Ilusi,
Demokrasi Dan Silap Mata Pilihan Raya
Oleh
Arif Abdull
Kesilapan
besar parti pembangkang di Malaysia ialah menaruh kepercayaan bahawa demokrasi
akan tercapai melalui peti undi. Sampai kepada satu peringkat, pada beberapa
tahun yang lalu pernah diamanatkan oleh pimpinan parti Islam terbesar di
negara ini bahawa memangkah kertas undi sama nilai pahalanya dengan berjihad
turun ke medan perang.
Manakala bagi sebahagian besar penyokong
parti reformasi separuh masak (Keadilan) pula percaya hanya ketika Pilihan
Raya mereka akan bersemangat dan berhasrat menjatuhkan parti memerintah.
Dalam mengamalkan demokrasi, kerja
menjatuhkan parti yang memerintah bukanlah menjadi kesalahan malahan menjadi
satu keperluan bagi memastikan demokrasi dapat berjalan dengan sempurna.
Malangnya, rakyat negara ini telah dengan sengaja dipusingkan kefahaman
mereka. Pemerintah telah berjaya menanamkan kepada kita bahawa menjadi
kesalahan jenayah jika kita bercita-cita menjatuhkan parti memerintah.
Selain 7 dosa besar yang dipercayai oleh orang Islam, rakyat Malaysia tanpa
disedari meletakkan kepercayaan bahawa menggulingkan pemerintah adalah
dosa besar yang kelapan.
Di kalangan ahli parti pembangkang
sendiri sebenarnya tahu bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah organisasi
suruhan parti pemerintah untuk menjalankan penipuan dalam mengendalikan
proses Pilihan Raya. Malahan hampir semua rakyat negara ini akan mengakui
kehebatan SPR mengakui keberpihakan (bias) mereka terhadap parti pemerintah
sebagaimana yang diakui sendiri oleh Setiausaha SPR.
Selain daripada berfungsi memanipulasi
(baca: menipu) proses Pilihan Raya, SPR juga berperanan sebagai
kambing hitam yang akan dipersalahkan oleh parti pemerintah sendiri. Pernyataan
rasa kesal Perdana Menteri terhadap kegagalan SPR dapatlah dilihat sebagai
usaha untuk meredakan perasaan curiga rakyat terhadap ketelusan badan tersebut.
Pak Lah nampaknya cuba bermain silap mata untuk mengilusi mata rakyat.
Kakitangan SPR sibuk
Dengan keupayaan dan pengalaman luas
mengendalikan Pilihan Raya sejak merdeka, adalah sukar bagi kita mempercayai
setiap kesilapan besar yang dilakukan SPR pada Pilihan Raya kali ini.
Apa yang sebenarnya yang telah berlaku?
Kenapa ramai pengundi di banyak kawasan tidak dapat mengundi? Kenapa ada
lambang parti tersalah cetak? Mengapa pegawai Pilihan Raya boleh menghilangkan
diri? Kiraan semula undi paling banyak pernah berlaku dalam sejarah.
Peliknya, semua yang berlaku di atas
tidak pernah terjadi sebelum ini walaupun semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir
yang dianggap diktator itu.
Kakitangan
SPR sebenarnya mengalami tekanan dan mereka sangat sibuk mengendalikan
karenah parti pemerintah yang mahu memastikan kehendak mereka tercapai.
Perkara ini memang masuk akal. Kenapa semua perkara tersebut di atas kebanyakannya
hanya berlaku di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan bukan di Johor
atau Sabah dan Sarawak? Kenapa pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang
dan Karpal mampu memenangi kerusi yang mereka tandingi? Kerana pihak lawan
memang tidak menyangka mereka akan menang dan kedua-dua pemimpin pembangkang
ini tidak menjadi tumpuan usaha mengalahkan mereka.
Dengan maksud sebaliknya, pemimpin
pembangkang yang lain termasuk Wan Azizah Ismail, Hadi Awang, Nik Aziz
dan lain-lain telah sengaja ditumpukan perhatian dan segala usaha telah
dijalankan dengan licik dan licin bagi memastikan kekalahan mereka.
Tuntut Pilihan Raya Umum dijalankan
semula
Antara langkah yang biasa yang mereka
lakukan adalah dengan menipu melalui kehadiran peti undi pos, menghilangkan
peti undi, menghilangkan nama pengundi dari daftar pemilih bagi menghalang
pengundi menjalankan undian. Kaedah penipuan sebegini sudah terdedah kepada
umum setelah disurahkan oleh bekas pemimpin UMNO yang membentuk Parti Keadilan.
Mungkinkah kini sudah ada kaedah baru untuk menipu dan menyelewengkan proses
pengundian yang belum diketahui oleh umum?
Jika rakyat terus gelisah dengan
hasil Pilihan Raya Umum kali ini, pasti langkah terakhir yang mampu mereka
buat hanyalah mendesak Pengerusi dan Setiausaha SPR yang berbangga kerana
dilantik oleh Yang DiPertuan Agong itu meletakkan jawatan. Tapi, jika rakyat
tidak mudah tertipu dengan sandiwara meletak jawatan ini, kita wajib meneruskan
protes kita sehingga Pilihan Raya Umum dapat diadakan semula setelah SPR
sendiri diperbaiki dan dirombak agar dilihat lebih adil dan telus.
Sebaliknya, jika kita semua hanya
berdiam saja dan sanggup menunggu untuk ditipu sekali lagi pada tahun 2008
nanti itu maknanya rakyat Malaysia telah tertipu dan mata kita masih diselaputi
ilusi Pilihan Raya. Janganlah bersedih lagi.
Arif Abdull
- 23.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat
di http://www.marhaen.com