KWSP Patut Fikir Untuk Tambah Faedah Untuk Ahli

Kenyataan Media
ANGKATAN MUDA MALAYSIA
PARTI KEADILAN RAKYAT

KWSP PATUT FIKIR UNTUK TAMBAH FAEDAH UNTUK AHLI

Cadangan untuk membuat pembayaran secara berperingkat simpanan Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP) kepada pencarum yang mencapai umur 55 tahun, bukanlah suatu idea baru.

Apakah alasan kukuh pihak KWSP untuk mengemukakan cadangan tersebut. Alasan bahawa ramai pencarum menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh yang singkat, tidak boleh diterima sebagai alasan untuk mewajarkan cadangan tersebut dilaksanakan.

Seharusnya pihak pengurusan KWSP mencari cara untuk meningkatkan kecekapan untuk memberikan lebih banyak faedah kepada pencarum yang menyimpan untuk hari tua mereka.

Faedah-faedah ini bolehlah berbentuk pulangan yang lebih baik untuk simpanan yang merupakan dana terbesar di Malaysia. Ini bukannya mustahil jika dibandingkan dengan pulangan lebih tinggi oleh tabung simpanan lain seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Koperasi Permodalan Felda yang tidak kurang daripada 10 peratus sehingga tahun 2002.

KWSP boleh menyediakan faedah perlindungan insurans kemalangan kumpulan. Ianya sekadar membuka akaun di bank ataupun mendapatkan kad kredit yang juga menawarkan perlindungan tersebut sehingga RM10,000 secara percuma.

Seperkara lagi ialah menyediakan faedah perlindungan insurans perubatan kumpulan. Sebagai badan yang mempunyai ahli teramai di Malaysia, seharusnya KWSP berunding dengan pusat-pusat perubatan dan syarikat insurans untuk menyediakan program perlindungan insurans perubatan yang kompetitif secara tender terbuka, di mana kosnya ditanggung daripada keuntungan pengurusan/pelaburan dana KWSP secara kolektif.

KWSP juga boleh melaksanakan semula faedah asal kematian dan hilang upaya iaitu bayaran minimum RM1,000 dan maksimum RM30,000 bergantung kepada tempoh caruman ahli, seperti asal.

Sejak dahulu lagi faedah bantuan ini ditanggung daripada operasi dana ini. Akhir-akhir ini, pihak KWSP, sebagai tindakan mudah untuk mengekalkan prestasi dananya, telah mengurangkan faedah ini.

Seharusnya, KWSP, dengan pengurusan yang bertanggungjawab dan berhemah, memastikan melabur sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah dananya dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia, iaitu bentuk pelaburan yang paling selamat dan stabil dari segi pulangannya, selaras dengan Akta KWSP.

Pihak pengurusan KWSP sebagai pengamanah harus tegas dan jujur dalam menguruskan dana demi menjaga kepentingan ahli-ahlinya. Kepentingan ahli-ahli merupakan objektif utama pihak pengurusan KWSP dalam sebarang perancangan dan perangkaan dasar-dasarnya, tidak lebih dari itu.

BADRUL HISHAM SHAHARIN
KETUA PENERANGAN
ANGKATAN MUDA keADILan

Kiriman: ANGKATAN MUDA REFORMASI MALAYSIA - 19.12.2003
Sertailah Forum M@RHAEN: http://marhaen.board.dk3.com/2/



Anda mempunyai lebih pilihan untuk melayari Laman M@RHAEN

Click Here!