di dunia.

Walaupun India mempunyai daya sumber yang kaya dan potensi pasaran dalam negeri yang besar, namun kekuatan bahasa Inggeris di tanah asing gagal menggerakkan daya sumber itu untuk membangun manusia di India sebagaimana bahasa itu berjaya berbuat demikian di tanah airnya sendiri, iaitu negara Inggeris.

Bahasa Melayu ialah pilihan yang betul untuk membangun Malaysia. Tindakan segera yang diperlukan sekarang ialah menterjemahkan seluruh ilmu moden ke dalam bahasa Melayu, tidak ada jalan lain bagi kita.

(Makalah ini pernah tersiar dalam Utusan Malaysia pada tanggal 2 Julai 1985. Dipetik daripada buku Manifesto Budaya,oleh ASRAF, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia d/a DBP, m.s. 193-202)

Oleh Ainon Mohd
Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 10.05.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN