Indonesia Melangkah Megah Bersama Demokrasi
Pada tanggal 5 April 2004, kotaraya Jakarta menjadi cukup sepi. Pada tanggal ini juga satu sejarah dan lembaran baru dunia politik Indonesia sedang berlangsung. Tulisan saya sebelum ini pernah menyentuh tentang “Indonesia sedang menikmati demokrasi. Kita Bila lagi?”, telah menceritakan sedikit sebanyak tentang suasana pemilu di Indonesia. Pada tarikh keramat ini, segala persoalan telah terjawab. Tidak ada sebarang kacau bilau, tidak ada sebarang usaha provokasi oleh pihak pihak tertentu.

Suasana pemilu dijalankan dengan cukup aman sekali. Sepanjang kampanye selama 3 minggu tidak kedengaran langsung suasana kacau bilau seperti yang diwar-warkan oleh beberapa pihak tertentu.

Rakyat Indonesia telah belajar dari kepahitan dulu, sejarah 1999 tidak mahu mereka ungkitkan lagi. Cukup sekali kepedihan yang mereka lalui. Kini mereka yakin dengan terlihatnya kampanye yang adil dan saksama. Liputan media yang adil dan saksama menjadikan rakyat Indonesia puas. Mereka punya pilihan dan hak mereka sendiri.

Mereka tidak bodoh mereka dan sama sekali tidak ingin pemerintah memperbodohkan mereka lagi. Cukuplah cuma sekali.

Di awal pagi selepas pemilu dilaksanakan Ketua Komisi Umum (KPU) muncul di sebuah stesen TV memberikan sedikit laporan tentang suasana pemilu kali ini. Walaupun mengakui beberapa masalah teknikal sambil memohon maaf kepada rakyat kerana menghadapi sedikit kesukaran. Namun beliau dengan bangga menyatakan Pemilu pada kali ini dijalankan dengan penuh ketenangan, aman dan menjangkakan sekiranya keadaan ini berlanjutan, demokrasi akan terus subur di Indonesia dan seterusnya menuju ke arah negara maju.

Kematangan para pengundi jelas terlihat apabila warga memberitahu kepada wartawan betapa mereka mengharapkan kerajaan yang telus dan adil seterusnya membawa perubahan kepada mereka. Menilai daripada jawapan masyarakat tersebut jelas ia adalah lahir daripada hati nurani mereka. Tanpa di sumbat dalam pemikiran ideologi tertentu daripada pihak tertentu.

Keindahan di pagi 5 April 2004 tidak dapat dibayangkan jarang boleh melihat kota Jakarta seindah itu. Seorang pengkritik di stesen TV pada kali ini tidak mengkritik pada hari-hari biasa malah beliau menyatakan harapan yang cukup tinggi melihat Indonesia bangkit dan berjaya, hasil daripada pemerhatiannya ke atas pemilu kali ini.

Kemudian dalam beberapa siri analisis suasana pemilu, ada di antara mereka yang berpendapat ini adalah perkara yang cukup indah yang tidak terlihat pada zaman pemerintahan Orde Baru, yang mana kebebasan akhbar disekat dan mereka yang tidak sehaluan dengan pemerintah akan diteror (diancam dengan pelbagai ancaman).

Terfikir saya sejenak di Malaysia jika tidak sehaluan dengan kerajaan apa akan jadi pada diri kita? Apa yang akan terjadi kepada keluarga kita? Apa akan terjadi kepada jawatan kita? Apa yang terjadi kepada perniagaan kita? Tentu anda dapat menjawabnya. Fikirkanlah sendiri, tanyalah sesiapa pun sama ada orang UMNO atau orang PAS. Tetapi orang PAS tentu akan dapat menghuraikannya dengan panjang lebar.

Lihatlah apabila reformasi berlaku pada 1999 kini sudah 5 tahun perkara itu berlaku dan tentu sekali rakyat Indonesia tidak mahu terjadinya suasana berdarah tersebut berulang. Mereka percaya tentang prinsip keadilan dan ternyata keadilan telah diberikan kepada mereka.

Media bebas melaporkan apa sahaja. Kempen pemilu dibenarkan dan tidak dihalang. KPU (Mirip SPR) bebas dikritik. Harta-harta kerajaan tidak disalahgunakan. Pendek kata semuanya adil di mata masyarakat. Masyarakat puas kerana tuntutan keadilan telah dilaksanakan jadi tidak ada sebab mereka perlu marah–marah dan merusuh. Malah suasana cukup tenang sekali.

Ketua PAN iaitu Amien Rais menyatakan dalam iklannya “kalau kami korupsi kami rela dipecat!” Kemudian dalam pertemuan di Stesen TV beliau menyatakan “Keadilan bukan sesuatu untuk diperkatakan, keadilan adalah sesuatu untuk dilakukan, diamalkan dan ditegakkan.” Begitu penyataan sikap beliau terhadap erti keadilan.

Bagi kita di Malaysia, keadilan Cuma di bibir tetapi dari segi perbuatan ketidakadilan berleluasa sekali.
Berikanlah ruang untuk BA bersuara, ini tidak BA tidak dapat bersuara sama sekali dan hampir tidak kedengaran langsung. Jangan lah jadi begitu hina, kemenangan yang tidak ada keadilan adalah kemenangan yang hina.

Seperti yang pernah saya ulas, jika pertandingan adil dijalankan pasti semua pihak puas hati dan pihak yang kalah akan akur dan menerima dengan hati terbuka. Apa yang ditakutkan oleh pemimpin UMNO kalau benar mereka mengamalkan juga pemerintahan Islam dan mengakui Malaysia sebagi sebuah negara Islam sebenar. Sedangkan jika beristeri dua jika tidak adil akan Allah persoalkan kelak inikan pula dalam menjaga sebuah negara dan di dalamnya ada rakyat jelata yang kecil lagi kerdil. Tidak takutkan ditanya Allah kelak?

Sedikit tambahan tentang Partai Keadilan Sejahtera, ternyata keterbukaan mereka sebagi sebuah partai politik Islam dan kini mengubah sedikit imej menyebabkan ia antara partai yang mendapat dukungan rakyat sekarang. Ia antara partai yang berada di antara kelompok 5 besar. Oleh itu pimpinan PAS silalah ambil sedikit iktibar supaya menjadikan PAS parti yang hebat dan mampu menggugat UMNO (tanpa isu Anwar atau isu–isu lain yang menguntungkan PAS). Dari segi agama rakyat sudah mendukung perjuangan PAS namun dari segi teknologi dan perkembangan ekonomi biarlah PAS lebih hebat dari UMNO dalam soal itu. Seorang yang saya lupa namanya pernah berpandangan supaya PAS berupaya menjana ekonomi sendiri.

Apa kata PAS bangunkan ekonomi dan beli TV3, beli Utusan Malaysia, beli bank. Partai Keadilan Sejahtera Indonesia telah menjalankan promosi melalui televisyen yang harganya beratus-ratus ribu. PAN pimpinan Amein Rais mengiklankan bendera partai menggunakan pesawat boeing!

Betul juga kata seorang penulis di Harakah baru-baru ini, kenapa perlu tunggu apabila menang pilihan raya baru hendak melakukan semua itu (maksud saya menjana dan memperkasa ekonomi).

Jika UMNO suatu hari nanti rebah (sekarang pun dah rebah sebab dalam UMNO kini sendiri mereka menafikan hak untuk bersuara. Inikan pula hak rakyat marhaen. Kini mereka sedang sibuk lobi-melobi untuk merebut jawatan dalam pemilihan UMNO kelak) Berbalik kepada persoalan saya tadi, jika UMNO rebah adakah PAS sudah bersedia untuk memikul cabaran dan tanggungjawab kepada rakyat? Kalau ya, ayuh kita buat perubahan sekarang.
 
Maju Malaysiaku Damai Bangsa Ku

- Oleh Hj. Asmawi Bakri
Kiriman: musafir senja <ikanjenahak@yahoo.com> - 07.04.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN